MAJLIS MENANDATANGANI “MASTER AGREEMENT FOR PROJECT DELIVERY PARTNER FOR THE IMPLEMENTATION OF PENANG TRANSPORT MASTER PLAN”
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS MENANDATANGANI
“MASTER AGREEMENT FOR PROJECT DELIVERY PARTNER FOR THE IMPLEMENTATION OF PENANG TRANSPORT MASTER PLAN”
DI ANTARA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG
DENGAN
SRS CONSORTIUM SDN. BHD.
1 JULAI 2020
ST GILES WEMBLEY
YB Dato' Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang
YB Profesor Dr. P. Ramasamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang
YB Dato’ Abdul Razak bin Jaafar
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang
YB Dato’ Sarul Bahiyah binti Haji Abu
Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang
YB Dato’ Norazmi bin Mohd Narawi
Penasihat Undang-undang Negeri Pulau Pinang
Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang
Ahli-ahli Parlimen Negeri Pulau Pinang
Yang Berbahagia Dato’ Lin Yun Ling
Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Bhd.
Yang Berbahagia Tan Sri Alex Ooi
Pengerusi Eksekutif Ideal Property Group
Yang Berbahagia Dato’ Lim Kean Seng
Ketua Pegawai Eksekutif Loh Poh Yen Holdings
Encik Szeto Wai Loong
Pengarah Projek SRS Consortium
Ketua-Ketua Jabatan
Rakan-rakan media
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
Selamat Tengah Hari dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua ke Majlis Menandatangani “Master Agreement for Project Delivery Partner for The Implementation of Penang Transport Master Plan” di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan SRS Consortium pada hari yang berbahagia ini.
Para hadirin sekalian,
Sebagaimana semua sedia maklum, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan sejak menerajui Pulau Pinang pada tahun 2008 sentiasa komited dalam mewujudkan sebuah persekitaran yang selesa, bersih, hijau, selamat dan liveable kepada seluruh rakyat di negeri ini.
Pelbagai usaha dan pendekatan diambil bukan sahaja pada aspek kebajikan, pendidikan, pembangunan ekonomi, pelaburan, perumahan dan pengekalan keharmonian di negeri ini, malah turut menjadi keutamaan Kerajaan Negeri adalah penyediaan infrastruktur yang sempurna kepada seluruh rakyat khususnya dalam menangani isu-isu berkaitan kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing.
Pada tahun 2015, Kerajaan Negeri melalui tender terbuka Request for Proposal (RFP) telah melantik SRS Consortium sebagai Rakan Pelaksana Projek (Project Delivery Partner - PDP) untuk melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (Penang Transport Master Plan – PTMP) yang menggariskan pendekatan serampang empat mata untuk memperkasakan enjin ekonomi rantau ini. Matlamat-matlamat inisiatif berkaitan adalah penambahbaikan kebolehhidupan, penjanaan peluang ekonomi baru, pemerkasaan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
Pelaksanaan PTMP merupakan langkah utama dalam mengubah landskap Pulau Pinang ke arah menjadi negeri yang moden dan pintar, menyediakan pendapatan yang lebih tinggi serta kualiti kehidupan yang lebih baik. Selain itu, sejajar perkembangan teknologi pesat di peringkat antarabangsa, adalah menjadi keperluan untuk Pulau Pinang bertindak secara proaktif dalam mewujudkan persekitaran bersepadu dengan mod intensif teknologi maklumat serta kemudahan yang canggih agar kita tidak terpinggir dalam arus pemodenan.
Umumnya, perjanjian ini merangkumi komponen utama PTMP iaitu:
- Bayan Lepas Light Rail Transit (BL LRT);
- Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1);
- Lebuhraya Pan Island Link 2A (PIL 2A); dan
- Penang South Reclamation (PSR)
Kerajaan Negeri melalui Letter of Award (LOA) bertarikh 12 Ogos 2015 kepada SRS Consortium telah bersetuju agar pihak SRS mendapatkan kelulusan-kelulusan wajib daripada agensi-agensi berkaitan sama ada di peringkat negeri ataupun Pusat. Setakat ini, hampir keseluruhan kelulusan telah diperoleh dan Kerajaan Negeri komited untuk meneruskan projek-projek ini demi kepentingan rakyat negeri ini secara menyeluruh.
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Sebagai makluman, kedua-dua pihak telah menempuh satu perjalanan yang amat panjang yang mana kepelbagaian sesi perbincangan, mesyuarat, bengkel serta sesi penglibatan telah dilaksanakan sejak tahun 2015 sebelum berlangsungnya majlis menandatangani Master Agreement pada hari ini. Terima kasih diucapkan kepada semua agensi terlibat yang sedia berkhidmat serta menjalankan amanah yang diberikan dengan sempurna untuk memuktamadkan Master Agreement ini.
Mengimbas kembali, perjalanan Kerajaan Negeri dalam merealisasikan PTMP – ikhlas saya katakan bahawa ia bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, demi anda semua, demi rakyat negeri ini dan demi anak cucu kita, Kerajaan Negeri terus komited dan sentiasa positif dalam menjayakan setiap agenda yang telah dirancang dengan penuh ketabahan serta kesabaran.
Melalui Majlis Pengangkutan Negeri Pulau Pinang yang ditubuhkan pada tahun 2009, Pelan Induk Pengangkutan Negeri Pulau Pinang telah disediakan pada tahun 2013, dan satu Request for Proposal (RFP) telah ditawarkan pada tahun 2015 oleh Kerajaan Negeri untuk pelaksanaan PTMP ini.
Setelah PDP iaitu SRS Consortium memenangi tawaran RFP tersebut, Kerajaan Negeri bersama PDP telah mula menyediakan dan membentangkan pelbagai laporan kajian penilaian untuk mendapat kelulusan agensi-agensi yang berkaitan. Malah, pelbagai sesi libat urus bersama pemegang taruh (stakeholders) telah diselaras dan ia masih giat dijalankan sehingga kini.
Lazimnya, peranan utama PTMP adalah untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang dilihat semakin meruncing di negeri ini dan secara tidak langsung telah memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi serta keseimbangan sosial Pulau Pinang. Kejayaan pelaksanaan projek ini sudah tentunya akan membawa kepada pertumbuhan inklusif dan seterusnya mengatasi jurang sosio-ekonomi antara wilayah utara serta selatan pulau, selain menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas secara menyeluruh.
Di samping itu, projek infrastruktur PTMP juga diyakini bakal meningkatkan produktiviti serta daya hidup Pulau Pinang, dan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri ini. Realitinya, projek infrastruktur seperti ini akan mengalihkan keadaan kesesakan lebih jauh dari pusat bandar apabila penyuraian trafik yang lebih efisien terjamin dengan adanya aksesibiliti yang lebih baik.
PTMP bermatlamat untuk mencapai 40 peratus mod pengangkutan awam berbanding mod dicatatkan kini yang hanya berjumlah 8 peratus.
Para hadirin sekalian,
Pulau Pinang melalui Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara akan terus memberi fokus kepada kesejahteraan seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang. Dalam Strategik Inisiatif D2 Strengthen Mobility, Connectivity and Digital Infrastructure, Kerajaan Negeri telah mengotakan janjinya dengan pelaksanaan PTMP, iaitu khusus untuk menyuraikan trafik supaya penduduk Pulau Pinang dapat bergerak dengan lebih efektif dan menjimatkan masa.
Malah, selaras dengan Visi Penang2030 yang digagaskan juga, pelaksanaan komponen dalam PTMP akan mengubah hala tuju Pulau Pinang ke arah sebuah negeri yang lebih mantap serta berdaya saing dengan mewujudkan kepelbagaian peluang pekerjaan baharu dan menggerakkan tenaga kerja ke arah nilai rantaian atau value chain yang lebih tinggi.
Secara keseluruhannya, projek PTMP akan menjadi pencetus kepada perubahan paradigma dalam pertumbuhan ekonomi merangkumi sektor elektrik dan elektronik; sektor pelancongan kesihatan; perkhidmatan perniagaan global atau Global Business Services (GBS); industri digital dan pelancongan dengan pengekalan nilai-nilai budaya dan warisan. Turut disasarkan adalah perubahan paradigma signifikan dalam pelaburan langsung asing atau Foreign Direct Investment (FDI) serta pelaburan semula perniagaan tempatan serta domestik.
Pada masa yang sama, PTMP dan PSR juga merupakan pendekatan Kerajaan Negeri yang dilihat sebagai projek Transformasi Ekonomi Pulau Pinang bagi tempoh 50 tahun akan datang untuk mewujudkan hub perkhidmatan dan pembuatan antarabangsa yang mantap. Penambakan kawasan seluas 4,500 ekar bakal membolehkan penyediaan Rumah Mampu Milik (RMM) berkualiti kepada golongan memerlukan di lokasi strategik yang dihubungkan dengan rangkaian pengangkutan awam yang sempurna. Pelan induk komprehensif ini secara tidak langsung boleh menarik minat pelabur asing dan seterusnya meningkatkan dinamika Negeri Pulau Pinang.
Sebagai inisiatif tambahan, Kerajaan Negeri juga telah menganjurkan Masterplan Design Competition (MDC) bagi memastikan pembangunan PSR kelak dapat mencapai pembangunan ke arah bandar pintar yang mampan dan berdaya saing serta mampu memberi manfaat kepada seluruh rakyat Pulau Pinang secara optimum. Pemenang MDC bagi pembangunan PSR akan diumumkan dalam masa beberapa minggu lagi.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Sebagai mengakhiri ucapan saya pada hari yang bersejarah ini, Kerajaan Negeri percaya bahawa masa depan Pulau Pinang adalah sangat bergantung kepada pembangunan PTMP dan PSR secara menyeluruh, yang mana ia akan menjadi produk transformasi penting untuk pertumbuhan yang sangat kompetitif dan membawa Pulau Pinang ke persada antarabangsa sebagai sebuah negeri pintar dalam dekad yang akan datang.
Maka besarlah harapan saya dan hasrat Kerajaan Negeri agar projek-projek yang dilaksanakan ini dapat memberi manfaat jangka panjang kepada seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang khususnya generasi pelapis kita yang akan datang.
Dengan ini, saya mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dan semoga dengan termeterainya perjanjian ini, pihak PDP bersama-sama Kerajaan Negeri dapat merealisasikan PTMP dan menjana ekomoni Pulau Pinang supaya terus berdaya maju dan cemerlang.
Sekian, terima kasih.