MAJLIS PEMBUKAAN RASMI PAMERAN KOLEKSI TETAP BALAI SENI LUKIS NEGERI PULAU PINANG 2012-2020

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang

Sempena Majlis Pembukaan Rasmi Pameran Koleksi Tetap

balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang 2012-2020

 

 

Karya-Karya Dermaan Dato’ Dr. Tan Chee Khuan 

8 November 2020

Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang

 

 

YB Yeoh Soon Hin

EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE)

Encik Lee Khai

Pengerusi Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang

Dato’ Dr. Tan Chee Khuan

Naib Pengerusi Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang

Puan Haryany binti Mohamad

Pengarah Lembaga Muzium dan Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang

Ahli-ahli Jawatankuasa Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas  kepada Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang dan Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang (BSLNPP) atas jemputan ke Majlis Perasmian Pameran & Pelancaran Monograf ‘Koleksi Tetap Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang 2012-2020: Karya Dermaan oleh Dato’ Dr. Tan Chee Khuan pada petang yang berbahagia ini.

Seperti mana yang dimaklumkan, pameran ini telah bermula daripada 2 hingga 30 November 2020 dengan karya-karya pameran telah dibahagikan kepada tiga (3) bahagian iaitu Pelukis-pelukis Perintis Seni di Malaysia, Pelukis-pelukis Malaysia dan Pelukis-pelukis Luar Negara.

Kerajaan Negeri menyambut baik penganjuran pameran seperti ini sebagai platform terbaik untuk Lembaga Muzium dan BSLNPP untuk terus maju mengorak langkah setaraf muzium bertaraf antarabangsa yang lain. Pameran ini juga turut membuka peluang dan menjadi penanda aras kepada kejayaan BSLNPP dalam meningkatkan jumlah himpunan koleksi tetap melalui perolehan karya-karya yang berkualiti, terbaik, unik serta bernilai tinggi dari pelukis- pelukis hebat dan handalan dari dalam dan luar negara.

Namun kejayaan ini mungkin tidak dapat diraih tanpa adanya sifat dedikasi dan murah hati daripada Dato’ Dr. Tan Chee Khuan yang telah mendermakan sebanyak 330 buah karya milikan beliau kepada BSLNPP bagi dijadikan sebagai Koleksi Tetap. Sesungguhnya, pameran dan penerbitan monograf yang akan dilancarkan sebentar lagi merupakan satu pengiktirafan di atas usaha murni beliau.

Dengan pertambahan sebanyak 330 buah karya ini, BSLNPP akan terus mara ke hadapan dengan menjadi sebuah institusi seni yang gah lagi disegani. BSLNPP juga akan menjadi sebuah galeri dan pusat rujukan serta kegiatan seni di rantau ini. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dato’ Dr. Tan Chee Khuan dan berharap agar jejak langkah ini akan menjadi ikutan kepada para pengkarya atau pengumpul karya yang lain.

Sesungguhnya kesemua karya ini akan menjadi aset yang bernilai kepada Kerajaaan Negeri terutama kepada BSLNPP. Justeru itu, saya ingin mengajak dan menyeru kepada semua pencinta seni untuk datang ke BSLNPP untuk melihat sendiri karya- karya seni dermaan Dato’ Dr. Tan Chee Khuan serta mendapatkan monograf yang merupakan satu dokumen penting yang menjadi saksi kepada perkembangan industri seni visual di Pulau Pinang – mengikut SOP dalam memutuskan rantaian penularan COVID-19!

Akhir kata, tahniah dan syabas kepada semua  atas inisiatif dan kejayaan menganjurkan pameran dan penerbitan monograf ini yang saya percaya akan menjadi batu loncatan ke atas usaha berterusan BSLNPP dalam memberikan sumbangan yang lebih aktif dan bermakna kepada arena seni tampak di Pulau Pinang.

Dengan kata-kata ini, saya dengan penuh sukacitanya merasmikan Pameran & melancarkan Monograf Koleksi Tetap Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang 2012-2020 : Karya-karya Dermaan Dato’ Dr. Tan Chee Khuan.

 

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang