MAJLIS PERHIMPUNAN ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM NEGERI PULAU PINANG BERSAMA YAB KETUA MENTERI
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM NEGERI PULAU PINANG
BERSAMA YAB KETUA MENTERI
11 JANUARI 2022
Yang Berhormat Dato’ Law Choo Kiang
Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang
Yang Berhormat Dato’ Ir. Hj. Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang
Yang Berhormat Professor Dr. P. Ramasamy a/l Palanisamy Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang
Yang Berhormat Dato’ Dr. Ahmad Jailani bin Muhamed Yunus Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri
Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Rakyat
Yang Berbahagia Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Negeri
Tuan-Tuan, Puan-Puan,
Warga Penjawat Awam Negeri Pulau Pinang sekalian
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin memanjatkan rasa syukur atas kesempatan kita semua berkumpul bagi bersama-sama dalam Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Pulau Pinang pada pagi yang berbahagia ini.
Belum terlambat rasanya untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2022. Semoga tirai yang dibuka ini memberikan satu nafas dan semangat yang baru kepada kita semua dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan cemerlang dan penuh dedikasi.
Meskipun lebih dua (2) tahun kita tidak bersua dalam majlis sebegini, tetapi sebagai nakhoda kepada bahtera pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya mengikuti setiap inci perkembangan para penjawat awam (atau anak kapal) yang membantu dalam melancarkan keseluruhan sistem penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini.
Kita telah menyaksikan beberapa pertukaran yang melibatkan anggota dan barisan pegawai tertinggi yang berpengalaman sebagaimana amalan biasa yang perlu dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), namun keseluruhan proses ini perlu dilihat dari sudut yang positif dan kita menerima pertukaran tersebut dengan penuh rasa hormat dan profesional.
Di kesempatan ini, Kerajaan Negeri ingin mengalu-alukan kehadiran semua anggota dan pegawai baharu dalam keluarga besar penjawat awam Pulau Pinang. Semoga kita semua dapat memantapkan kolaborasi dan memperkasakan jalinan kerjasama ini untuk meneruskan legasi kecemerlangan Pulau Pinang.
Tanpa ada yang terkecuali, penyertaan dan penglibatan menyeluruh ini adalah sangat penting dan menjadi indikator atau petunjuk utama dalam merealisasikan Visi Penang2030 - Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Kejayaan untuk mempercepatkan Visi Penang2030 juga mampu diukur dengan inisiatif di bawah libat urus industri di mana penglibatan Kerajaan Negeri, masyarakat awam dan pihak swasta akan membentuk satu ekosistem yang lebih maju, mampan dan mampu untuk memperluas asas pelaburan kita.
Pulau Pinang telah melangkah ke tahun 2022 dengan pertumbuhan positif oleh eksport Pulau Pinang dengan sumbangan paling besar dalam eksport Malaysia sebanyak 29 peratus bernilai RM198.2 bilion dari Januari hingga Julai 2021. Meskipun berdepan ekonomi global yang tidak menentu, Pulau Pinang masih menjadi pilihan utama para pelabur untuk mendirikan kilang-kilang berteknologi tinggi di mana sebanyak 80 projek pembuatan diluluskan di Pulau Pinang untuk tempoh Januari hingga September 2021 dengan kadar pelaburan RM2.9 bilion. Projek-projek ini dianggarkan akan mewujudkan 6,661 peluang pekerjaan baru di negeri ini yang tentunya akan memberi limpahan ekonomi kepada rakyat. Malah, pada bulan Disember 2021, Intel telah mengumumkan pelaburan tambahan sebanyak RM30 bilion untuk tempoh 10 tahun akan datang yang akan memacu negeri ini ke tahap yang lebih tinggi.
Unjuran ekonomi adalah sesuatu yang berada di luar jangkauan. Justeru, Kerajaan Negeri komited untuk terus mempertahan dan memperkasakan sektor ini seiring dengan cabaran dan persaingan global masa kini. Dalam hal ini, semua jabatan dan agensi perlu mengekalkan prestasi semasa dan kekal sebagai organisasi mesra perniagaan.
Kerajaan Negeri telah menetapkan perancangan strategi untuk meningkatkan daya saing ekonomi melalui pengukuhan dan kepelbagaian ekonomi negeri. Tumpuan kepada sektor baharu ini akan menjadi nilai tambah ekonomi di samping peningkatan kepada kualiti hidup yang lebih baik dan pembangunan persekitaran fizikal yang lebih mampan seiring dengan potensi Pulau Pinang sebagai pusat pelaburan tempatan dan antarabangsa.
Sebagaimana ditekankan berhubung komitmen Kerajaan Negeri, tahun 2022 juga bakal menyaksikan beberapa projek infrastruktur berskala besar akan direalisasikan. Kerajaan Negeri akan meneruskan momentum dan kesinambungan projek infrastruktur yang semestinya akan memberi manfaat kepada rakyat Pulau Pinang secara keseluruhannya.
Pada aspek infrastruktur, Kerajaan Negeri nekad memastikan kepelbagaian projek yang dirancang akan dilaksanakan dengan jayanya. Ini termasuk momentum dan kesinambungan projek pembinaan, menaik taraf jalan raya serta jambatan, pengairan dan saliran, projek tebatan banjir serta lain-lain berkaitan. Tidak terkecuali adalah projek Pakej 2 - Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Air Itam yang merupakan salah satu projek di bawah inisiatif Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang oleh Kerajaan Negeri yang kini dalam pembinaan dan dijangka siap pada Januari 2025. Projek Pakej 2 ini juga dapat menghubung pengguna jalan raya ke Jalan Bukit Kukus yang akan dibuka pada minggu ini.
Pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi ini memerlukan kerjasama yang erat oleh semua pihak agar segala permasalahan yang timbul dapat diselesaikan dengan segera. Justeru, peranan anda semua sangat diperlukan terutama dalam menterjemahkan segala informasi penting dan berguna ini.
Di peringkat rakyat, mungkin mereka tidak mahu tahu berkaitan dasar-dasar yang dibawa ini. Apa yang rakyat mahu tahu adalah apa yang boleh mereka perolehi daripada dasar-dasar yang dilaksanakan ini. Maka di sini lah tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh semua para penjawat awam untuk melunaskan dasar kepada program yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat.
Bagi tahun 2022 ini, saya memohon supaya semua agensi, jabatan dan anak syarikat Kerajaan Negeri menitikberatkan proses libat urus dengan semua pemegang taruh dalam pelaksanaan projek ataupun program. Selain itu, kita juga perlu fokus terhadap usaha-usaha pendigitalan proses dan urusan kerajaan untuk mencapai sasaran sebagai negeri pintar.
Dalam kita berdepan situasi pandemik COVID-19 ini, diakui masih ada kelemahan yang boleh dibaiki dalam sistem perkhidmatan awam. Justeru, saya berharap ruang kosong dan kelemahan ini dapat dibaiki dengan segera agar kekecewaan rakyat dipandang serius dan ditangani dengan sewajarnya.
Satu lagi isu yang harus dipandang serius oleh kita semua adalah kesiapsiagaan dalam menghadapi krisis perubahan iklim terutama bencana banjir yang melanda di kebanyakan negeri di negara kita.
Sepertimana yang kita sedia maklum, kejadian banjir yang melanda di negeri Selangor adalah antara paling buruk dalam sejarah banjir di negara ini. Kerajaan Pulau Pinang telah mengambil langkah segera menghantar bantuan logistik bagi membantu mangsa banjir di Selangor bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa bencana.
Justeru, Kerajaan Negeri memerlukan ‘pendekatan menyeluruh masyarakat’ untuk menangani krisis iklim, dengan strategi berikut:
- Planning - Perancangan Ketahanan Iklim yang melibatkan pelaksanaan polisi sediada dan pengenalan kepada polisi-polisi baru yang lebih bersesuaian dengan kehendak semasa;
- Readiness/ Preparedness - set tindakan berasaskan kajian yang diambil sebagai langkah berjaga-jaga dalam menghadapi potensi bencana. Ianya termasuk kesiapsiagaan organisasi dan aset;
- Respond - Pelan Tindak Balas Kecemasan dan mobilisasi semua jabatan/ agensi, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), syarikat swasta dan orang awam; dan
- Recovery – Pelan Pemulihan Pasca Bencana yang melibatkan penyaluran bantuan kepada kumpulan yang terjejas.
Berbekalkan dengan pengalaman Pulau Pinang yang pernah berdepan banjir besar pada November 2017, Kerajaan Negeri melalui Agenda Hijau merangkumi pendekatan Daya Tahan Terhadap Kecemasan Iklim, telah menubuhkan Unit Bencana bagi mengenalpasti langkah-langkah untuk meningkatkan ketahanan terhadap bencana di Pulau Pinang melalui perancangan bersepadu di mana penyelidikan dan pengumpulan data berhubung perkara berkaitan akan dijalankan oleh agensi negeri, Penang Green Council (PGC).
Kerajaan Negeri juga berharap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan terus diperkasakan dan dilengkapkan dalam pelbagai aspek supaya mempunyai tahap kesiapsiagaan tinggi dan mampu mengurangkan risiko bencana supaya lebih bersiap siaga dalam pengurusan bencana seperti banjir. Ditubuhkan sejak 1951, APM Pulau Pinang kini mempunyai lebih 100,000 anggota kekal dan sukarela yang aktif.
Bagi memastikan pengurusan bencana lebih berkesan, Pasukan Respons Kecemasan Pertahanan Awam atau lebih dikenali sebagai CDERT (Civil Defense Emergency Response Team) telah ditubuhkan di mana penubuhan CDERT itu adalah untuk menggalakkan komuniti setempat tampil membantu APM dalam memberikan bantuan sama ada ketika berlakunya bencana mahupun kecemasan. Penubuhan CDERT ini dilihat penting sebagai pasukan yang akan memberikan bantuan awal sebelum pasukan penyelamat tiba di kawasan bencana atau berlaku kes kecemasan.
Kerajaan Negeri berharap dengan perancangan dan penelitian rapi ini, Pulau Pinang lebih bersedia dan mampu berdaya tahan ketika berdepan situasi sukar ini.
Akhir kata, marilah kita bersama-sama menjadi tunjang bagi membina sebuah perkhidmatan awam negeri yang lebih dinamik, cemerlang dan gemilang. Semoga kita berpeluang untuk berjumpa lagi dalam majlis sebegini sebagai platform untuk memperbaharui iltizam dan mewujudkan hubungan silaturahim yang baik di samping berusaha ke arah memartabatkan struktur pentadbiran penjawat awam Pulau Pinang ke arah yang lebih tinggi.
Sekian, terima kasih.