MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH PERTANDINGAN-PERTANDINGAN SEMPENA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) & PENYERAHAN CEK SUMBANGAN TABUNG PENANG LAWAN COVID-19

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH PERTANDINGAN-PERTANDINGAN SEMPENA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) & PENYERAHAN CEK SUMBANGAN TABUNG PENANG LAWAN COVID-19

26 JULAI 2020 (AHAD)

AUDITORIUM A, KOMTAR, PULAU PINANG

YB Soon Lip Chee

EXCO Belia & Sukan Negri Pulau Pinang, merangkap Timbalan Yang Di-Pertua Majlis Pengakap Negeri Pulau Pinang

Yang Berusaha Tuan Haji Zulkafli bin Kamaruddin

Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Pulau Pinang

Barisan pimpinan Pengakap Negeri Pulau Pinang

Para ibu bapa dan peserta

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Pulau Pinang atas komitmen yang telah diberikan dalam memastikan majlis pada pagi ini dapat diadakan dengan jayanya.

Saya difahamkan ini merupakan majlis yang pertama diadakan selepas pandemik COVID-19 dan sudah pastinya ia sangat dinanti-nantikan dengan penuh bersemangat oleh setiap anggota pengakap di Pulau Pinang. Sebagai Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri Pulau Pinang, saya gembira melihat setiap anggota pengakap masih kekal aktif dan teguh bersama dalam menghadapi situasi getir ini.

Dalam kita bersama-sama mengharungi pandemik COVID-19, aktiviti kepengakapan tetap diteruskan dalam normal kehidupan yang baharu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. Saya pasti barisan kepimpinan di bawah pentadbiran Tuan Haji Zulkafli bin Kamaruddin sebagai Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Pulau Pinang berwibawa dan penuh dedikasi dalam menyemarakkan lagi semangat ahli pengakap untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang walaupun peperangan melawan COVID-19 masih belum berakhir.

Ada pelbagai aktiviti dan program yang telah dirancang dan ada yang telah dijalankan dengan jayanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac yang lalu. Antaranya adalah seperti berikut:

  • Pertandingan kuiz pengakap dalam talian
  • Pertandingan melukis poster
  • Pertandingan video pendek dan foto kreatif
  • Kelas kepengakapan dalam talian
  • Ujian kepengakapan dalam talian
  • Perjumpaan kumpulan dalam talian dan banyak lagi

Saya juga gembira apabila dimaklumkan bawah Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang telah melancarkan Lencana Edisi Terhad Penang Lawan COVID-19 bagi disumbangkan kepada tabung Penang Lawan Covid-19. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua atas inisiatif menerbitkan lencana dan komitmen untuk sama-sama menyumbang kepada tabung Penang Lawan Covid-19. Kepada para pemenang, tahniah saya ucapkan dan semoga kejayaan ini akan menjadi pemangkin untuk masa depan yang lebih cemerlang.

Akhir kata, besar harapan saya agar semangat kepengakapan yang ada ini akan terus mekar demi meneruskan khidmat dan menyemarakkan kemajuan serta kejayaan kepengakapan. Ingat kita masih belum menang dan jangan sesekali leka. Terus kekalkan amalan 4P iaitu Penjarakan sosial, Pakai pelitup muka, Pencucian tangan dengan sabun dan Perhatikan gejala COVID-19.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang