MAJLIS SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN: SEMARAKKAN SEMANGAT PATRIOTIK KIBAR JALUR GEMILANG DI PERUMAHAN AWAM NEGERI PULAU PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN: SEMARAKKAN SEMANGAT PATRIOTIK KIBAR JALUR GEMILANG

DI PERUMAHAN AWAM NEGERI PULAU PINANG

29 OGOS 2020

RUMAH PANGSA DESA WAWASAN

 

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa

YB Sim Chee Keong

Ahli Parlimen Bukit Mertajam

YB Chong Eng

EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam merangkap ADUN Padang Lalang

Yang Berusaha Tuan Kamarul Haizal bin Koderat

Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah

Para penduduk Rumah Pangsa Desa Wawasan

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada YB Jagdeep Singh selaku EXCO Perumahan dan Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas inisiatif yang dilaksanakan untuk menganjurkan majlis yang diraikan secara sederhana namun tetap meriah iaitu Majlis Kibar Jalur Gemilang di Perumahan Awam Negeri Pulau Pinang seperti mana yang diadakan di Rumah Pangsa Desa Wawasan, Bukit Mertajam pada pagi yang berbahagia ini.

Saya difahamkan majlis pada pagi ini diadakan serentak di lima (5) lokasi Perumahan Awam Negeri Pulau Pinang yang terpilih iaitu Rumah Pangsa Desa Wawasan, Rumah Pangsa Kampung Melayu, Rumah Pangsa Taman Free School, Rumah Pangsa Taman Tun Dr. Awang dan Rumah Pangsa Seberang Perai Selatan. Saya berharap penganjuran majlis seperti ini dapat memberi kesedaran dalam usaha kita untuk terus menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dan kecintaan kepada negeri dan negara tercinta.

Meskipun sambutan kemerdekaan pada tahun ini sangat berbeza berikutan situasi semasa COVID-19 sehingga Kerajaan Negeri turut membuat keputusan untuk membatalkan penganjuran Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pulau Pinang, namun demikian Kerajaan Negeri masih menggalakkan program-program berskala kecil seperti ini diteruskan dengan prosedur operasi standard (SOP) seperti mana yang telah ditetapkan.

Selaras dengan Tema C: Memperkasakan Masyarakat Untuk Mengukuhkan Penyertaan Sivik sebagaimana dalam Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, pemerkasaan komuniti adalah sangat penting dan menjadi penanda aras dalam pembangunan negeri. Penglibatan masyarakat dalam penganjuran pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan akan terus diadakan dari semasa ke semasa kerana di situlah akan terpupuknya rasa hormat, kemesraan dan nilai positif yang lain.

Dengan tema ‘Malaysia Prihatin’, saya menyeru kepada semua agar terus prihatin dengan apa yang berlaku di persekitaran terutama ketika kita semua masih dibelenggu virus COVID-19. Teruskan amalan kebersihan diri yang tinggi seperti memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan dengan terus mengekalkan jarak fizikal yang telah disarankan. Dengan keadaan penularan wabak COVID-19 yang sedang melanda seluruh dunia pada ketika ini, semua penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan NGO mahupun orang perseorangan berganding bahu memerangi wabak ini. Saya ingin mengambil peluang untuk mengucapkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang sehingga ke hari ini masih bertungkus lumus bertugas memerangi wabak COVID-19.

Di pihak Kerajaan Negeri, kita akan terus memastikan kebajikan dan kelangsungan rakyat terus diberi perhatian dan pertimbangan utama. 3 Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang dengan setiap satu berjumlah RM75 juta, RM76 juta dan yang terkini berjumlah RM4.5 juta, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM155.5 juta diberikan khusus untuk golongan yang terkesan, pasaran serta industri tersasar untuk membantu kelangsungan individu dan pembangunan ekonomi.

Melalui kesemua pakej tersebut, Kerajaan Negeri mengemukakan 20 insentif antara lainnya adalah dengan memberikan rebat cukai taksiran selain bantuan wang tunai kepada pasukan barisan hadapan, nelayan, pengusaha taska, penjaja serta peniaga kecil. Setiap satu pakej bantuan ini diberikan kepada pelbagai kumpulan sasar dengan hasrat agar bantuan ini dapat mengurangkan beban golongan yang terkesan ketika waktu mencabar ini.

Tekad dan perhatian Kerajaan Negeri pada ketika ini adalah untuk mengharungi keadaan semasa dan pasca COVID-19. Kerajaan Negeri ingin mengulangi komitmen kita untuk terus memberikan yang terbaik kepada rakyat.

Akhir kata, saya ingin sekali lagi untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir pada pagi ini. Terus kibarkan jalur gemilang kebanggaan kita semua.

Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacita merasmikan program “Semarakkan Semangat Patriotik Kibar Jalur Gemilang Di Perumahan Awam Negeri Pulau Pinang”.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang