SIDANG WANITA PWDC PULAU PINANG 2020

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA SIDANG WANITA PWDC PULAU PINANG 2020

 

20 OKTOBER 2020

DEWAN SRI PINANG

 

Yang Berhormat Dato’ Law Choo Kiang

Yang di-Pertuan Dewan Undangan Negeri

Yang Berhormat Puan Chong Eng

EXCO Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam

merangkap Pengerusi Penang Women’s Development Corporation (PWDC)

Yang Berhormat Puan Kasthuriraani Patto

Ahli Parlimen Batu Kawan

merangkap Pengerusi Jawatankuasa Petugas Sidang Wanita Pulau Pinang 2020

Yang Berhormat Dr. Hajah Norlela Ariffin

EXCO Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan

Yang Berusaha Puan Ong Bee Leng

Ketua Pegawai Eksekutif PWDC

Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri

Ahli-ahli Lembaga Pengarah PWDC

Rakan-rakan Media

Puan-puan dan tuan-tuan

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang terpilih dalam Sidang Wanita PWDC Pulau Pinang 2020. Saya dimaklumkan bahawa persaingannya adalah sengit dan jawatankuasa pemilihan menghadapi kesulitan dalam membuat keputusan pemilihan.

Daripada beberapa sesi bengkel pemilihan, 40 orang peserta/ pemimpin wanita yang ada di hadapan ini adalah yang terbaik di kalangan lebih 400 orang yang berminat bagi menjalani simulasi Mesyuarat Dewan Undangan Negeri. Sejarah tercipta hari ini. Satu tepukan untuk semua.   Anda semua telah menunjukkan bahawa pemimpin wanita juga amat fasih, lantang dan berkemahiran untuk mengetengahkan buah fikiran dalam membela hal-ehwal pembangunan negeri dan hak sejagat komuniti.

Penganjuran yang julung kali diadakan ini merupakan salah satu bentuk pendekatan baharu bagi membolehkan golongan wanita memahami selok-belok bidang politik di samping dapat mempelajari dan memahami peranan setiap wakil rakyat terutama dalam menggubal dasar dan undang-undang. Penyertaan anda merupakan bukti yang kukuh dan nyata dalam menghapuskan stereotaip gender bahawa wanita tidak minat dalam bidang politik.

Sebagai seorang pemimpin politik, peranan dan tanggungjawab tugasan ini bukan sekadar untuk memperkaya jiwa, tetapi juga membawa manfaat kepada komuniti setempat. Saya berbesar hati kerana anda sudi mengorbankan masa untuk menyertai program sedemikian sekaligus memberikan harapan kepada Pulau Pinang dalam melahirkan barisan pelapis baru yang berbakat dan bertanggungjawab.

Dalam merealisasikan Visi Penang2030, Kerajaan Negeri ingin mengulangi komitmen dan pendirian bahawa pemerkasaan golongan wanita akan terus diperkukuhkan dan diberi perhatian yang sewajarnya. Sebagai satu-satunya negeri yang menubuhkan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dan meluluskan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK), setiap program dan perancangan dalam proses pemerkasaan wanita yang dilaksanakan haruslah seiring dengan pembangunan sosial dan pembangunan wanita.

Pemerkasaan wanita adalah penting dalam mencapai kesaksamaan gender dan keadilan sosial.  Apabila  tercapainya kesaksamaan gender, golongan wanita dan lelaki akan mempunyai akses yang sama untuk menikmati sumber yang ada seperti pendidikan dan kesihatan, di samping peluang yang sama untuk pekerjaan dan menjadi pembuat keputusan.

Secara realitinya, kita belum sampai ke tahap itu.  Masih terdapat jurang gender sehingga hari ini. Walaupun demikian, kita tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan atau membiarkan proses itu mengalami perubahan secara semula jadi sahaja. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil langkah-langkah intervensi untuk memacukan aspirasi dalam mencapai kesaksamaan gender. 

Seringkali, Kerajaan Negeri menghadapi cabaran dalam usaha untuk mencungkil bakat atau meyakinkan wanita untuk tampil ke hadapan. Kekurangan perwakilan wanita yang ketara dalam penggubalan dasar serta undang-undang akan menyebabkan isu-isu serta keperluan wanita terlepas pandang dan tidak disuarakan seperti pusat jagaan kanak-kanak, peruntukan bajet, keganasan berasaskan gender serta banyak lagi isu yang berkaitan. Maka, pemimpin-pemimpin wanita seperti anda amat diperlukan di meja pembuat keputusan. Dengan ini, dasar-dasar yang digubalkan dapat merangkumi dan membela hak semua orang termasuk golongan wanita.

Akhir kata, saya berharap semua peserta Sidang Wanita ini dapat menterjemahkan  pengalaman dan ilmu pengetahuan yang ditimba terutama dalam pembangunan komuniti tempatan. Saya yakin hari ini merupakan bibit permulaan bagi menyuburkan bakat-bakat wanita dalam bidang politik.  Marilah kita bersama-sama berusaha untuk mengubah sejarah kepemimpinan di Pulau Pinang demi kesejahteraan masyarakat.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang