MAJLIS PELANCARAN PROJEK NYAMUK AEDES BER-WOLBACHIA PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2020

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PROJEK NYAMUK AEDES BER-WOLBACHIA PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2020

23 FEBRUARI 2020

DEWAN FLAT BUKIT GEDUNG

 

YB Dr Afif bin Bahardin

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan

YB Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Hussain

EXCO Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan

Dr Asmayani binti Khalib

Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang

Encik Zaini bin Ahmad

Pengerusi MPKK Bukit Gedung

Encik Farouk bin Hassan Ali

Pengerusi Pesatuan Penduduk Flat Bukit Gedung

Ketua-ketua Jabatan dan Pemimpin Komuniti

Rakan-rakan media

Tuan-tuan  dan puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang atas kesudian menjemput saya bagi menjayakan Majlis Pelancaran Program Nyamuk Aedes Ber-Wolbachia Peringkat Negeri Pulau Pinang pada pagi yang berbahagia ini.

Seperti mana yang kita semua sedia maklum, penyakit demam denggi telah menjadi antara masalah kesihatan paling dikhuatiri. Sehingga kini, tiada rawatan yang spesifik mahupun penemuan vaksin yang dibuktikan berkesan bagi mencegah wabak ini.

Selain daripada aktiviti kawalan dan pencegahan konvensional sedia ada, pelbagai strategi dan kaedah yang efektif telah direncana oleh pelbagai pihak bertanggungjawab bagi membendung permasalahan ini.

Kes demam denggi di Pulau Pinang pernah berada di tahap yang sangat membimbangkan beberapa tahun yang lalu sehingga memaksa Kerajaan Negeri mencari jalan penyelesaian dengan membuat pelaburan dalam inovasi dan teknologi Artificial Intelligence (AI) di bawah program Crush Aedes Totally (CAT) sebagai mekanisme untuk meramal lokasi wabak yang akan berlaku di sesebuah kawasan. Aplikasi sistem ini kemudiannya telah diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri bagi membolehkan tindakan kawalan vektor dilaksanakan dengan lebih awal.

Statistik terkini menunjukkan Pulau Pinang mencatatkan penurunan kes sebanyak 86% bagi tempoh Januari sehingga minggu ke 6 tahun 2020 iaitu hanya 182 jumlah kumulatif kes denggi berbanding 1,285 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.

Meskipun begitu, pemantuan statistik secara keseluruhan di negara ini masih menunjukkan berlakunya peningkatan kes denggi yang sangat drastik pada tahun 2019 berbanding tahun 2018, dengan peningkatan kes yang berterusan turut dicatatkan sehingga awal tahun 2020. Oleh yang demikian, Pulau Pinang tidak seharusnya merasa selesa dengan penurunan kes di negeri ini tetapi sebaliknya perlu mengambil langkah pencegahan denggi yang sewajarnya agar wabak ini dapat ditangani dengan sehabisnya.

Dengan inovasi baru yang diperkenalkan di peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pulau Pinang menyokong penuh langkah proaktif ini sebagai usaha tambahan untuk membebaskan negeri dan negara ini daripada wabak denggi. Tambahan lagi, analisa risiko yang telah dijalankan oleh Australian Commonwealth Scientific and Industrial Research Organization (CSIRO) pada tahun 2011 mendapati bahawa, inisiatif menggunakan nyamuk Aedes Ber-Wolbachia ini adalah selamat dan tidak memberikan sebarang risiko kepada manusia dan alam sekitar.

Projek Nyamuk Aedes Ber-Wolbachia yang kini telah memasuki fasa kedua pelaksanaannya telah memilih 3 daripada 8 lokaliti yang telah ditetapkan di peringkat kebangsaan di Pulau Pinang. 3 lokasi perintis yang dimaksudkan adalah di Flat Inderawasih (Daerah Seberang Perai Tengah), Flat Taman Manggis (Daerah Timur Laut) dan Flat Bukit Gedung (Daerah Barat Daya) di mana majlis kita pada hari ini diadakan.  

Seperti mana yang dimaklumkan, operasi pelepasan telur nyamuk ber-Wolbachia di ketiga-tiga buah lokaliti ini telah pun dimulakan sejak 19 November 2019 yang lalu. Sebanyak kira-kira 433, 500 telur nyamuk Aedes Aegypti yang disuntik bakteria Wolbachia telah dibekalkan oleh pihak Institut Penyelidikan Perubatan dan ditempatkan di lokaliti berkenaan.

Sasaran adalah supaya populasi nyamuk Aedes dewasa yang mempunyai bakteria ber-Wolbachia ini mencapai frekuensi melebihi 80% dan sekaligus menggantikan populasi nyamuk liar pembawa penyakit. Hasilnya, penularan denggi akan dapat dibendung memandangkan nyamuk Aedes ber-Wolbachia ini, tidak lagi berupaya memindahkan virus denggi kepada manusia.

Sehingga kini, pencapaian pelaksanaan projek adalah positif dengan peratusan penetasan telur menghampiri 100% dan kerosakan yang didapati pada bekas yang menempatkan telur nyamuk berkenaan adalah kurang dari 3%. Syabas saya ucapkan kepada semua yang terlibat dalam memastikan penghasilan nyamuk Aedes dewasa ber-Wolbachia ini berjalan dengan lancar.

Di kesempatan ini, saya ingin mengambil peluang ini untuk menggesa  agar penduduk setempat, wakil-wakil komuniti, jabatan dan agensi serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Persatuan Penduduk di kesemua lokaliti terpilih ini memberikan komitmen, kerjasama dan sokongan penuh bagi menjamin kelangsungan projek ini.

Aspek kebersihan persekitaran dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes masih perlu dijadikan keutamaan  kerana ia merupakan elemen utama dalam kawalan vektor pembawa demam denggi. Tanggungjawab untuk memelihara persekitaran harus dititikberatkan dan saya ingin mengulangi peringatan kepada semua untuk meluangkan sekurang-kurangnya 5-10 minit setiap hari bagi membersihkan kawasan persekitaran bagi mencegah pembiakan nyamuk aedes.

Saya yakin, sekiranya setiap lapisan masyarakat memberikan komitmen yang sepenuhnya dan memainkan peranan masing-masing, usaha ini mampu memperolehi kejayaan. Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan MAJLIS PELANCARAN PROJEK NYAMUK AEDES BER-WOLBACHIA PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG.

ADA WOLBACHIA, TIADA DENGGI, ZIKA DAN CHIKUNGUNYA. 

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang