MAJLIS PELANCARAN FESTIVAL ANTARABANGSA SENI LUKIS KONTENA PULAU PINANG (PICAF) 2

 

UCAPAN OLEH YAB CHOW KON YEOW,

KETUA MENTERI PULAU PINANG

MAJLIS PELANCARAN FESTIVAL ANTARABANGSA SENI LUKIS KONTENA PULAU PINANG (PICAF) 2020

 

20 JANUARI 2020, ISNIN; 7.30 PETANG

-----------------------------------------------------------------------------

 

(SALUTASI)

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang berjaya menganjurkan Festival Antarabangsa Seni Lukis Kontena Pulau Pinang atau Penang International Container Art Festival buat julung kalinya.

Umumnya, saya amat menghargai komitmen semua pihak dalam menjadikan festival ini sebagai sebuah acara yang dinanti-nantikan bukan sahaja di Pulau Pinang malah juga di lain-lain lokasi.

Turut dihargai, para pelukis yang telah menghasilkan mural-mural yang begitu menarik perhatian ramai. Saya tidak pernah bayangkan bahawa kontena-kontena juga dapat diubah menjadi kanvas lukisan gergasi.

Sejak George Town disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, sektor pelancongan negeri ini telah melonjak sehingga berjaya menarik berjuta-juta pelawat setiap tahun. Menurut statistik Malaysian Airport Holdings Berhad, jumlah pergerakan penumpang (ketibaan dan pelepasan) di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) mencatatkan peningkatan sebanyak 6.92% iaitu 8,325,877 penumpang pada tahun 2019 berbanding 7,786,849 pelawat pada tahun 2018. Jumlah tersebut sebagai makluman semua bahawa ia telah melebihi 28 peratus daripada kapasiti pergerakan penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) sebanyak 6.5 juta bagi tahun 2019.

Malah, jumlah penumpang bagi kapal pesiaran di Pulau Pinang turut menunjukkan peningkatan lebih daripada 95,000 orang atau 27.1 peratus pada tahun 2019. Peningkatan itu menjadikan jumlah penumpang bagi kapal pesiaran yang dicatatkan di negeri ini adalah seramai 449,885 pada tahun 2019 berbanding hanya 354,047 pada tahun sebelumnya.

Tidak dinafikan bahawa kebanyakan pelawat ke sini adalah untuk merasai sendiri pengalaman kepelbagaian budaya, warisan, seni serta persekitaran semulajadi Pulau Pinang khasnya yang terdapat di Balik Pulau selain pantai-pantai, bukit-bukau serta panorama kota negeri ini.

Pada tahun ini, Pulau Pinang mengambil langkah tambahan untuk mempromosi pengalaman tempatan yang kaya, asli dan mengasyikkan buat para pelawat melalui Experience Penang 2020 (EPY2020) bertemakan ‘The Diversity of Asia’, iaitu sebuah kempen hasil inisiatif Pejabat Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan Negeri Pulau Pinang atau PETACH.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Sektor pelancongan merupakan penggerak utama kemajuan ekonomi negeri Pulau Pinang. Ia menjana pendapatan, mewujudkan peluang pekerjaan, mempromosi dan memelihara warisan kebudayaan dan alam semulajadi kita. Kini, prestasi sektor pelancongan negeri telah melepasi sektor pembuatan, dan Pulau Pinang diiktiraf sebagai salah satu destinasi pelancongan utama dunia.

Latar kesenian Pulau Pinang, terutamanya, telah menerima beberapa pengiktirafan antarabangsa sejak kebelakangan ini. The Guardian telah menyenaraikan Pulau Pinang memiliki salah satu Lukisan Jalanan Terbaik Dunia pada tahun 2013. Pada tahun 2017, Pulau Pinang juga merupakan satu-satunya destinasi Asia yang disenaraikan dalam buku Street Art yang diterbitkan oleh Lonely Planet. Pada tahun lalu, Pulau Pinang sekali lagi menjadi tajuk utama sebagai 7th Most Instagrammed City di dunia bagi lokasi lukisan jalanan.  

Festival Antarabangsa Seni Lukis Kontena Pulau Pinang yang berlangsung kini bakal sekali lagi meletakkan Pulau Pinang di peta dunia sebagai hab utama kebudayaan serta kesenian di wilayah utara ini. Ini adalah kali pertama festival sebegini diadakan di Asia yang mana kontena-kontena dilukis dengan mural. Festival ini menunjukkan bahawa Pulau Pinang merupakan sebuah tempat yang sentiasa bersedia untuk mencuba sesuatu yang baru dan di luar kotak iaitu mendahului dalam semua aspek.

Tambah unik adalah pemilihan latar belakang bendang di Balik Pulau sebagai lokasi perasmian penganjuran ini. Idea cetusan Exco PETACH, YB Yeoh Soon Hin adalah berasaskan pakej Balik Pulau yang wajar dipromosikan secara menyeluruh malah ia turut menjadi salah satu intipati di dalam perancangan serta pelaksanaan Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang (PTMP). Balik Pulau umpama permata pelancongan tersembunyi, ia bukan hanya terkenal dengan produk durian dan buah pala, malah kekayaan panorama alam semulajadi yang indah serta asli adalah amat sesuai untuk aktiviti ekopelancongan. Ditambah pula dengan tarikan perkampungan nelayan dan pekan-pekan kecil yang masih mengekalkan ciri-ciri asli Pulau Pinang. Syabas!

Umumnya, acara-acara seperti Festival Antarabangsa Seni Lukis Kontena Pulau Pinang ini telah berjaya menyuntik nafas baru kepada bandar-bandar di negeri ini. Ia juga bakal mewujudkan budaya dan kelompok reka bentuk yang akan membangunkan bakat, produk-produk serta perkhidmatan-perkhidmatan kreatif demi perkembangan industri-industri kreatif tempatan yang telah menyumbang dengan signifikannya berasaskan misi Visi Penang2030. 

Idea-idea kreatif ini telah membuatkan semua rakyat Pulau Pinang, pelancong tempatan serta luar negara teruja melihat bandar-bandar warisan lama bertukar menjadi sebuah lokasi yang menarik dengan idea-idea kreatif, baharu dan segar.

Hadirin sekalian,

Bertemakan Penang’s Local Identities, penganjuran ini telah berjaya mempamerkan lima buah kontena seni lukis yang ditempatkan di lima lokasi meliputi bahagian pulau dan Seberang Perai. Sebanyak 10 mural yang dilukis oleh 12 pelukis tempatan dan antarabangsa merupakan penceritaan visual identiti tempatan yang bertujuan untuk mewujudkan perasaan cintakan Pulau Pinang yang lebih mendalam.

Dalam menjayakan festival ini, pihak penganjur dan para pelukis telah bekerja keras untuk mengubah George Town, Jelutong, dan Balik Pulau di bahagian pulau serta Butterworth dan Batu Kawan di Seberang Perai menjadi galeri-galeri terbuka khasnya kepada peminat platform media-media sosial.

Justeru, saya berharap anda semua akan terhibur dan menikmati keunikan Festival Antarabangsa Seni Lukis Kontena Pulau Pinang ini. Semoga anda memperoleh inspirasi daripadanya dan terus menyokong industri kreatif Pulau Pinang.

Dengan ini, saya dengan besar hati merasmikan pelancaran Festival Antarabangsa Seni Lukis Kontena Pulau Pinang 2020.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang