MAJLIS UPACARA PECAH TANAH PROJEK PENGHIJAUAN TAMAN KEJIRANAN LEBUH SUNGAI PINANG 7

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS UPACARA PECAH TANAH

PROJEK PENGHIJAUAN TAMAN KEJIRANAN

LEBUH SUNGAI PINANG 7

4 OKTOBER 2020

LEBUH SUNGAI PINANG 7

__________________________________________________

 

 

  • B. Ahli-Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
  • B. Ahli-Ahli DUN Pulau Pinang
  • B. Ahli Parlimen
  • Ketua-Ketua Jabatan
  • Ahli-Ahli Majlis
  • Ahli-Ahli Lembaga Perbadanan Stadium Dan Kawasan Lapang Pulau Pinang
  • Ahli-Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung
  • Rakan-Rakan Media
  • Tuan/Puan para hadirin yang dihormati sekalian

 

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang atas penganjuran Majlis Upacara Pecah Tanah Projek Penghijauan Taman Kejiranan Lebuh Sungai Pinang 7 pada pagi yang berbahagia ini.

Kalau semua masih ingat, cadangan untuk mewujudkan Taman Kejiranan Lebuh Sungai Pinang 7 di atas Lot 552 dan Lot 576 ini telah dibentangkan semasa pembentangan bajet dengan tema “Penang2030 Teras Kejayaan Kemakmuran Bersama” ketika Mesyuarat Kedua Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Keempat Belas pada 1 November 2019 yang lalu.

Dengan keluasan 3 ekar, konsep dan tujuan asal projek ini adalah untuk menukarkan tanah lapang menjadi Taman Kejiranan Dalam Bandar yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan riadah, sebagai salah satu usaha Kerajaan Negeri untuk menambah kemudahan rekreasi dalam kawasan bandar yang mempunyai ruang dan tanah yang terhad. Setakat hari ini, 69 Taman Kejiranan telah dibangunkan di Daerah Timur Laut (DTL).

Kerja-kerja projek penghijauan ini dijangka akan siap sepenuhnya pada Julai 2021 dengan beberapa kemudahan infrastruktur akan dibangunkan beserta 100 petak letak kereta untuk kemudahan dan tarikan orang awam. Terdapat sembilan (9) komponen utama yang akan dibina khas, iaitu:  

  1. Kawasan simpanan pokok yang terdiri daripada pokok-pokok nadir yang berasal dari Pulau Pinang
  2. Taman Teraputik
  • Bangku-bangku daripada pokok
  1. Dataran Terbuka
  2. Taman “Silver Garden”
  3. Astaka Tema Hutan
  • Alatan Senaman Taman
  • Padang Rekreasi
  1. Taman Rama-Rama

Sesi kumpulan tumpu bincang atau “focus group discussion” telah diadakan seawal 3 November 2019 yang lalu dengan dihadiri oleh EXCO Belia dan Sukan merangkap Ahli Lembaga Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang, YB Soon Lip Chee, ADUN Sungai Pinang YB Lim Siew Kim, pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dan penduduk setempat bagi mengumpul dan memperolehi maklum balas yang bersesuaian dengan projek penghijauan ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya dengan sukacita berharap apabila siapnya projek ini kelak, ia mampu menjadi salah satu tarikan dan lokasi pilihan yang baru untuk beriadah dan berekreasi yang unggul di negeri ini.

Dengan kata-kata ini, saya dengan ini merasmikan Majlis Upacara Pecah Tanah untuk taman ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang