PROGRAM IFTAR RAMADAN GABUNGAN PERSATUAN INDIA MUSLIM PULAU PINANG (GAPEIM)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA PROGRAM IFTAR RAMADAN GABUNGAN PERSATUAN INDIA MUSLIM PULAU PINANG (GAPEIM)

 

 19 APRIL 2021

BANGUNAN PERSATUAN

 MUSLIM JEWELLERS & MONEY CHANGER

 

 

YB Daniel Gooi

ADUN Pengkalan Kota

Dr Ameenul Husaini bin Abdul Kadir

Presiden GAPEIM

Seluruh Barisan Kepimpinan GAPEIM

Dato’ Dr Shahul Hameed bin Syed Mohamed

Timbalan Presiden Persatuan Liga Muslim merangkap Ahli Majlis MBPP

Dato’ KK Sihabutheen

Pengarah Eksekutif Pelita Samudra Pertama (M) Sdn Bhd

Para Jemputan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Gabungan Persatuan India Muslim Pulau Pinang (GAPEIM) atas penganjuran Program Iftar Ramadan pada petang yang berbahagia ini.

Selain daripada majlis berbuka puasa, saya turut difahamkan pengagihan zakat turut menjadi antara intipati penting dalam majlis ini di mana seramai 30 orang telah terpilih untuk menerima bantuan sebentar nanti.

Sesungguhnya saya amat gembira untuk hadir bagi menyatakan sokongan kepada anda semua yang tidak pernah melepaskan tanggungjawab dan sentiasa bersama-sama Kerajaan Negeri dalam membantu komuniti menempuhi arus pembangunan negeri.

Tahniah dan terima kasih saya ucapkan.

Saya percaya kekuatan gabungan ini bukan sekadar menjadi pihak pengantara untuk menyuarakan suara rakyat tetapi yang penting telah menjadi platform terbaik untuk merapatkan hubungan sesama komuniti dalam meraikan perbezaan yang wujud antara satu sama lain.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2018, GAPEIM yang merupakan gabungan daripada 14 Persatuan telah menjadi nadi perhubungan dalam membantu dan memperkasakan komuniti India Muslim di negeri ini yang merangkumi aspek sosio ekonomi, pendidikan, keagamaan dan sebagainya.

Dalam merealisasikan Visi Penang2030, semangat yang tinggi ini sangat diperlukan terutama dalam memenuhi keperluan sosial rakyat dan negeri. Justeru, melalui penglibatan dan penyertaan aktif daripada semua kelompok ini membolehkan segala perancangan dan perincian berkaitan dasar dan inisiatif dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Kita mungkin berbeza pendapat namun perbezaan yang kita kecapi ini tidak sewajarnya menjadi sebagai satu titik tolak kepada perpecahan dan rasa tidak percaya kepada satu sama lain, sebaliknya diangkat menjadi satu usaha untuk mengukuhkan perpaduan dan pelengkap dalam kepelbagaian kehidupan.

Dalam kita melaksanakan tanggungjawab yang satu ini dengan semangat bulan Ramadan yang mulia, perlu diingat kita semua masih belum bebas daripada belenggu wabak COVID-19. Justeru segala pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dan amalan normal baharu ini perlulah sentiasa dipatuhi agar kita dapat bersama-sama memerangi COVID-19 dan kembali hidup seperti sedia kala.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang