PROGRAM ‘CITY RIDE GOES ECO @ BALIK PULAU’

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

PROGRAM ‘CITY RIDE GOES ECO @ BALIK PULAU’

2 JANUARI 2022

KOMPLEKS SUKAN BALIK PULAU, PULAU PINANG

 

Yang Berbahagia Dato’ Ar. Yew Tung Seang

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang

YB Dato’ Muhammad Bakhtiar bin Wan Chik

Ahli Parlimen Balik Pulau

YB Haji Mohd. Tuah bin Ismail

ADUN Pulau Betong

Dato’ Haji Noor-Ihsan bin Haji Che Mat

Ketua Pengarah, Jabatan Kerajaan Tempatan

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Rakan-rakan media

Para Peserta

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana sekali lagi telah berjaya menganjurkan program tahunan City Ride Goes Eco @ Balik Pulau yang diadakan bersempena Hari Bandaraya pada pagi yang berbahagia ini. 

Ini merupakan penganjuran program kayuhan basikal edisi ke-6, namun pada tahun ini kita perlu akur untuk mengurangkan jumlah penyertaan bagi mematuhi prosedur standard operasi (SOP) sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Berbanding hampir 1,000 orang peserta pada tahun-tahun sebelumnya, namun dalam keadaan normal baharu ini penganjur hanya membuka penyertaan kepada 350 orang peserta sahaja. 

Saya gembira melihat riak wajah ceria dan bersemangat daripada para peserta yang ada di hadapan ini yang sudah pasti  tidak sabar untuk memulakan kayuhan sejauh 25 kilometer, sambil menyusuri pemandangan indah di sekitar Balik Pulau ini. 

Balik Pulau adalah umpama permata tersembunyi yang ada di Pulau Pinang - penuh dengan kehijauan dan keunikan flora dan fauna. Sekiranya ada dalam kalangan para peserta yang baru pertama kali menyertai program kayuhan basikal ini, nikmatilah keindahan dan suasana damai sepanjang melalui kawasan kampung, sawah padi, paya bakau dan lain-lain yang pasti akan memberi pengalaman baru dan bermakna.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang ada di sini, yang sentiasa menyokong program-program yang dianjurkan. Sesungguhnya kehadiran anda semua amat penting, dalam usaha Kerajaan Negeri merealisasikan Visi Penang2030 - Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. 

Semoga kita dapat berjumpa lagi pada program-program yang akan datang. Dengan ini, saya merasmikan program City Ride Goes Eco @ Balik Pulau Edisi Ke-6. 

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang