MAJLIS PECAH TANAH PEMBANGUNAN RUMAH MAMPU MILIK JENIS A LADANG KALIDONIA

TEKS UCAPAN YAB KETUA MENTERI PULAU PINANG

MAJLIS PECAH TANAH PEMBANGUNAN RUMAH MAMPU MILIK JENIS A LADANG KALIDONIA DI ATAS PT 2195, MUKIM 11, DAERAH SEBERANG PERAI SELATAN, PULAU PINANG

24 OKTOBER 2020 (SABTU), JAM 9.00 PAGI

 

YB Prof. Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

YB Jagdeep Singh Deo

Ahli EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa

Dato’ Abdul Razak bin Jaafar

Setiausaha Kerajaan Negeri

YBhg. Dato’ Azhar bin Hj Arshad

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan)

Ir. Hjh Rosnani Binti Haji Mahmod

Setiausaha Bandaraya MBSP

Puan Bharathi a/p Suppiah

Timbalan Pengurus Besar, Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang

Ybhg. Dato’ Sundarajoo Somu

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Group Berhad

Wakil-Wakil ADUN

Wakil-Wakil Ahli Parlimen

Ahli-ahli Majlis MBSP

Wakil-wakil Jabatan dan Agensi

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Terdahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan ke Majlis Pecah Tanah Pembangunan Rumah Mampu Milik Jenis A Ladang Kalidonia di PT 2195, Mukim 11, Daerah Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Sebagaimana yang telah dinyatakan oleh YB Profesor Ramasamy dalam ucapan beliau sebentar tadi, Kerajaan Negeri amat berbesar hati kerana projek perumahan yang amat dinanti-nantikan oleh penduduk estet di kawasan ini bakal direalisasikan tidak lama lagi.

Malah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus komited dan tidak pernah leka untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat Pulau Pinang khususnya penduduk di Seberang Perai Selatan.

Umumnya, projek pembangunan ini sememangnya menepati aspirasi Visi Penang2030 iaitu Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara pada aspek penyediaan kualiti hidup yang lebih baik serta selesa kepada rakyat terutamanya: -

 

Tema 1 − Meningkatkan daya huni bagi meningkatkan kualiti kehidupan - yang mana isu-isu awam seperti perumahan, keselamatan, kebajikan dan sebagainya akan dititikberatkan.

Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berjaya melaksanakan tanggungjawabnya selari dengan tema ini dengan penyediaan dan membina sejumlah 106,742 unit rumah mampu milik tersedia pada pelbagai peringkat sehingga ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 34,388 unit telah siap dibina; 20,180 unit sedang dibina dan 52,174 unit telah diluluskan pembinaannya. Malah, daripada jumlah tersebut juga, sebanyak 26,616 unit adalah rumah mampu milik (RMM) Jenis A; 26,995 unit (Jenis B) dan 53,131 unit (Jenis C) dengan harga tawaran masing-

masing bernilai RM42,000, RM72,500 dan bawah RM300,000.

Saudara dan saudari sekalian,

Bertepatan dengan tema sambutan World Habitat Day 2020 iaitu pembangunan perumahan untuk semua (Housing For All): A Better Urban Future, And The Global Observance, Kerajaan Negeri amat prihatin dengan penyediaan keperluan asas untuk dinikmati oleh semua rakyat iaitu lokasi perlindungan.

Perkara ini terbukti dengan penyediaan tanah Kerajaan Negeri berkeluasan 15.106 ekar dengan nilai tanah RM14 juta secara percuma kepada Eco Horizon Sdn. Bhd. bagi pelaksanaan penyediaan rumah mampu milik Jenis A sebanyak 272 unit di atas tanah milikan Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) dengan kos pembangunan yang ditanggung oleh pihak pemaju.

Anggaran kos pembangunan projek ini adalah bernilai RM50.94 juta, iaitu dengan anggaran kos pembinaan RM190,000.00 seunit dan akan dilaksanakan secara berfasa iaitu fasa:-

>Fasa Pertama melibatkan pembinaan 112 unit manakala;

>Fasa Kedua adalah terdiri daripada 160 unit;

Ini menjadikan keseluruhan unit rumah yang akan dibina adalah berjumlah 272 unit.

Kerja-kerja pembinaan rumah mampu milik seluas 650 kaki persegi seunit untuk kedua-dua fasa dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2025.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Setelah penempatan semula penduduk estet di Ladang Kalidonia selesai, maka baki unit kediaman akan ditawarkan oleh Kerajaan Negeri kepada pemohon-pemohon yang telah berdaftar dengan Kerajaan Negeri berhubung pemilikan rumah mampu milik Jenis A bagi membantu rakyat negeri ini memiliki rumah khususnya golongan berpendapatan rendah dengan keutamaan kepada penduduk di daerah ini.

Serentak itu, Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk melantik syarikat Eco Horizon Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat Eco World Development Group Berhad bagi melaksanakan pembangunan semula Ladang Kalidonia ini berasaskan pengalaman syarikat terbabit sebelum ini.

Sebagai tambahan, unit di Ladang Kalidonia ini juga adalah sebagai salah satu syarat untuk projek pembangunan Eco Horizon di Batu Kawan.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Eco World Development Group Berhad dan Syarikat Eco Horizon Sdn. Bhd atas komitmen yang dicurahkan.

Kerajaan Negeri dan penduduk di kawasan ini menanam harapan yang besar untuk melihat projek pembangunan ini berjaya dilaksanakan sebagaimana yang telah dirancang serta diputuskan yang mana penduduk dibekalkan penempatan dengan persekitaran yang lebih sempurna, selesa, kemudahan sosial serta infrastruktur yang lebih kondusif.

Sehubungan itu, sukacita saya merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Rumah Mampu Milik Jenis A Ladang Kalidonia di Pt2195, Mukim 11, Daerah Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang atau dengan nama baru iaitu Taman Kalidonia Indah.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang