MAJLIS PENYERAHAN EMPANGAN MENGKUANG OLEH KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG KEPADA PBAPP & PEMBUKAAN RASMI EMPANGAN MENGKUANG YANG SIAP DIPERBESARKAN

UCAPAN OLEH YAB TUAN CHOW KON YEOW

KETUA MENTERI PULAU PINANG 

MAJLIS PENYERAHAN EMPANGAN MENGKUANG OLEH KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG KEPADA PBAPP

&

PEMBUKAAN RASMI EMPANGAN MENGKUANG YANG SIAP DIPERBESARKAN

 

9 JANUARI 2021, 9:20 PAGI

_________________________________________

YB Zairil Khir Johari

EXCO Infrastruktur dan Pengangkutan

YB Chong Eng

EXCO Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam

YB Dr. Norlela Ariffin

EXCO Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan

YB Dato’ Abdul Razak Jaafar

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Puan Nurul Izzah Anwar

Ahli Parlimen Permatang Pauh

YB Sim Chee Keong

Ahli Parlimen Bukit Mertajam

Yang Berbahagia Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP

Yang Berbahagia Dato’ Sr. Haji Rozali Haji Mohamud

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Ketua-ketua Jabatan Negeri Pulau Pinang

Ketua-ketua Jabatan PBAPP dan PBAHB

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) atas penganjuran Majlis Pembukaan Rasmi Empangan Mengkuang yang siap diperbesarkan pada pagi yang berbahagia ini.

Sebagaimana semua sedia maklum, Projek Pembesaran Empangan Mengkuang telah bermula pada tahun 2011 melalui peruntukan secara langsung oleh Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.2 bilion dengan membabitkan empat (4) fasa iaitu Fasa 1, Fasa 2A, Fasa 2B dan Fasa 2C.

Justeru, melalui majlis yang diadakan pada 26 Oktober 2020, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah menyerahkan secara rasminya kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebaik selesai kerja-kerja pembesaran dalam Fasa 1 dan Fasa 2(A). 

Dan pada hari ini, Kerajaan Negeri berbesar hati untuk menyerahkan Empangan Mengkuang kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sebagai operator yang bertanggungjawab untuk mengawal operasi dan pengurusan empangan ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Empangan Mengkuang, seperti yang anda lihat, merupakan sebuah empangan yang besar. Ia adalah yang terbesar di negeri Pulau Pinang dengan luas permukaan maksimum 3.4 kilometer (km) persegi, berbanding dengan luas permukaan maksimum 1.74 km persegi pada tahun 1985. Lebih penting lagi, kapasiti efektif empangan telah ditingkatkan sebanyak 293 peratus, dari 22.0 bilion liter kepada 86.4 bilion liter.

Kita telah mengambil alih empangan ini kerana kita memerlukannya pada ketika ini khususnya untuk mengurangkan risiko kekurangan air pada musim kering yang berpanjangan. Kisah di sebalik Projek Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP) bermula lebih Sembilan (9) tahun lalu ketika Pulau Pinang bersetuju untuk berhijrah ke Inisiatif Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Nasional oleh Kerajaan Persekutuan, atau NWSIRI.

Hadirin sekalian,

Sebagai sebahagian daripada Visi Penang2030 untuk melabur dalam persekitaran binaan bagi meningkatkan ketahanan, pembukaan rasmi Empangan Mengkuang yang siap diperbesarkan hari ini, menandakan satu lagi peristiwa penting bagi perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang. Malah, ia juga mencerminkan penyelesaian “sama-menang” utama bagi kami kerana dua (2) sebab utama berikut:

(i) Pulau Pinang kini mempunyai empangan simpanan strategik kemarau yang lebih besar bagi menangani keperluan bekalan airnya yang semakin meningkat dalam abad ke-21;

(ii) Empangan itu diperbesarkan tanpa kos langsung kepada rakyat dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Dibiayai oleh geran Persekutuan bernilai RM1.2 bilion, skop kerja penuh MDEP merangkumi empat (4) fasa utama:

Fasa 1: Merujuk kepada pembesaran empangan dan kerja-kerja yang berkaitan. Fasa ini telah siap.

Fasa 2A: Membabitkan penaiktarafan Rumah Pam Mak Sulong. Fasa ini juga telah siap.

Fasa 2B: Bakal menyaksikan pemasangan saluran paip air mentah 7 km berdiameter 1.6m dari Rumah Pam Mak Sulong ke Terusan Sungai Dua. Fasa 2B masih dalam peringkat pengambilan tanah.

Fasa 2C: Merujuk kepada pembinaan Rumah Pam Lahar Yooi 440 MLD. Fasa 2C telah dimasukkan dalam kajian kebolehlaksanaan untuk membina baraj baharu di Rantau Panjang dan kajian ini tertakluk kepada pertimbangan oleh Kerajaan Persekutuan.

Oleh itu, walaupun secara rasminya Kerajaan Persekutuan telah menyerahkan Empangan Mengkuang yang diperbesarkan ini kepada Pulau Pinang, “kisah penuh MDEP belum tamat.” Kita masih menunggu pelaksanaan Fasa 2B dan Fasa 2C oleh Kerajaan Persekutuan, seperti yang dijanjikan. Yang mana kedua-dua fasa berkaitan adalah amat diperlukan untuk memastikan bahawa projek simpanan strategik kemarau ini dapat berfungsi semaksimum mungkin.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, suka untuk saya nyatakan bahawa Empangan Mengkuang yang sinonim sebagai lokasi rekreasi dan riadah bagi penduduk tempatan telah dibuka kepada orang awam sejak 10 Disember 2020.

Dalam pada kita beriadah dan beraktiviti, teruslah patuhi prosedur operasi standard (SOP) dan amalkan kawalan kendiri bagi bersama-sama memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

 Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang