MAJLIS PENYERAHAN KUNCI PROJEK RUMAH MAMPU MILIK DUA RESIDENSI, TELUK KUMBAR
TEKS UCAPAN YAB CHOW KON YEOW
KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN KUNCI PROJEK RUMAH MAMPU MILIK DUA RESIDENSI, TELUK KUMBAR
10 OKTOBER 2020 (SABTU)
8.45 PAGI
PROJEK PERUMAHAN MAMPU MILIK DUA RESIDENSI, TELUK KUMBAR
Yang Berhormat Dato’ Ir. Hj. Amad Zakiyuddin Bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri 1
Yang Berhormat Professor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri 2
Yang Berhormat Tuan Jagdeep Singh Deo a/l/ Karpal Singh
Ahli EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa
Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Halim bin Hj Hussein
Ahli EXCO Perdagangan & Industri dan Pembangunan Keusahawanan
Yang Berhormat Dato’ Dr. Mohamad Farazi bin Johari
Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang
Yang Berhormat Tuan Azrul Mahathir Aziz
ADUN Bayan Lepas
Yang Berhormat Muhammad Baktiar Wan Chik
Ahli Parlimen Balik Pulau
Yang Berbahagia Dato’ Mohd Bazid bin Abdul Kahar
Ketua Pegawai Eksekutif PDC
Barisan Pengurusan atasan PDC
Wakil-wakil Jabatan
Para media
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian
Tahun 2020 merupakan tahun yang begitu mencabar buat seluruh dunia apabila kita dikejutkan dengan penularan wabak pandemik Covid-19. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan rakyat negeri ini tidak pernah patah semangat untuk terus mengorak langkah bagi mengharungi pelbagai cabaran yang kian meruncing dan kelembapan ekonomi sejagat akibat penularan wabak pandemik yang telah mengancam seantero dunia.
Seperti semua sedia maklum, PDC turut terkesan hebat berikutan penularan wabak pandemik ini. Walau bagaimanapun, sebagai peneraju pembangunan dan penggerak ekonomi Kerajaan Negeri, PDC sentiasa bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri dalam semua perancangan pelaksanaan strategi pembangunannya. Ini adalah untuk merealisasikan bukan sahaja visi dan misinya sendiri malah juga untuk Visi Penang2030 yang ditunjangi empat (4) asas realistik utama terutamanya: -
Tema 1 − Meningkatkan daya huni bagi meningkatkan kualiti kehidupan - yang mana isu-isu awam seperti perumahan, keselamatan, kebajikan dan sebagainya akan dititikberatkan.
Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berjaya melaksanakan tanggungjawabnya selari dengan tema ini dengan penyediaan dan membina sejumlah 106,742-unit rumah mampu milik tersedia pada pelbagai peringkat sehingga ini. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 34,388-unit telah siap dibina; 20,180-unit sedang dibina dan 52,174-unit telah diluluskan pembinaannya. Malah, daripada jumlah tersebut juga, sebanyak 26,616-unit adalah rumah mampu milik (RMM) Jenis A; 26,995 (Jenis B) dan 53,131 (Jenis C) dengan harga tawaran masing-masing bernilai RM42,000, RM72,500 dan bawah RM300,000.
Dalam pada itu, di bawah PDC, sebanyak 21,484-unit Rumah Mampu Milik telah disediakan iaitu mengikut pecahan adalah merangkumi 3,307-unit telah siap dibina; 2,947-unit sedang dibina dan 15,230-unit dalam perancangan.
Dalam usaha untuk melestarikan kesinambungan asas-asas realistik yang utama inilah yang menjadikan PDC sentiasa komited dalam merancang dan melaksanakan projek-projek Perumahan Mampu Milik (PMM) bagi warga negeri Pulau Pinang, sebagaimana tahun-tahun sebelumnya bagi melunaskan tanggungjawab sosial perumahannya kepada golongan sasaran dengan harapan dapat menghasilkan pembangunan sektor perumahan yang lebih berdaya huni dan teratur bagi dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Di samping projek-projek Perumahan Mampu Milik yang telah dirancang sebelum ini, PDC turut mencari ruang dan peluang untuk menambah projek-projek Perumahan Mampu Milik yang baru berdasarkan permintaan dan lokasi yang sesuai agar pelaksanaannya adalah bertepatan dengan kehendak semasa di samping mewujudkan persekitaran hijau yang bersih, harmoni dan menjamin kesejahteraan penduduk Negeri ini.
Lantaran itu, PDC bersama dengan Kerajaan Negeri telah merancang beberapa Projek Perumahan Mampu Milik di mana projek-projek ini mampu merealisasikan impian setiap rakyat Negeri ini untuk memiliki kediaman mampu milik dengan persekitaran yang sihat dan selamat di samping mengekalkan ekosistem bumi hijau di persekitaran kediaman yang dihuni.
PDC bersama Kerajaan Negeri telah mula membangunkan projek-projek Perumahan Mampu Milik bermula tahun 2013 di mana antara projek-projek Perumahan Mampu Milik yang kini telah siap sepenuhnya serta yang masih dalam peringkat pembangunan adalah seperti berikut:-
- Projek Suria 1 di Bandar Cassia, Batu Kawan yang memiliki 520 unit telah disempurnakan penyerahan kunci pada Mei 2018.
- Projek Dua Residensi, Teluk Kumbar iaitu projek yang berlangsungnya penyerahan kunci pada hari ini yang mempunyai 694 unit.
- Projek Jiran Residensi, Butterworth yang memiliki 707 unit dan dijangka memperolehi CCC pada awal Januari 2021.
- Projek Cecil Residensi, Georgetown yang masih 21% dalam pembinaan serta mempunyai 348 unit dan
- Projek Mak Mandin Residensi, Butterworth yang masih baru iaitu pada 3% peringkat pembinaan.
Sedikit makluman mengenai Projek Dua Residensi ini - ianya memiliki sejumlah 694-unit dengan fasiliti dan infrastruktur penuh yang terdiri daripada pelbagai kemudahan awam. Projek ini juga amat berdekatan dengan Jambatan Kedua Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa. Kesalinghubungan kawasan projek ini ke serata pulau dan ke tanah besar amatlah baik sekali.
Oleh itu, adalah menjadi harapan saya bahawa dengan terlaksananya projek-projek Perumahan Mampu Milik yang telah dirancang dengan teliti ini, maka warga Pulau Pinang secara amnya akan dapat memilki kediaman sendiri dan menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan terjamin.
Akhir kata, saya ingin berterima kasih kepada PDC di atas sumbangan dan usaha gigih mereka yang begitu komited dalam menggalas amanat Kerajaan Negeri bagi bersama-sama merancang dan melaksanakan projek kediaman yang mampu melestarikan hidup yang harmoni, selamat dan terjamin untuk seluruh warga Pulau Pinang.
Sekian, terima kasih.