MAJLIS PELANCARAN INISIATIF TANPA TUNAI DI PASAR AWAM SELURUH NEGERI PULAU PINANG

TEKS UCAPAN PERASMIAN OLEH YAB TUAN CHOW KON YEOW KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN INISIATIF TANPA TUNAI DI PASAR AWAM SELURUH NEGERI PULAU PINANG

PADA 18 JULAI 2020 JAM 10.00 PAGI

BERTEMPAT DI PASAR AWAM BAYAN BARU

 

 

YB JAGDEEP SINGH DEO A/L KARPAL SINGH

EXCO KERAJAAN TEMPATAN, PERUMAHAN DAN PERANCANGAN BANDAR & DESA

 

YB DR. HAJAH NORLELA BT ARIFFIN

EXCO PERTANIAN, INDUSTRI ASAS TANI, PEMBANGUNAN LUAR BANDAR DAN KESIHATAN

 

AHLI-AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI

 

YB SIM TZE TZIN

AHLI PARLIMEN BAYAN BARU

 

YBHG. DATO’ SR HAJI ROZALI BIN HAJI MOHAMUD

DATUK BANDAR

MAJLIS BANDARAYA SEBERANG PERAI

 

YBHG. DATO’ IR ADDNAN BIN MOHD RAZALI

SETIAUSAHA BANDARAYA

MEWAKILI DATUK BANDAR MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG

 

KETUA-KETUA JABATAN

 

AHLI-AHLI MAJLIS MBPP DAN MBSP

 

WAKIL SYARIKAT PENYEDIA KEWANGAN

 

WAKIL PERSATUAN PENJAJA

 

RAKAN-RAKAN MEDIA

 

TUAN-TUAN & PUAN-PUAN SEKALIAN

 

SELAMAT PAGI DAN SALAM SEJAHTERA

 

PENDAHULUAN

Yang Berhormat/Yang Berbahagia Dato’/Tuan/Puan,

1.         Saya berasa amat berbesar hati dan berterima kasih kerana diberikan peluang dan kesempatan untuk bersama-sama tuan-tuan dan puan-puan pada pagi ini dalam Majlis Pelancaran Initiatif Tanpa Tunai di Negeri Pulau Pinang di Pasar Bayan Baru.

2.         Pertamanya, saya bagi pihak Kerajaan Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Bahagian Kerajaan Tempatan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta jabatan dan agensi negeri yang sentiasa menyokong visi Kerajaan Negeri, menerusi “Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara” yang merupakan hala tuju utama Kerajaan Negeri di peringkat akar umbi.

3.         Sesungguhnya, visi ini memerlukan usaha dan perancangan rapi serta penglibatan setiap jabatan dan agensi negeri untuk meningkatkan keupayaan dalam merangka dan melaksanakan pembangunan yang mampan, pintar serta inklusif sepertimana Initiatif Tanpa Tunai di Pasar Awam yang akan dilancarkan pada hari ini.

4.         Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Bank Negara Malaysia, WCIT 2020 Sdn. Bhd. dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di atas kerjasama yang diberikan untuk menjayakan Initiatif Tanpa Tunai di Pasar Awam ini yang merupakan satu usaha murni Kerajaan Negeri dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

5.         Bersesuaian dengan tema 4P ‘Partnership’ iaitu Public, Private, Professional Partnership, Kerajaan Negeri mengorak langkah dengan kerjasama pihak institusi-institusi perbankan dan pengeluar wang elektronik bukan bank bagi memastikan Pulau Pinang menjadi negeri Negeri Pintar Bertaraf Antarabangsa menjelang tahun 2030 melalui penggunaan transaksi digital bagi semua urusan pembayaran.

6.         Untuk makluman, inisiatif ini juga seiring dengan penganjuran program World Congress of Information Technology (WCIT) 2020 oleh Kerajaan Negeri pada bulan November 2020 sebagai sebahagian program Masyarakat Tanpa Tunai melalui proses pendigitalan ekonomi negeri. 

7.         Oleh yang demikian, program ini dilaksanakan bertujuan untuk memperluaskan aktiviti ekonomi peniaga melalui platform berteknologi tinggi serta pembayaran tanpa tunai bagi mengurangkan jurang digital di kalangan rakyat Negeri Pulau Pinang. 

8.         Walaubagaimanapun, inisiatif ini tidak bermaksud transaksi menggunakan wang tunai tidak diterima lagi. Orang ramai amatlah digalakkan untuk menggunakan e-pembayaran untuk tujuan jual beli tetapi masih boleh menggunakan wang tunai sebagai kaedah pembayaran alternatif.

 

PROJEK PERINTIS

 

Yang Berhormat/Yang Berbahagia Dato’/Tuan/Puan,

9.         Untuk makluman semua, inisiatif pembayaran tanpa tunai di Pulau Pinang bermula dengan pelaksanaan projek perintis pasar awam tanpa tunai di Pasar Awam Taman Tun Sardon pada bulan April yang lalu sebagai langkah untuk mengurangkan kontak atau sentuhan antara pembeli dan peniaga di Pasar Awam. Ini adalah sebagai salah satu usaha Kerajaan Negeri untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 di negeri ini.

10.       Berikutan kejayaan projek perintis di Pasar Awam Taman Tun Sardon, Kerajaan Negeri telah menjemput 17 institusi perbankan dan pengeluar wang elektronik bukan bank seperti Maybank, CIMB Bank, Public Bank, Hong Leong Bank, Ambank, Touch n Go Digital, Grab, Boost, Shopee, Razer, WavPay, MCash, KiplePay, GoBiz, iPay88, GHL, Fave dan Paynet untuk memigrasikan e-pembayaran di semua pasar awam di seluruh Pulau Pinang .

SASARAN INITIATIF DI SEMUA PASAR AWAM

 

Yang Berhormat/Yang Berbahagia Dato’/Tuan/Puan,

11.       Untuk itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyasarkan menjelang Disember 2020:

i.          90% dari jumlah keseluruhan 56 pasar awam menerima e-pembayaran;

ii.         70% dari jumlah keseluruhan 5,000 peniaga menerima e-pembayaran; dan

iii.        Mencapai sekurang-kurangnya 20,000 transaksi jual beli menggunakan e-pembayaran.

INSENTIF KEPADA PENIAGA PASAR AWAM

 

Yang Berhormat/Yang Berbahagia Dato’/Tuan/Puan,

12.       Bagi menggalakkan penggunaan pembayaran tanpa tunai, institusi perbankan dan pengeluar wang elektronik bukan bank juga telah menawarkan pelbagai insentif kepada para peniaga antaranya seperti:

  • pengecualian yuran pendaftaran, bayaran sewa, deposit, pemasangan dan yuran penyelenggaraan tahunan untuk terminal POS untuk tempoh tertentu;
  • pengurangan kadar caj Merchant Discount Rate (MDR);
  • pemberian ganjaran untuk peniaga e-pembayaran. 

13.       Kerajaan Negeri ingin mengucapkan penghargaan kepada penglibatan pihak institusi perbankan dan pengeluar wang elektronik bukan bank yang memberikan insentif yang menarik kepada peniaga seperti:

  • Pihak PayNet dan Public Bank akan memberikan insentif bulanan bernilai antara RM200 sehingga RM500 kepada peniaga yang aktif menggunakan platform DuitNow QR dan MyDebit bermula dari September 2020 sehingga Disember 2020. 
  • Pihak Wavpay pula akan melaksanakan pertandingan di antara pengguna dan peniaga yang menggunakan QR Wavpay dengan tajaan produk TV berukuran 32 inci hingga 65 inci bernilai RM10,000.00 kepada 4 peniaga dan pengguna dengan transaksi terbanyak dalam tempoh sebulan. 
  • Pihak Celcom turut memberikan peluang kepada penjaja yang tidak memiliki telefon pintar dengan menyediakan pakej telefon pintar percuma dengan pakej data yang amat berpatutan. Pihak Celcom turut menambah baik network coverage di sekitar pasar awam bagi memastikan transaksi atas talian yang berkesan tanpa gangguan.
  • Pihak Boost turut menawarkan bantuan micro-loan kepada peniaga melalui program ‘Aspirasi Assist’ yang menawarkan pembiayaan sehingga RM10,000.00 kepada para peniaga yang terlibat dengan initiatif tanpa tunai di pasar awam.

INSENTIF KEPADA PELANGGAN DI PASAR AWAM

14.       Di samping itu, pelanggan yang menggunakan e-pembayaran juga akan mendapat manfaat daripada program initiatif tanpa tunai ini iaitu pengguna yang menggunakan e-pembayaran tidak akan dikenakan sebarang kos, malah akan diberi ganjaran berbentuk “rebat tunai” atau “mata ganjaran” sekiranya membayar menggunakan platform e-pembayaran. Contohnya Maybank, Touch n Go Digital dan ShopeePay memberi rebat tunai kepada pengguna yang berbelanja di pasar awam; dan Grab dan Boost memberi pengguna mata ganjaran dan ‘cash back’.

TRANSFORMASI DIGITAL NEGERI

 

Yang Berhormat/Yang Berbahagia Dato’/Tuan/Puan,

15.       Bagi meneruskan agenda transformasi digital di Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri akan mempergiatkan usaha memperkenalkan inisiatif pembayaran tanpa tunai pada masa terdekat khususnya di tempat-tempat seperti berikut:

i.          Tempat pelancongan utama di sekitar Pulau Pinang, contohnya Bukit Bendera dan Batu Feringghi; 

ii.         Kafeteria, kedai dan pasar mini yang beroperasi di dalam syarikat multinasional di Zon Perindustrian Bayan Lepas dan Bayan Baru; dan

iii.        Perniagaan di dalam dan sekitar kawasan KOMTAR.

15.       Kerajaan Negeri turut mengharapkan kerjasama daripada semua pengguna dan peniaga untuk sama-sama menyokong inisiatif pembayaran tanpa tunai ini dan seterusnya meningkatkan daya saing untuk menjadikan negeri Pulau Pinang sebagai negeri pintar.

16.       Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah menubuhkan Digital Penang Corporation yang akan turut membantu mempromosikan proses pendigitalan ekonomi negeri ini melalui kepada peniaga dan rakyat melalui pendekatan yang mesra pengguna untuk meyakinkan mereka bagi mengunapakai kaedah tanpa tunai dalam sebarang transaksi.

PENUTUP

 

Yang Berhormat/Yang Berbahagia Dato’/Tuan/Puan,

17.       Sebagai Kerajaan yang prihatin dengan kesejahteraan rakyat, Kerajaan Negeri ingin menyeru dan menasihati rakyat Negeri Pulau Pinang terutamanya para peniaga untuk membuat persediaan awal dalam menghadapi pasca moratorium pada bulan Oktober yang akan datang. 

18.       Oleh yang demikian, bagi mereka yang terkesan dengan pandemik COVID19 dan berkemungkinan menghadapi kesukaran untuk menyambung balik pembayaran pembiayaan atau pinjaman, sama ada individu mahupun perusahaan mikro, kecil dan sederhana, anda diseru untuk segera menghubungi berbincang dengan institusi perbankan masing-masing atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatkan khidmat nasihat.

19.       Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap dengan Initiatif Tanpa Tunai Di Pasar Awam serta Grab Pasar akan dapat sedikit sebanyak membantu meningkatkan jualan para peniaga. Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga komited untuk terus mara ke hadapan dalam usaha pembaharuan digital dan pintar seiring dengan penglibatan setiap lapisan masyarakat dan pihak industri selaras dengan Visi Penang2030 untuk muncul sebagai negeri yang menginspirasikan negara.

20.       Adalah diharapkan penduduk Pulau Pinang akan bersama-sama menjayakan pelaksanaan inisiatif tanpa tunai di pasar awam seluruh negeri Pulau Pinang ini dan mengambil peluang menggunakan perkhidmatan yang disediakan ini.

PERASMIAN DAN PELANCARAN

21.      Saya dengan ini merasmikan MAJLIS INISIATIF TANPA TUNAI DI PASAR AWAM SELURUH NEGERI PULAU PINANG dengan tema Cashless Accelerating Transformation (CAT) dan melancarkan logo PENANG E-BAYAR “CEPAT, MUDAH, SELAMAT”.

 

Terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang