MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA OKU 2021 ANJURAN PERSATUAN TONGKAT PUTIH PULAU PINANG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA OKU 2021 ANJURAN PERSATUAN TONGKAT PUTIH PULAU PINANG

07 MEI 2021

 

 

Dato Dr Shahrul Hameed

Ahli Majlis MBPP

Dato Aswan

Pengarah of Pelita Samudera

 

Dato Haji Meera Mydin

Wakil Masjid Kapitan Keling

Rakan- rakan Media

Tuan-tuan dan Puan- puan sekalian

 

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih atas jemputan bagi memeriahkan Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Bagi OKU.

Di kesempatan ini, saya ingin memuji inisiatif yang diambil bagi melaksanakan penyampaian sumbangan seperti ini yang di anjurkan oleh Persatuan Tongkat Putih Pulau Pinang setiap tahun bagi kali yang ke 8.

Persatuan Tongkat Putih Pulau Pinang yang ditubuhkan pada tahun 2014 merupakan sebuah persatuan berdaftar yang berkhidmat untuk golongan OKU dengan tujuan yang mulia secara tidak langsung menjadi pemangkin buat golongan OKU untuk gigih bekerja setara individu normal.  Sehingga kini pelbagai jenis projek dan aktiviti bagi golongan OKU telah dijalankan bagi memupuk keupayaan dan kebolehan mereka.

Persatuan Tongkat Putih juga banyak menganjurkan program-program keagamaan, sosial, sukan dan pendidikan.  Di antara program ini adalah kem pemeriksaan perubatan percuma, lawatan pendidikan bagi para pelajar OKU. Persatuan ini turut mengadakan kempen kesedaran masyarakat diadakan bagi memupuk generasi yang berwawasan ke arah membina sebuah negara maju yang seimbang.

Kita amat bersyukur kerana berpeluang untuk bersama-sama merasai nikmat kehidupan yang aman dan tenteram dalam sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian agama, bangsa dan budaya. Perbezaan yang kita kecapi ini tidak sewajarnya menjadi sebagai satu titik tolak kepada perpecahan dan rasa tidak percaya kepada satu sama lain. Kita sepatutnya menjadikan perbezaan yang ada pada kita sebagai satu usaha untuk lebih mengukuhkan perpaduan dan juga sebagai pelengkap antara satu sama lain.

Saya dimaklumkan bahawa majlis ini adalah khas bagi golongan OKU sempena menyambut bulan puasa dan seramai 90 orang OKU telah terpilih untuk menerima bantuan.

Akhir kata, saya sekali ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Persatuan Tongkat Putih Pulau Pinang PPMS atas usaha yang bermakna ini. Semoga anda akan terus membantu negeri kita dalam membentuk masyarakat penyayang di negeri ini. Pihak Kerajaan Negeri pasti akan memberi perhatian berkenaan soal kebajikan rakyat Pulau Pinang tidak kira muda atau tua, apa jua bangsa dan golongan rakyat. Saya berharap Majlis ini akan membuka mata rakyat serta lain-lain agensi dan pertubuhan bukan kerajaan untuk memainkan peranan dan bertindak sebagai sebuah keluarga bersama Kerajaan Negeri dalam melaksanakan tanggungjawab kebajikan kepada rakyat.

Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang sudi hadir untuk menyempurnakan dan sekaligus menjayakan program ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang