MAJLIS RUMAH TERBUKA DEEPAVALI KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG 2019

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS RUMAH TERBUKA DEEPAVALI

KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG 2019

 

 

3 November 2019

Lorong Bagan 1, Bersebelahan Dewan Haji Ahmad Badawi

 

       

Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato' Seri Utama Hajjah Majimor binti Shariff atas kesudian untuk bersama-sama meluangkan masa bagi meraikan Majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2019 pada malam yang berbahagia ini. Sesungguhnya kehadiran Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan menyerikan lagi masa kita pada hari ini.

Bagi pihak Kerajaan Negeri juga, saya ingin mengalu-alukan kehadiran para jemputan serta semua lapisan masyarakat yang sudi hadir dalam majlis yang penuh warna-warni ini sebagai lambang perpaduan, keharmonian dan keserasian yang wujud di negeri yang tercinta kita.

Sebagaimana meriahnya perayaan-perayaan utama yang lain diraikan, begitu juga meriahnya sambutan Deepavali ini. Deepavali atau Diwali yang sinonim dengan Pesta Cahaya sebagai simbolik kejayaan melawan kejahatan diraikan dalam suasana yang sederhana tetapi cukup meriah di negeri dan negara ini.

Tanpa ada yang terkecuali, dalam usaha untuk mengekalkan keharmonian sejagat ini, semua pihak harus memainkan peranan dan mengambil inisiatif yang tersendiri dalam usaha untuk terus memperbaiki dan memperkukuhkan semangat perpaduan demi kelangsungan kemajuan dan pembangunan negeri ini.

Adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk terus mmeberi pembelaan yang sewajarnya kepada semua golongan tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang. Kerajaan Negeri bertuah kerana mempunyai wakil-wakil yang berkaliber daripada badan bukan kerajana (NGO) yang begitu komited dalam mewakili suara setiap rakyat negeri ini agar segala kebajikan dan permintaan didengari oleh kepimpinan sedia ada.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (HEB) atas komitmen yang telah diberikan untuk terus memperkasakan komuniti India di negeri ini bagi melaksanakan pelbagai projek khas dari segala aspek keagamaan, pendidikan, perubatan dan pembangunan. Sejak ditubuhkan pada tahun 2008, HEB telah memainkan peranannya yang tersendiri dalam memberi bantuan awal pendidikan kepada keluarga yang kurang berkemampuan.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut meningkatkan peruntukan dana pendidikan daripada RM1.75 juta setahun kepada RM2 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil. Manakala bagi tadika di sekolah Tamil dinaikkan dari RM100,000 kepada RM150,000; Tabung Khas Sekolah Tamil (daripada RM100,000 kepada RM150,000) dan sekolah Punjabi (daripada RM60,000 kepada RM90,000). Turut tersenarai adalah sumbangan berjumlah RM200,000 kepada Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam atau 'Waterfall Hilltop Temple' sempena perayaan Thaipusam saban tahun.

Melalui Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, Kerajaan Negeri komited untuk terus melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dalam memastikan wawasan pembangunan masa depan Pulau Pinang menjelang tahun 2030 nanti menjadi agenda terbaik untuk segenap lapisan masyarakat di negeri ini. Melalui Belanjawan 2020 yang telah dibentangkan pada Jumaat yang lepas, beberapa penambahbaikan telah dilakukan dalam aspek program-program kebajikan sosial terutama dalam memenuhi keperluan golongan B40.

Program-program iSejahtera akan diteruskan dan sebanyak RM50.0 juta akan diperuntukkan untuk tujuan ini. Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk menaikkan bayaran penghargaan warga emas dan bantuan OKU daripada RM130.00 kepada RM150.00. Kenaikan ini dianggarkan memberi manfaat kepada 178,000 warga emas dan hampir 10,000 penerima untuk kategori OKU.

Dari aspek penyediaan perumahan pula, sebanyak 180,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) telah disasarkan menjelang tahun 2030. Bagi kes-kes kegagalan mendapatkan pinjaman bank pula, Kerajaan Negeri akan meneruskan perbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) agar proses pinjaman perumahan dapat dipermudahkan agar visi ‘1 Keluarga, 1 Rumah’ dapat dicapai. Kerajaan Negeri juga sedang meningkatkan usaha pemilikan RMM secara sewa beli di mana 1,000 unit akan dilakukan sebagai permulaan.

Segala perincian, perancangan serta pelaksanaan ini dapat dilaksanakan sekiranya setiap daripada kita mengambil tanggungjawab dengan penuh rasa tanggungjawab berasaskan prinsip keadilan, demokrasi dan toleransi. Kerajaan Negeri percaya dengan semangat iltizam dan kekuatan yang ditunjukkan, Pulau Pinang dapat mencipta lebih banyak kejayaan demi masa depan yang lebih cemerlang, untuk generasi akan datang.

Sekian, terima kasih.

       

        Di samping usaha perpaduan, umat Hindu di Pulau Pinang dan di negara ini harus berganding bahu dengan kaum-kaum lain dan meningkatkan usaha bagi pembangunan dan kemajuan negeri dan negara kita. Kaum India di Pulau Pinang harus menglibatkan diri dalam merealisasikan Visi Penang 2030. Visi Kerajaan Negeri ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan taraf hidup hidup rakyat serta meningkatkan penyertaan rakyat dan kemudahan awam yang turut membawa kepada pembangunan instituisi kekeluargaan dan aspek negeri hijau dan pintar. Visi Penang 2030 merangkumi semua lapisan masyarakat dan juga adalah sejajar dengan Visi Kemakmuran Bersama 2030 yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan baru-baru ini.    

        Tuan Yang Terutama Tun, Negeri Pulau Pinang terus mencapai kecemerlangan dalam pelaburan asing. Dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 41 projek pelaburan yang berjumlah RM 8.85 billion telah berjaya diperolehi. Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk mengekalkan momentum ini yang turut berteraskan dengan Revolusi Industri 4.0.

        Pada masa ini, Seberang Perailah merupakan kawasan yang berpotensi untuk menikmati pembangunan yang pesat. Pelbagai pelaburan adalah ditumpukan di Batu Kawan sekarang dan kawasan ini berpotensi untuk menjadi sebuah metropolis dalam masa 10 tahun lagi. Demi memangkinkan pelaburan asing dan tempatan lagi, Kerajaan Negeri telah mengarahkan InvestPenang dan agensi-agensi lain untuk mempercepatkan proses pertimbangan dan kelulusan bagi pelaburan dari dalam dan luar supaya minat para pelabur adalah kekal kagum dengan Negeri Pulau Pinang.

        Kerajaan Negeri sedar akan kepentingan untuk membangunkan infrastruktur di kawasan Seberang Perai demi keselesaan dan keselamatan penduduk. Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memperuntukkan sebanyak RM113.58 atau 32.5 peratus daripada keseluruhan Bajet 2020 bagi memastikan peningkatan tahap kebersihan dan kehijauan di Seberang Perai. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan hampir RM 80.0 juta untuk menangani masalah banjir di kawasan Seberang Perai.

       

       

        Dengan ini saya mengakhiri ucapan saya dan menyeru kepada seluruh rakyat Pulau Pinang agar berganding bahu dan berusaha bersama-sama dengan Kerajaan Negeri bagi menrealisasikan Visi

Penang 2030. Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang