SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN TAHUN BARU CINA PDC 2020
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN TAHUN BARU CINA PDC 2020
3 FEBRUARI 2020 ATRIUM PDC
YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang
YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang
YB Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri
YB Dato’ Abdul Razak bin Jaafar
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang
YB Dato’ Sarul Bahiyah binti Haji Abu
Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang
Yang Berbahagia Dato’ Mohd Bazid bin Haji Abdul Kahar
Pengurus Besar PDC
Yang Berbahagia Dato’ Loo Lee Lian
Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang
Yang Berusaha Puan Lim Swee See
Pengerusi Majlis Sambutan Tahun Baru Cina PDC 2020
Para jemputan
Pihak Pengurusan dan Kakitangan PDC
Ketua-ketua Pegawai Eksekutif Anak-Anak Syarikat PDC
Para media
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) atas penganjuran Majlis Sambutan Tahun Baru Cina pada petang yang berbahagia ini. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina “Gong Xi Fa Cai” kepada semua yang hadir khusus kepada warga kerja PDC.
Sebagai sebuah syarikat yang mempunyai kakitangan yang terdiri daripada kepelbagaian latar belakang kaum dan agama, PDC tidak pernah gagal untuk meraikan setiap perayaan yang ada ini dengan penuh tradisi sebagai lambang perpaduan dan rasa hormat yang wujud di kalangan warga kerja PDC. Saya difahamkan bahawa setiap perayaan akan ada jawatankuasa yang dibentuk di kalangan warga kerja PDC bagi menggerakkan dan menjayakan majlis dan program CSR (Corporate Social Responsibility).
Dan seperti mana yang dinyatakan oleh Pengerusi Majlis Sambutan Tahun Baru Cina PDC 2020, Puan Lim Swee See sebentar tadi, 5 buah keluarga B40 telah dipilih untuk menerima bantuan sempena perayaan kali ini. Semoga bantuan ini memberikan sedikit keceriaan dan sinar kebahagian kepada keluarga tersebut.
Sebagaimana signifikan sambutan Tahun Baru Cina yang diraikan dengan penuh tradisi berteraskan nilai positif yang terjalin, majlis seumpama ini dilihat amat bertepatan sebagai medium dan platform untuk merapatkan hubungan antara satu sama lain sekaligus mengekalkan suasana harmoni dan muhibah dalam komuniti PDC.
Umum mengetahui senario ekonomi dunia kian mencabar dan menuntut untuk kita semua sentiasa bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan. Sebagai sebuah agensi pembangunan sosio-ekonomi negeri ini, Kerajaan Negeri amat yakin PDC mampu untuk terus memacu pembangunan yang berkualiti demi manfaat yang menyeluruh kepada rakyat Pulau Pinang, sepertimana harapan dan impian Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Keluarga.
PDC kini sedang dalam perancangan untuk merangka strategi baru terutama dalam pembangunan sektor perindustrian bagi memenuhi keperluan para pelabur. Cadangan untuk menambahbaik kawasan-kawasan pembangunan sedia ada turut akan diteliti sebagai usaha tambahan untuk meningkatkan taraf hidup dan kualiti prasarana bagi kemudahan dan keselesaan warga negeri ini secara umumnya. Dengan Pelan Strategik PDC yang telah digariskan, saya pasti tindakan susulan ini mampu memberikan pulangan pendapatan yang lebih baik kepada PDC dalam tempoh jangka masa panjang.
Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis pada hari ini. Semoga penganjuran majlis pada hari ini menjadi titik permulaan untuk kita semua memperbaharui semangat dan komitmen demi daya tahan dan lebih kejayaan pada masa akan datang.
Sekian, terima kasih.