MALAYSIA FIRST VANILLA SMART FARM
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
MAJLIS PERASMIAN PEMBUKAAN
‘MALAYSIA FIRST VANILLA SMART FARM’
15 OGOS 2020
PERMATANG PAUH AGRO PARK
__________________________________________________
YB Dr. Norlela binti Ariffin
EXCO Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan
Puan Barathi a/p Suppiah
Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang
Encik Muhaimin bin Ibrahim
Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang
Encik Ezra Tan Koon Hock
Pengarah Urusan Jubli Rebak Sdn. Bhd.
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan daripada Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI), Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang selaku agensi teknikal dan syarikat Kairos Agriculture atas komitmen yang telah ditunjukkan dalam memastikan Majlis Perasmian Pembukaan ‘Malaysia First Vanilla Smart Farm’ di Permatang Pauh Agro Park pada pagi ini dapat dijalankan dengan jayanya.
Selaras dengan aspirasi Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara :Tema B2 - Memodenkan dan Mempelbagaikan Pertanian Mampan, projek pembangunan Permatang Pauh Agro Park yang telah direncanakan sejak tahun 2017 ini mensasarkan golongan petani muda terutamanya dari Pulau Pinang untuk menceburi bidang pertanian. Di atas tanah seluas 22 ekar di atas Lot 311 dan 498, Mukim 19, Jalan Penanti – Ara Kuda, Seberang Perai Tengah milikan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SSI), Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) telah diberi tanggungjawab untuk menguruskan projek ini dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang.
Tapak berkeluasan 22 ekar ini kemudiannya telah dibahagikan kepada 11 lot kecil, bertujuan untuk membolehkan lebih banyak peluang dibuka kepada para petani muda untuk menyertai pembangunan pertanian di tapak ini. Daripada 11 lot, 1 lot telah diberikan kepada Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang untuk menyediakan kolam tadahan manakala baki 10 lot lagi akan diisi oleh para petani. Pada hari ini kita dapat menyaksikan terdapat pelbagai tanaman diusahakan oleh para peserta Permatang Pauh Agro Park seperti halia, sayur-sayuran serta tanaman unik seperti vanila yang diusahakan oleh Kairos Agriculture.
Pada suatu ketika dahulu, tanaman vanila mungkin jarang kita dengar ada di Malaysia. Namun kini, berikutan permintaan pasaran dan nilai komersialnya yang tinggi, tanaman ini makin mendapat tempat di kalangan para petani. Kairos Agriculture sendiri mempunyai tanaman di Sabah dan Sarawak yang hasilnya sangat bermutu tinggi dan berdaya saing sehingga mendapat pengiktirafan daripada syarikat berperisa di Jepun.
Kini, di Malaysia First Vanilla Smart Farm, Permatang Pauh Agro Park, Kairos Agriculture telah menggunakan teknologi sedia ada dan tambahan teknologi baru dalam proses penanaman termasuk sistem pengairan dan pengumpulan data kelembapan udara, suhu, kesuburan tanah dan intensiti cahaya bagi menghasilkan vanila yang bermutu tinggi. Konsep organik dan ‘chemical free’ yang dipraktikkan juga mampu menarik penghasilan ekstrak vanila yang telah disahkan halal dan mampu meningkatkan kebolehpasaran produk secara meluas.
Kerajaan Negeri amat yakin bahawa Vanilla Smart Farm yang sedang diusahakan ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dan dapat dinaiktaraf pada masa depan dengan bantuan dan sokongan daripada agensi – agensi kerajaan dan swasta. Justeru, saya berharap usaha Kairos Agriculture dapat menjadi contoh kepada agropreneur muda terutama di Pulau Pinang untuk melibatkan diri dalam bidang pertanian yang terbukti penting untuk menjana ekonomi setempat.
Sebagai menyatakan sokongan Kerajaan Negeri terhadap usaha yang sedang dilakukan oleh pihak syarikat, sukacitanya saya umumkan pada pagi ini bahawa lot tambahan sebanyak 4 ekar (2 lot) akan dipajakkan kepada Kairos Agriculture untuk tanaman cash crops bagi menampung kos pengoperasian tanaman vanila sedia ada. Semoga dengan penambahan lot ini ia dapat menjadi pemangkin kejayaan bukan sahaja kepada Kairos Agriculture, tetapi juga sebagai lokasi tarikan baharu untuk negeri ini.
Akhir kata, tahniah dan syabas sekali lagi kepada Perbadanan Ketua Menteri (CMI), Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, Kairos Agriculture dan semua pihak yang terlibat dalam usaha mewujudkan industri pertanian yang berdaya saing, pengeluargan produk berkualiti, selamat dan mesra alam serta berorientasi eksport di Pulau Pinang.
Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Malaysia First Vanilla Smart Farm, Permatang Pauh Agro Park.
Sekian, terima kasih