SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PROGRAM ANJAKAN PARADIGMA ERA TRANSFORMASI DIGITAL

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PROGRAM ANJAKAN PARADIGMA ERA TRANSFORMASI DIGITAL

18 JANUARI 2020

AUDITORIUM C, KOMTAR

Encik Burhanuddeen bin Mohamed Abdullah

Presiden Pertubuhan Pembangunan Masyarakat Sejahtera Pulau Pinang (PPMS)

Penceramah Jemputan:

  • Dato’ Sri Mahadi Badrul Zaman

Group CEO Financial Genius Group

  • Fazlu Muhyudin Syed Ibramsa

Para peserta

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Pembangunan Masyarakat Sejahtera Pulau Pinang (PPMS) atas kesudian menjemput saya untuk bersama-sama memeriahkan Program Anjakan Paradigma Era Transformasi Digital pada pagi yang berbahagia ini.

Program ini adalah terbuka kepada semua tanpa mengira umur dan latar belakang dan saya difahamkan pada mulanya hanya terhad kepada 100 orang peserta tetapi memandangkan ada permintaan dan sambutan yang menggalakkan, penganjur telah bersetuju untuk membuka penyertaan sehingga 150 orang peserta.  

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kita amat berbesar hati dan sentiasa mengalu-alukan sebarang usaha daripada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa aktif dalam memainkan peranan penting terutama dalam pembangunan sosial masyarakat

Dalam era transformasi digital yang melanda dunia masa kini, suka atau tidak kecanggihan teknologi telah membawa kepada perubahan cara hidup, cara bekerja dan cara kita berhubung antara satu sama lain. Sekiranya kecanggihan teknologi ini dimanfaatkan dengan cara yang betul, kehidupan manusia akan menjadi lebih efektif dan efisien, tetapi sekiranya disalahguna, keadaan sebaliknya akan berlaku.

Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri turut tidak mahu ketinggalan dalam memastikan rakyat negeri ini turut menerima manfaat daripada transformasi digital ini. Dalam merealisasikan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, Pulau Pinang giat membangunkan pelbagai inisiatif pintar, termasuklah memperkenalkan internet 5G menjadikan Pulau Pinang antara negeri terawal yang melaksanakan perkhidmatan sedemikian.

Baru-baru ini, Kerajaan Negeri turut menyokong inisiatif pihak swasta yang memperkenalkan perkhidmatan dompet elektrik (e-wallet), bukan sahaja kepada perniagaan besar tetapi turut menumpukan kepada para peniaga kecil-kecilan. Kerajaan Negeri berharap inisiatif ini akan mendapat sokongan daripada semua pihak.

Akhir kata, semoga program pada hari ini mencapai matlamat dan sasarannya yang tersendiri, serta menyuntik semangat masyarakat untuk bangkit demi mengharungi cabaran digitalisasi yang sedang dan bakal mempengaruhi kehidupan kini.

Dengan ini, saya merasmikan Program Anjakan Paradigma Era Transformasi Digital.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang