KENYATAAN MEDIA OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG PADA 22 MAC 2020 DI KOMTAR, GEORGE TOWN

Rakyat Pulau Pinang yang dikasihi.

Hari ini merupakan hari ke-5 Perintah Kawalan Pergerakan.

Saya berharap anda masih kekal bersabar, kekal bertenang dan kekal berada di rumah masing-masing. Terima kasih atas usaha anda dalam ‘perang’ melawan COVID-19 ini.

Bercakap tentang ‘perang’, mulai jam 12 tengah malam tadi, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telahpun dikerah ke seluruh negara termasuk negeri Pulau Pinang bagi membantu menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan. Saya mewakili rakyat Pulau Pinang mengucapkan terima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia di atas sumbangan mereka.

Terima kasih juga kepada semua wira barisan hadapan, frontliners, yang bekerja tanpa henti untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan keselesaan rakyat Pulau Pinang terus terjamin.

Saya berharap anda semua akan mengambil serius akan keadaan kita sekarang. Angka terkini jumlah kes positif COVID-19 di seluruh negara telah mencecah 1,183 orang. Yang paling tragis sekali, wabak COVID-19 telah meragut lapan (8) nyawa berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam, 21 Mac 2020.

Walaupun saya bersyukur kerana tiada kes kematian COVID-19 di Pulau Pinang, namun jumlah kes positif COVID-19 di Negeri kita yang telah mencecah 50 orang setakat jam 4 petang semalam (21 Mac 2020) adalah wajar diberikan perhatian. Betul, angka ini masih rendah berbanding beberapa negeri-negeri lain, tetapi kita tidak boleh pandang ringan akan wabak ini. Kerajaan Negeri tidak sesekali memandang ringan. Kita semua perlu membuat pengorbanan untuk melawan COVID-19!

Ramai peniaga kecil mengadu tidak dapat membuka kedai.

Ramai juga warga emas tidak dapat berjumpa kawan-kawan lama mereka.

Ramai ibu bapa yang tidak dapat keluar membeli barang keperluan harian.

Ramai orang muda tidak dapat keluar bersiar-siar.

Ramai yang tidak dapat bersukan, tidak dapat melakukan kerja harian mereka, tidak dapat menjalani kehidupan biasa mereka.

Saya amat memahami kesulitan yang anda hadapi. Namun kita perlu bersabar dan terus mematuhi arahan. Hanya dengan kerjasama semua rakyat Pulau Pinang, baharulah kita boleh melawan wabak ini dan kehidupan kita akan kembali seperti sedia kala.

Pada penghujung minggu pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, izinkan saya memberikan kesimpulan terhadap tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri.

Pada minggu pertama, Kerajaan Negeri telah melaksanakan strategi jangka pendek dengan tiga objektif utama:

Pertama, meratakan lengkung wabak ataupun flatten the curve.

Kedua, memperkasa dan melindungi wira barisan hadapan.

Ketiga, mengemblengkan usaha kerajaan melalui pendekatan ‘whole-of-government’ bagi menjayakan usaha Perintah Kawalan Pergerakan.

Berpandukan objektif-objektif di atas, Kerajaan Negeri  telah mewujudkan Special Task Force COVID-19 pelbagai jabatan yang diketuai YB Setiausaha Kerajaan Negeri; melancarkan kempen Penang Lawan COVID-19 yang bertujuan memberikan maklumat dengan telus, jitu dan pantas kepada rakyat Pulau Pinang; menggerakkan kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membantu menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan serta melaksanakan kerja-kerja pembasmian virus (disinfection); dan membekalkan peralatan perubatan agar wira barisan hadapan mendapat sumber yang mencukupi untuk melawan wabak.

Sebagai makluman, sehingga kini, Kerajaan Negeri telah berjaya membekalkan peralatan seperti gaun pembedahan, katil serta bantal kepada pihak Hospital Pulau Pinang (HPP) sebagaimana dipohon; pelitup muka kepada barisan hadapan semalam; pengedaran hand sanitizer, termometer dan selanjutnya akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Pada minggu hadapan, Kerajaan Negeri akan memulakan strategi seterusnya, iaitu:

Pertama, meneruskan usaha meratakan lengkung wabak termasuk dengan terus mengagihkan hand sanitizers, termometer dan sebagainya kepada sektor-sektor tertentu seperti bangunan perumahan berstrata (contohnya, rumah pangsa, kondominium dan lain-lain berkaitan).

Seperti yang saya maklumkan semalam, Kerajaan Negeri sedang berusaha untuk mendapatkan bekalan pelitup muka ataupun face mask. Saya tahu bahawa ini merupakan kebimbangan orang ramai. Saya berjanji akan memaklumkan kepada anda secepat mungkin sekiranya Kerajaan Negeri memperoleh bekalan tersebut.

Keduanya, mengurangkan impak ekonomi terhadap golongan paling terkesan (most vulnerable group). Kerajaan Negeri telah mengumumkan peruntukan RM20 juta pada awal minggu ini bagi membantu golongan paling terkesan. Dalam tempoh beberapa hari ini, saya akan mengumumkan butiran lanjut berhubung peruntukan ini dengan mengambil kira keperluan-keperluan barisan hadapan (frontliners) terlebih dahulu.

Ketiga, membuat perancangan untuk membangunkan semula negeri Pulau Pinang pasca-Perintah Kawalan Pergerakan.

Saya faham keadaan yang kita hadapi sekarang adalah amat mengelirukan serta penuh cabaran. Ini merupakan keadaan baharu buat kebanyakan rakyat Pulau Pinang. Namun, saya ingin memberikan jaminan seperti yang saya katakan pada awal minggu ini: Kerajaan Negeri akan terus berfungsi dan saya tidak akan membiarkan rakyat Pulau Pinang diancam bahaya oleh wabak ini.

Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang