SEMPENA MAJLIS ANGKAT SUMPAH PENERIMAAN JAWATAN AHLI MAJLIS, MAJLIS BANDARAYA SEBERANG PERAI (MBSP) TAHUN 2020
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI NEGERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS ANGKAT SUMPAH PENERIMAAN JAWATAN AHLI MAJLIS, MAJLIS BANDARAYA SEBERANG PERAI (MBSP) TAHUN 2020
11 JANUARI 2020 (SABTU)
DEWAN KENANGA, MENARA BANDARAYA
MAJLIS BANDARAYA SEBERANG PERAI
YB Dato’ Law Choo Kiang
Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang
YB Dato' Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang
YB Profesor Dr Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang
YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh
EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa
Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Parlimen
YB Dato’ Abdul Razak bin Jaafar
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang
YB Dato’ Sarul Bahiyah binti Haji Abu
Pegawai Kewangan Negeri
Yang Berbahagia Dato’ Sr. Haji Rozali bin Haji Mohamud
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)
Yang Berusaha Puan Ir. Hajah Rosnani binti Haji Mahmod
Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)
Ketua-ketua Jabatan
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada 24 orang yang telah dipilih dan akan mengangkat sumpah penerimaan jawatan Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Tahun 2020 pada pagi yang berbahagia ini.
Sesungguhnya pelantikan pada hari ini membolehkan tuan-tuan dan puan-puan yang dipilih untuk meneruskan perjuangan membawa aspirasi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam memberikan perkhidmatan maksimum kepada seluruh penduduk Seberang Perai.
Memasuki tahun 2020, cabaran dan tanggungjawab yang lebih besar bakal diharungi oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) seiring dengan status bandaraya yang telah diperolehi pada 16 September 2019 yang lepas. Dalam merealisasikan hasrat dan agenda untuk mentransformasikan Seberang Perai sebagai Bandaraya Rendah Karbon (Low Carbon City) dan Bandaraya Pintar (Smart City), ia bukanlah suatu perkara yang mudah tetapi tidak mustahil untuk dilaksanakan. Tanpa ada yang terkecuali, semua pihak harus melibatkan diri dalam kolaborasi ini bagi memastikan momentum transformasi ini berada di landasan seperti yang direncanakan.
Sebaik menerima pengiktirafan sebagai status bandaraya, MBSP di bawah pentadbiran Datuk Bandar, Dato’ Sr. Haji Rozali bin Haji Mohamud telah melancarkan sebuah dokumen untuk pelan jangka pendek bagi tempoh 3 bulan - Hala Tuju Strategik Ke Arah Bandaraya Seberang Perai Yang Mampan dan Lestari sebagai komitmen awal dalam memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan berkualiti kepada penduduk Seberang Perai.
Di bawah Pelan Strategi Seberang Perai 2018 – 2022 untuk “Seberang Perai Resilient, Inklusif, Hijau, Kompetitif dan Bandar Pintar Dipacu Oleh Teknologi”, segala program dan aktiviti yang akan dilaksanakan haruslah seiring dan selaras dengan aspirasi Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Bertunjangkan kepada empat (4) tema utama yang telah dipecahkan kepada 16 strategik di bawah visi ini, penerangan dan penyampaian haruslah bergerak seiring demi manfaat yang besar kepada rakyat secara keseluruhannya.
Sepertimana tradisi sebelum ini, hasil daripada respon yang dilaksanakan semasa sesi dialog bajet yang dilaksanakan, MBSP telah menggariskan lapan (8) teras utama dalam Belanjawan MBSP dengan tema Seberang Perai Green Budget 2020. Ia merangkumi aspek kebersihan dan kehijauan, ruangan hijau dan penyelenggaraan tempat awam, pengangkutan dan koridor hijau, pembangunan tenaga yang mampan, kemampanan pemilikan rumah kediaman bagi meningkatkan kualiti hidup, ketahanan perubahan iklim, kesejahteraan kakitangan dan pembaharuan institusi.
Setiap teras mempunyai peruntukan dan perbelanjaannya yang tersendiri. Bagi Bajet Tahun 2020, MBSP akan membelanjakan sejumlah RM349.16 juta berbanding anggaran pendapatan sebanyak RM314.73 juta dengan defisit sejumlah RM34.43 juta. Kerajaan Negeri berharap MBSP akan terus mengamalkan perbelanjaan yang berhemah, memperkukuh budaya kerja yang Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) serta mengamalkan langkah-langkah penjimatan dalam membuat perbelanjaan di samping berusaha untuk meningkatkan kutipan hasil MBSP bagi memastikan penyampaian perkhidmatan terus unggul di mata rakyat Seberang Perai.
Dari aspek kebersihan dan kehijauan, MBSP telah memperuntukkan sebanyak RM113.58 juta daripada keseluruhan perbelanjaan tahun 2020 bagi memastikan Seberang Perai lebih bersih dan hijau. Antara usaha-usaha yang dijalankan adalah memperluaskan skop pembersihan ke kawasan kampung yang mempunyai rizab laluan serta permukaan bertar tidak kurang dari 8 kaki selain turut memperluaskan skop pembersihan ke pantai-pantai yang menjadi lokasi popular untuk beriadah seperti Kuala Muda, Taman Robina, Pantai Bersih dan Batu Musang. MBSP turut akan menjalankan kerja-kerja pemotongan rumput di jalan-jalan persekutuan yang sebelum ini dilaksanakan oleh Kontraktor JKR secara berkala diselang-seli dengan jadual JKR dan sebagai permulaan ia akan dijalankan di lima (5) lokasi yang akan bertindak sebagai pilot project.
Bagi merealisasikan Visi Penang2030 di bawah Inisiatif Strategik A2 – Meneruskan Usaha Menambah Baik Keselamatan dan Kebersihan Awam (Continue To Improve Public Safety and Cleanliness), MBSP turut memperuntukkan sejumlah RM0.96 juta, khusus untuk kebersihan premis makanan bagi memastikan 70% premis berada pada Gred A dan 30% pada Gred B.
Dalam mengekalkan status negeri hijau, ruangan-ruangan hijau telah dikenalpasti dan RM10.8 juta telah diperuntukkan untuk tujuan tersebut. Ini termasuklah membina koridor-koridor hijau, menjenamakan semula tempat-tempat awam sedia ada dan menambah pocket park di kawasan perumahan kos rendah dan sederhana rendah. Dari aspek Pengangkutan dan Koridor Hijau pula, sebanyak RM9.24 juta telah diperuntukkan bagi menambahbaik kualiti kemudahan dan infrastruktur agar sistem pengangkutan dan koridor hijau ini dapat direalisasikan termasuk penyelenggaraan lampu isyarat, pondok bas dan tempat letak kereta.
Bagi menghadapi persediaan perubahan iklim, MBSP turut menyediakan perbelanjaan sebanyak RM13.64 juta untuk tujuan ketahanan tersebut, RM6.5 juta untuk kerja-kerja Penyelenggaraan Parit Monsun dan Kolam Takungan, manakala RM0.5 juta telah diperuntukkan untuk Penyelenggaraan Rumah Pam dan Kawalan Banjir.
Selaras dengan hasrat untuk menjadi Bandaraya Rendah Karbon Tahun 2020, Bandaraya Neutral Karbon Tahun 2030 dan Bandaraya Sifar Karbon Tahun 2050, MBSP telah mengatur lima (5) strategi utama iaitu Pengangkutan Hijau, Bangunan Hijau, Infrastruktur Hijau, Penghasilan dan Penggunaan Mampan dan Kehijauan dan Penyerapan. MBSP telah memulakan inisiatif tersebut dengan memasang 1,531 unit lampu LED dan berhasrat untuk memasang sejumlah 15,000 unit lampu LED menjelang tahun 2022. Selain itu, MBSP turut menyasarkan Kadar Kitar Semula mencapai 70% dan beratan sampah dikurangkan kepada 50% per kapita, juga pada tahun 2022.
Saya dimaklumkan pada hari ini, MBSP akan melancarkan Pelan Tindakan Bandar Rendah Karbon (Low Carbon City) & Pelan Tindakan Perubahan Iklim (Climate Change). Dokumen ini akan menjadi penanda aras dalam pelaksanaan program dan sasaran ke arah Bandaraya Rendah Karbon.
Dengan segala pelan dan perancangan yang telah disusun, saya pasti dan percaya Ahli Majlis-Ahli Majlis yang dipilih tidak mempunyai masa untuk ‘honeymoon’, sebaliknya terus maju ke hadapan dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan. Segala permasalahan dan perkara berbangkit yang dikemukakan oleh rakyat seharusnya diselesaikan dalam kadar yang segera.
Oleh itu saya menyeru kepada semua agar dapat memberikan kerjasama dan komitmen yang sepenuhnya terhadap pengurusan MBSP terutama yang melibatkan kepada pelaksanaan dasar-dasar kerajaan. Hebahan yang sewajarnya harus dilaksanakan secara berhemah mengikut kreativiti dan cara penyampaian masing-masing.
Semoga tuan-tuan dan puan-puan yang dipilih dapat melaksanakan amanah yang telah diberikan ini seterusnya merealiasasikan aspirasi Kerajaan Negeri dan dan Visi serta Misi MBSP kepada seluruh rakyat Seberang Perai.
Sekian terima kasih