MAJLIS PENYERAHAN EMPANGAN MENGKUANG DAERAH SEBERANG PERAI TENGAH

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN EMPANGAN MENGKUANG DAERAH SEBERANG PERAI TENGAH

26 OKTOBER 2020 (ISNIN)

EMPANGAN MENGKUANG

YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man

Menteri Alam Sekitar dan Air

YB Dato' Abdul Razak bin Jaafar

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

 

YB Zairil bin Khir Johari

EXCO Infrastruktur dan Pengangkutan

YB Dr. Norlela binti Ariffin

EXCO Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan

 

YB Dato’ Norazmi bin Mohd Narawi

Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang

YB Dato’ Dr. Mohamad Farazi bin Johari

Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang

 

YB Nurul Izzah bin Anwar

Ahli Parlimen Permatang Pauh

Yang Berbahagia Puan Hajah Azizah binti Ariffin

Timbalan Ketua Setiausaha (Air & Pembentungan)

Kementerian Alam Sekitar dan Air

 

Yang Berusaha Dato’ Jaseni bin Maidinsa

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP)

Ketua-ketua Jabatan

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

  1. Pertama sekali, bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kedatangan delegasi daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang diketuai oleh Menteri, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man ke Pulau Pinang, khususnya ke Majlis Penyerahan Empangan Mengkuang pada pagi yang berbahagia ini.
  1. Ucapan terima kasih sekali lagi kepada pihak Kementerian yang telah memberikan kerjasama dan pertimbangan sewajarnya dalam merealisasikan penyerahan Empangan Mengkuang kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang sekian lama kita nantikan. Sesungguhnya, Kerajaan Negeri amat berbesar hati untuk menerima dan menggalas tanggungjawab baharu ini demi kesinambungan serta kelangsungan bekalan air khusus kepada rakyat di negeri ini.
  1. Sepertimana yang sering Kerajaan Negeri nyatakan, Empangan Mengkuang diklasifikasikan sebagai sebuah empangan strategik. Fungsi utama empangan ini bukanlah untuk kegunaan harian, sebaliknya ia berperanan untuk mengumpulkan lambakan air ketika musim hujan supaya tidak dibazirkan mengalir ke laut bagi dimanfaatkan ketika musim kemarau panjang ataupun digunakan ketika berlakunya pencemaran di Sungai Dua.
  1. Negeri Pulau Pinang masih memiliki kebergantungan yang tinggi terhadap sumber air dari Sungai Muda iaitu lebih 80 peratus dari sumber air semasa. Sekiranya berlaku pencemaran air di Sungai Muda, maka bagi memastikan bekalan air tidak terganggu, penyaluran air dari Empangan Mengkuang akan digunakan.
  1. Projek Pembesaran Empangan Mengkuang merangkumi empat (4) fasa yang terdiri daripada:
  1. Fasa 1 - Pembinaan Empangan Mengkuang;
  2. Fasa 2(A) – Menaik taraf Rumah Pam Mak Sulong;
  • Fasa 2(B) - Pemasangan Paip Air Mentah dari Rumah

                   Pam Mak Sulong ke Terusan Sungai Dua;

           dan

  1. Fasa 2(C) - Pembinaan Rumah Pam Lahar Yooi
  1. Fasa 1 dan Fasa 2(A) telah pun selesai dan akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri sebentar nanti untuk operasi dan penyelenggaraan. Pulau Pinang masih menanti dan berharap agar ada khabar gembira dalam tempoh masa terdekat ini untuk pelaksanaan Fasa 2(B) dan Fasa 2(C).
  1. Sepertimana yang dimaklumkan oleh YB Menteri sebentar tadi, Projek Pembesaran Empangan Mengkuang ini mula dibina pada 1 Ogos 2011 dan siap pada 10 April 2017 dengan kos sebanyak RM607 juta. Ia merupakan projek pembesaran Empangan Mengkuang sedia ada dengan meninggikan sebanyak 11 meter di sebelah kanan empangan dan membina empangan baru dengan ketinggian sebanyak 55 meter dan 2 km panjang di sebelah kiri empangan sedia ada. Ketika ini, sumber air yang diperoleh untuk memenuhi Empangan Mengkuang adalah dari Sungai Kulim yang mana air sungai akan dipam melalui Rumah Pam Mak Sulong masuk ke empangan. Proses pengepaman ini hanya dibenarkan sekiranya paras air di Sungai Kulim melebihi paras 4.6 meter di muka sauk.
  1. Empangan Mengkuang dengan saiz baru telah meningkatkan kapasiti bekalan air dari 22 juta meter padu kepada 73.5 juta meter padu. Secara langsungnya, ia akan meningkatkan kapasiti penyaluran bekalan air mentah dari Empangan Mengkuang ke Loji Rawatan Air Sungai Dua dari 300 juta liter sehari ke 600 juta liter sehari. Dengan ini, rizab sumber air di Empangan Mengkuang meningkat dari 37 hari ke 122 hari dengan kadar pelepasan 600 juta liter sehari.
  1. Fasa 2(A) iaitu melibatkan Projek Menaik Taraf Rumah Pam Mak Sulong telah selesai pada 28 September 2017, bertujuan untuk mengoptimumkan kadar pengepaman air dari Sungai Kulim ke Empangan Mengkuang. Dengan menaik taraf rumah pam ini, secara langsungnya ia akan menambah kapasiti pengepaman di Rumah Pam Mak Sulong ke Empangan Mengkuang dari 200 juta liter sehari kepada 400 juta liter sehari. Kos pembinaan projek ini adalah sebanyak RM63.5 juta.
  1. Kerajaan Negeri ingin sekali lagi mengulangi bahawa 2 baki fasa yang masih menanti iaitu Fasa 2(B) yang melibatkan pemasangan Projek Pemasangan Paip Air Mentah dengan garis pusat 1.6 meter sepanjang 6.85 kilometer dari Rumah Pam Mak Sulong, Seberang Perai Tengah ke Terusan Sungai Dua di Seberang Perai Utara dengan anggaran kos RM100 juta adalah fasa yang sangat penting bagi membolehkan penyaluran lebih banyak air mentah dari empangan ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ketika musim kemarau.
  1. Begitu juga dengan Fasa 2(C) iaitu pembinaan Rumah Pam Lahar Yooi yang berkapasiti 440 juta liter sehari yang terletak di Daerah Seberang Perai Utara, juga mempunyai peranan yang sangat penting untuk mempercepatkan pengisian semula empangan, dengan mengepam air mentah dari sumber air mentah kedua empangan iaitu Sungai Muda.
  1. Justeru, Kerajaan Negeri berharap bahawa baki komponen projek pembesaran Empangan Mengkuang yang masing-masing di peringkat akhir pengambilan tanah serta dokumen tender dan juga di peringkat kajian semula dapat disiapkan secepat mungkin agar ia dapat memastikan keselamatan bekalan air di Pulau Pinang secara menyeluruh.
  1. Melihat kepada ketersediaan air mentah yang sangat kritikal ini, terutama ketika era perubahan iklim, maka besarlah harapan Kerajaan Negeri supaya pihak Kementerian dapat merealisasikan pelaksanaan projek sumber air mentah baharu iaitu Sungai Perak Raw Water Transfer Scheme (SPRWTS) seperti mana yang telah dibincangkan bersama Kerajaan Negeri dan pihak Kementerian pada 24 September 2020 yang lalu.
  1. SPRWTS adalah penyelesaian bekalan air mentah yang kritikal untuk masa depan Pulau Pinang. “Kajian Pelan Induk Bekalan Air Minum di Pulau Pinang hingga tahun 2050” menjangkakan bahawa Sungai Muda mampu menjadi sumber air mentah utama Pulau Pinang hanya sehingga tahun 2025.
  1. Ini bermakna masa semakin suntuk bagi Pulau Pinang. Menjelang 2025, Pulau Pinang berkemungkinan akan berisiko tinggi menghadapi krisis bekalan air, kecuali jika ia meneroka sumber air mentah penting kedua. Unjuran hasil SPRWTS adalah 1,000 juta liter sehari untuk Pulau Pinang dan 1,000 juta liter sehari untuk Perak Utara, menjelang 2050.
  1. Pulau Pinang menyokong sepenuhnya rancangan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) agar negeri-negeri yang mempunyai air berlebihan untuk berkongsi air dengan negeri-negeri yang menghadapi kekurangan air. Ini bukan satu pendekatan baharu, kerana skim penyaluran air mentah berskala besar seperti skim Johor-Melaka dan Pahang-Selangor sudahpun beroperasi. Justeru, kita mengalu-alukan campur tangan KASA untuk mempercepat SPRWTS.
  1. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih khususnya kepada pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) atas kerjasama baik yang terjalin dalam menyelesaikan isu-isu air yang tertangguh di negeri ini.
  1. Sesungguhnya Kerajaan Negeri amat berbesar hati dan berharap agar jalinan baik ini terus terjalin pada masa hadapan demi kesejahteraan dan kelangsungan bekalan air untuk rakyat khusus di Pulau Pinang.
  1. Dengan kata-kata ini, saya dengan ini mengumumkan penerimaan penyerahan Empangan Mengkuang oleh Kerajaan Negeri.

Sekian, terima kasih

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang