MAJLIS MAKAN MALAM PENGHARGAAN PDC

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS MAKAN MALAM PENGHARGAAN PDC

23 FEBRUARI 2022

HOTEL ST. GILES & WEMBLEY

 

YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

YB Dato' Dr. Ahmad Jailani bin Muhamed Yunus

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Zairil Khir Johari

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan

Merangkap Ahli Lembaga Pengarah PDC Telco

YB Dato' Dr. Mohamad Farazi bin Johari

Pegawai Kewangan Negeri

Yang Berbahagia Dato' Azhar bin Haji Arshad

Dato Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Yang Berusaha Encik Aziz bin Bakar

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC)

Merangkap Ahli Lembaga Pengarah PDC Telco

Yang Berusaha Encik Hasmunir bin Hamid

Pemangku Ketua Pengawai Eksekutif, PDC Telco

Yang Berusaha Puan Nur 'Aishah binti Md Nordin

Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT)

Yang Berusaha Puan Bharathi a/p Suppiah

Pengurus, Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI)

Yang Berusaha Encik Rahmat bin Abu Nong

Pengarah Negeri, MCMC Pulau Pinang

Para Jemputan

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.


Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih atas jemputan sempena Majlis Makan Malam Penghargaan yang diadakan pada malam yang berbahagia ini.

Saya selaku Pengerusi PDC Telecommunication Services Sdn. Bhd. atau lebih dikenali sebagai PDC Telco ingin mengalu-alukan kehadiran rakan-rakan strategik yang sentiasa bersama-sama PDC Telco dalam memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada rakyat secara keseluruhannya. 

Selaras dengan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, tema “Re-Connection” telah dipilih untuk Majlis Makan Malam Penghargaan ini sebagai manifestasi kepada kerja-kerja dan iltizam yang telah ditunjukkan oleh semua pihak dalam menjadi jambatan untuk menghubungkan dan menyalurkan sokongan antara satu sama lain. 

Justeru, saya berharap hubungan baik dan kolaborasi ini akan terus diperkasakan agar kita dapat bersama-sama menyampaikan perkhidmatan kemudahan infrastruktur digital yang stabil serta pantas, sekaligus menyumbang kepada peningkatan ekonomi negeri dan kualiti kehidupan rakyat.

Hari ini kita berhadapan dengan normal baharu serta kemelut kehidupan yang tidak pernah dijangka. Walau bagaimanapun, di sebalik impak pandemik COVID-19, sebenarnya ada hikmah tertentu atas musibah yang melanda sepanjang tempoh selama dua (2) tahun ini. Antaranya sudah tentu berkaitan perkembangan gaya hidup era digital yang sedang kita lalui ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Digitalisasi telah menjadi satu elemen penting dalam kehidupan kita. Hampir semua lapisan masyarakat telah mampu  menyesuaikan diri dengan teknologi baru sama ada untuk komunikasi, pembelajaran secara atas talian, e-dagang atau perkhidmatan penghantaran.

Sebagai anak syarikat yang mempunyai kepakaran dalam membangunkan infrastruktur telekomunikasi, PDC Telco harus mempersiapkan dan memantapkan struktur sedia ada bagi menggalas tugas besar ini. Pada masa sekarang, kemudahan perkhidmatan komunikasi tidak lagi hanya untuk kumpulan berpendapatan tinggi malah ianya merupakan keperluan untuk semua lapisan masyarakat.

Melangkah ke arah era teknologi 5G, Pulau Pinang juga tidak mahu ketinggalan. Pulau Pinang melalui Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) PSUK dan agensi  berkaitan sedang giat berbincang dan bekerjasama dengan Digital Nasional Berhad (DNB), sebuah syarikat pengendali tunggal rangkaian 5G di Malaysia, untuk mencari cara terbaik bagi penyediaan infrastruktur telekomunikasi yang menyokong pemajuan teknologi 5G di negeri Pulau Pinang.

Saya melihat ini adalah peluang kepada PDC Telco, sebagai sebuah syarikat “State Backed Company”(SBC) untuk turut serta dalam memperluaskan potensi dan kepakaran sedia ada dengan mengembangkan kepelbagaian bidang perniagaan supaya lebih berdaya saing. Penyediaan infrastruktur dengan konsep “Smart Street Pole” adalah salah satu potensi yang boleh dipertimbangkan oleh PDC Telco.

Saya berharap, dengan pengetahuan dan kepakaran PDC Telco, dapat memberi sokongan padu dan kerjasama erat kepada pihak yang terlibat.  Bukan saja setakat membantu daripada segi kepakaran teknikal malah boleh juga terlibat secara langsung dalam pemajuan infrastruktur rangkaian 5G ini.

Dengan adanya ketersediaan infrastruktur jaringan telekomunikasi, ianya secara tidak langsung akan dapat membantu melancarkan Pelan Induk Transformasi Digital dan Pelan Induk Keterhubungan Pulau Pinang. Dengan sumbangan idea serta pendapat oleh semua pihak, kita akan dapat memastikan pembangunan infrastruktur telekomunikasi di Pulau Pinang dapat diberi keutamaan sejajar dengan perkara-perkara utama yang lain, dalam usaha melengkapkan pelan induk tersebut. Ini adalah penting untuk mencapai wawasan pembangunan negeri Pulau Pinang 2030 dan seterusnya melonjakkan Pulau Pinang dalam Era Digital.

Hadirin sekalian,

Dengan adanya peluang perniagaan yang diceburi oleh PDC Telco, Kerajaan Negeri telah memperoleh manfaat berupa dividen yang telah dipulangkan oleh PDC Telco melalui induknya iaitu PDC.

Sejak penubuhannya hingga kini, sejumlah RM6,249,604.00 telah disumbangkan kepada Kerajaan Negeri, selain aktviti tanggungjawab sosial korporat (CSR). Pada tahun lepas, PDC Telco telah menaja sebanyak RM100,741.50 bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan jalur lebar internet untuk kegunaan operasi harian Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Spice Arena di Setia Spice, Bayan Baru.

Oleh itu, saya sebagai Pengerusi syarikat ini, ingin memohon kepada semua agensi kerajaan yang berkaitan untuk terus memberi sokongan, bantuan, dan kerjasama kepada PDC Telco dalam usahanya melaksanakan pemajuan infrastruktur dan kemudahan telekomunikasi, seiring dengan hasrat kita untuk merealisasikan Visi Penang2030.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang