SEMPENA FESTIVAL SPRING GALA 2020 KADUN JAWI

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA FESTIVAL SPRING GALA 2020 KADUN JAWI

 

4 JANUARI 2020

TAMAN NIBONG TEBAL JAYA

 

YB Dato’ Mansor bin Haji Othman

Ahli Parlimen Nibong Tebal

YB H’ng Mooi Lye

ADUN Jawi

Cik Heng Yen Shiuan

Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Para penaja

Ahli Jawatankuasa MPKK Kadun Jawi & JPWK Nibong Tebal

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Salam Sejahtera.

Pertama sekali, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada ADUN Jawi, YB H’ng Moon Lye serta barisan jawatankuasa yang terlibat dalam memastikan Festival Spring Gala 2020 Kadun Jawi dapat dijalankan dengan jayanya.

Saya dimaklumkan bahawa festival ini telah bermula sejak semalam, dengan sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat dan berjaya mendapat penglibatan masyarakat daripada pelbagai kategori umur melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Lebih menarik, Festival Spring Gala 2020 Kadun Jawi yang telah memasuki tahun kedua ini telah dimasukkan dalam senarai kalendar pelancongan sempena Tahun Melawat Pulau Pinang 2020, sekaligus membantu mempromosikan kawasan Nibong Tebal sebagai salah satu destinasi pelancongan terbaru di negeri ini. Selepas ini, ada lagi dua (2) program besar yang akan dianjurkan di KADUN Jawi ini iaitu Karnival ‘Timilar Tirunaal’ dan Karnival Permainan Tradisional Kampung, masing-masing telah dijadualkan pada bulan Februari dan Mac 2020 nanti.

Dan melalui Experience Penang Year 2020 dengan tagline Kepelbagaian Asia yang telah dilancarkan, Kerajaan Negeri berharap kepelbagaian program sebegini mampu menampilkan kelainan melalui warisan, budaya dan kesenian kepada pelancong tempatan dan antarabangsa sekaligus memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk menjana pendapatan.

Oleh itu, adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri agar komuniti setempat memainkan peranan masing-masing untuk terus menyokong dan melibatkan diri dalam aktiviti dan program yang dianjurkan, sebagai elemen penting dalam memperhebatkan lagi semangat perpaduan dan keharmonian tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa, selari dengan inspirasi Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Tanpa ada yang terkecuali, keseimbangan pembangunan di antara bahagian pulau dan Seberang Perai akan terus diberi perhatian yang serius oleh Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan perbelanjaan pembangunan infrastruktur hampir 70% di Seberang Perai, sekaligus menafikan stigma masyarakat yang menyatakan Kerajaan Negeri meminggirkan masyarakat di Seberang Perai.

Selepas kejayaan pembangunan di kawasan Batu Kawan, Kerajaan Negeri kini menumpukan pembangunan di selatan Pulau Pinang yang dilihat sangat berpotensi untuk dimajukan. Kerajaan Negeri telah mengenal pasti 17 lot tanah seluas 379.71 ekar di Ladang Byram bagi tujuan perindustrian dan pembangunan bercampur, sekaligus menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Akhir kata, semoga segala perancangan ini beroleh kejayaan demi kelangsungan rakyat dan negeri tercinta ini.

Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Festival Spring Gala 2020 Kadun Jawi.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang