KEMPEN KESEDARAN COVID-19

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA KEMPEN KESEDARAN COVID-19

25 APRIL 2021

NEW WORLD PARK

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam penganjuran Kempen Kesedaran COVID-19 pada petang yang berbahagia ini.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, sememangnya kita amat mengalu-alukan penganjuran program-program inisiatif sebegini sebagai satu usaha untuk meningkatkan kesedaran awam bagi menggalakkan penyertaan aktif dalam kempen yang dianjurkan ini.

Tanpa ilmu, kita pasti mudah untuk terpengaruh dan percaya dengan maklumat yang tidak sahih dan akan cenderung untuk menerimanya ‘bulat-bulat’ tanpa menyemak fakta dan sumber.

Seperti mana yang kita semua sedia maklum, Fasa 2 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Pulau Pinang telah pun bermula pada 19 April 2021. Saya telah berkesempatan untuk melawat 3 buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) masing-masing di Kompleks Masyarakat Penyayang (Daerah Timur Laut), Kompleks Sukan Balik Pulau (Daerah Barat Daya) dan Dewan Serbaguna Jawi (Seberang Perai Selatan) bagi meninjau sendiri perjalanan program ini.

Segala cadangan dan maklum balas yang diterima telah diambil perhatian dan akan diperhalusi oleh Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi melihat langkah yang sewajarnya bagi memastikan kelancaran program ini kelak.

Sehingga 21 April 2021, statistik daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menunjukkan seramai 633,212 orang rakyat Pulau Pinang iaitu kira-kira 45.70 peratus telah mendaftar bagi menerima vaksin COVID-19.

Walau bagaimanapun, angka ini masih mencatatkan kemajuan yang perlahan dan saya berharap dengan bermulanya Fasa 2 ini serta kempen-kempen kesedaran yang berterusan, kita akan dapat meningkatkan jumlah pendaftaran sekaligus mencapai sasaran 70 peratus atau 1.34 penduduk yang layak untuk menerima vaksin.

Berbalik kepada kempen pada hari ini dengan tema “Perlukah Saya Ambil Vaksin COVID-19”, saya berharap platform ini dapat dimanfaat sebaiknya supaya info dan maklumat yang tepat dapat difahami oleh orang awam.

Saya juga ingin mengingatkan orang ramai terutama mereka yang sudah mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera supaya kerap menyemak tarikh temu janji untuk menerima vaksin berkenaan.

Ini kerana hampir 30 peratus individu yang telah mendaftar tidak menyemak tarikh temu janji serta tidak mengesahkan kehadiran mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin tersebut sehingga menjejaskan kelancaran program ini.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua pihak yang terlibat iaitu MPKK Padang Kota, JPWK Padang Kota, Penang Adventist Hospital, Innopreneur Sdn. Bhd., Jabatan Penerangan Daerah Timur Laut, Angkatan Pertahanan Awam Daerah Timur Laut dan beberapa agensi kerajaan dan swasta yang telah menjayakan kempen ini.

Terus amalkan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal penggunaan pencuci tangan dan patuh SOP. Dengan ini, sama-sama kita boleh mendatarkan lengkungan graf kes positif COVID-19 di negeri dan negara kita.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang