MAJLIS PERASMIAN COMMUNITY FARMING (KEBUN KITAR)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN COMMUNITY FARMING (KEBUN KITAR)

14 SEPTEMBER 2020 (ISNIN)

PERPUSTAKAAN DIGITAL PULAU PINANG FASA 1

__________________________________________________

Profesor Madya Dr. Mohd. Zahuri bin Khairani

Dekan Fakulti Seni, Komputeran dan Kreatif Industri, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Puan Bharathi a/p Suppiah

Timbalan Pengurus Besar, Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI)

Encik Hamdan Abdul Majeed

Pengarah Urusan Think City

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI), Think City Sdn. Bhd. (ThinkCity) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) atas kolaborasi membangunkan projek Community Farming di Perpustakaan Digital Pulau Pinang Fasa 1 (PDL1).

Bertitik tolak daripada idea dan kejayaan ‘Malaysia First Vanilla Smart Farm’ di Permatang Pauh Agropark yang telah dirasmikan pada 13 Ogos lalu, Kerajaan Negeri melihat inisiatif projek Community Farming dalam sektor pertanian mempunyai prospek yang sangat cerah untuk dimajukan dengan suntikan segala kepakaran dan teknologi baru, selaras dengan hasrat Visi Penang2030 yang diperkenalkan di bawah Tema B – Menaik taraf ekonomi bagi meningkatkan pendapatan isi rumah.

Dengan fokus tiga (3) aspirasi utama iaitu Keluarga (Family), Hijau (Green) dan Negeri Pintar (Smart State), Kerajaan Negeri berhasrat untuk mewujudkan 100 hab kebun komuniti berkonsepkan pertanian bandar (urban farming) dengan aktiviti penanaman sayur-sayuran secara organik di negeri ini, menjelang tahun 2030.

Di atas tanah berkeluasan kurang daripada 2,000 kaki persegi, PDL1 milikan CMI ini dipilih berikutan lokasinya yang sangat bersesuaian dan strategik sebagai salah satu hab pengetahuan di negeri ini yang sering menerima kunjungan daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.

Saudara dan saudari sekalian,

Projek ini mendapat pembiayaan sepenuhnya daripada ThinkCity manakala UPSI telah menggunakan kepakaran mereka untuk membangunkan projek ini secara 100 peratus termasuk pembangunan sistem agrikultur dan sistem Internet of Things (IoT).

Di samping itu, Jabatan Pertanian Negeri juga telah menyumbangkan anak benih dan anak-anak pokok bagi menjayakan community farming ini. Projek yang merangkumi beberapa model seperti penanaman secara batas, vertical aquaponic dan mesin kompos Economical Food Waste Composter (EFWC) dalam smart and green community farming di PDL1 ini akan menjadi kajian perintis (pilot project) dan model rujukan yang boleh diguna pakai di setiap tanah pocket land Kerajaan Negeri yang belum diusahakan.

Malah, hasil tanaman community farming akan diagihkan melalui saluran sedia ada seperti jalinan kerjasama bersama Mutiara Food Bank di Pulau Pinang serta pengagihan kepada wakil rakyat yang berdekatan. Setiap fasa community farming ini akan diuruskan melalui aplikasi seperti Kebun Kitar dan K2K yang akan membantu dalam penjagaan, pengurusan serta pengagihan hasil tanaman secara telus kepada komuniti B40.

Selain itu, salah satu pendekatan menarik mengenai projek community farming di PDL1 ini adalah jaminan keselamatan makanan atau food security dalam negeri. Baja yang digunakan adalah baja kompos organik dari mesin kompos Economical Food Waste Composter iaitu hasil inovasi Profesor Madya Dr. Che Zalina dari UPSI. Sehubungan itu, pada hari ini juga, kita berpeluang menikmati makanan berkhasiat tanpa bahan kimia hasil daripada projek ini dan disediakan oleh barisan chef muda serta berpengalaman dari CAC Academy of Chefs, Pulau Pinang.

Serentak itu, hasil inovasi Profesor Madya Dr. Che Zalina yang sudah dalam tempoh permohonan patent ini juga telah diguna pakai di beberapa lokasi lain termasuk kediaman Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, beberapa buah sekolah sebagai bahan pendidikan, restoran, komuniti setempat dan lain-lain.

Sebagai tambahan, lebih daripada 27 mesin kompos yang dicipta oleh Profesor Madya Dr Che Zalina telah diguna pakai di sekitar Butterworth hasil kolaborasi bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan sekitar George Town.

Hadirin sekalian,

Melalui inisiatif community farming ini, adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri agar komuniti berdekatan dapat menikmati hasil tanaman dengan mudah. Secara tidak langsung, ia juga dapat diguna pakai untuk menjana ekonomi sosial jangka pendek kepada komuniti berdekatan dalam mewujudkan pekerjaan harian atau bulanan khasnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah serta yang terjejas akibat pandemik COVID19.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk menyarankan agar jabatan dan agensi Kerajaan Negeri untuk menyahut cabaran melaksanakan community farming di bawah seliaan jabatan serta agensi masing-masing dalam usaha untuk mencapai hasrat Kerajaan Negeri untuk mewujudkan 100 hab kebun komuniti berkonsepkan pertanian bandar (urban farming).

Akhir kata, saya sekali lagi ini mengucapkan terima kasih kepada CMI, ThinkCity, Fakulti Seni, Komputeran dan Kreatif Industri, UPSI dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek perintis ini berada di landasan yang tepat dalam usaha mentransformasikan Pulau Pinang kepada bandar hijau serta pintar.

Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan projek community farming di Perpustakaan Digital Pulau Pinang Fasa 1 (PDL1).

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang