MAJLIS PEMBUKAAN RUMAH CONTOH SCIENTEX TASEK GELUGOR
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PEMBUKAAN RUMAH CONTOH SCIENTEX TASEK GELUGOR
20 MAC 2021
YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh
EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa
Yang Berbahagia Dato’ Sr. Haji Rozali bin Haji Mohamud
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)
Yang Berbahagia Encik Lim Peng Jin
Pengarah Urusan Scientex
Yang Berbahagia Datuk Alex Khaw Giet Thye
Ketua Pegawai Operasi Hartanah Scientex
Ketua-ketua Jabatan
Dif-dif Jemputan
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Scientex (Skudai) Sdn Bhd atas jemputan ke Majlis Pembukaan Rumah Contoh Scientex Berhad di Tasek Gelugor, Daerah Seberang Perai Utara (SPU) pada petang yang berbahagia ini.
Di atas tanah dengan keseluruhan keluasan 179.69 ekar dan anggaran kos sebanyak RM500 juta, Kerajaan Negeri bangga untuk menyatakan bahawa Scientex Tasek Gelugor merupakan projek pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) pertama di negeri ini yang bercirikan Skim RMM Jenis Teres ‘Landed’ 2 Tingkat dengan status adalah hak milik individu.
Projek pembinaan ini telah pun bermula pada 1 Oktober 2020 dengan fasa pertama melibatkan 382 unit rumah teres dan dijangka akan siap pada Julai 2022. Manakala keseluruhan projek dijangka akan siap sepenuhnya menjelang Tahun 2025 melibatkan pembinaan 2,332 unit rumah teres RMM dan 85 unit kedai pejabat.
Sememangnya Kerajaan Negeri menyambut baik pembinaan inovasi ini yang bukan sahaja telah menyediakan satu alternatif dan lembaran baru dalam perspektif pemilikan rumah impian, malah turut menyokong keseluruhan penyediaan dan pembekalan rumah mampu milik yang kondusif dan bermutu tinggi di negeri ini.
Melalui Tema A: Meningkatkan Daya Huni Rakyat Bagi Menambah Baik Kualiti Kehidupan dalam Visi Penang2030, adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk menambah baik kualiti kehidupan demi mencapai sasaran menyediakan perumahan yang selesa dan mencukupi kepada rakyat.
Selaras dengan hasrat tersebut, di bawah kepimpinan YB Jagdeep Singh Deo, EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa telah meletakkan sasaran baharu untuk menyediakan 220,000 unit rumah mampu milik menjelang tahun 2030, berbanding sasaran asal 180,000 unit RMM seperti yang terkandung dalam Visi Penang2030.
Pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberi kesan kepada golongan B40 dan M40. Sektor pembinaan juga tidak terkecuali berdepan cabaran untuk memenuhi keperluan pembinaan perumahan yang selesa dan mampu milik.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Home Ownership Campaign (HOC) atau Kempen Pemilikan Rumah Negeri Pulau Pinang 2020 dan Dasar Rangsangan Sektor Hartanah Negeri Pulau Pinang 2020, termasuk menyediakan insentif tambahan melalui pemberian pelbagai diskaun, pengecualian dan aspek pematuhan yang dijangka dapat mengurangkan kos pembinaan dan merancakkan aktiviti pembinaan.
Selain daripada itu juga, melalui inisiatif Kerajaan Negeri melalui Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus (TPM80), Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM266.92 juta atau purata RM22.24 juta setahun dalam menyelenggara perumahan awam dan swasta yang layak di kelima-lima daerah sejak tahun 2008.
Daripada jumlah tersebut, RM198.61 juta dibelanjakan untuk skim-skim di bawah perumahan awam, RM25.92 juta untuk skim perumahan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan dan RM42.39 juta untuk penyelenggaraan Skim Perumahan Kos Rendah/Sederhana Rendah swasta melalui inisiatif tabung-tabung penyelenggaraan dari Kerajaan Negeri.
Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri meletakkan harapan yang tinggi kepada Scientex dan berharap agar jalinan kerjasama ini dapat terus dieratkan, dengan matlamat hanya satu iaitu bagi memastikan projek perumahan di Pulau Pinang dapat direalisasikan.
Dengan itu, saya berbesar hati untuk merasmikan Majlis Pembukaan Rumah Contoh Scientex Tasek Gelugor.
Sekian, terima kasih.