MAJLIS PERASMIAN DEWAN ORANG RAMAI PERMATANG PASIR, PERMATANG PAUH

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA

MAJLIS PERASMIAN DEWAN ORANG RAMAI PERMATANG PASIR, PERMATANG PAUH

1 APRIL 2022

YB Dato’ Dr. Ahmad Jailani bin Muhamed Yunus

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Dr. Hajah Norlela binti Haji Ariffin

Exco Kerajaan Negeri merangkap ADUN Penanti

YB Nurul Izzah binti Dato’ Seri Anwar

Ahli Parlimen Permatang Pauh

YB Muhammad Faiz bin Fadhil

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir

Yang Berbahagia Dato’ Azhar bin Arshad

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Yang Berusaha Tuan Kamarul Haizal bin Koderat

Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT)

Yang Berusaha Ir. Ahmad Nadzri bin Abdul Majid

Pengarah, Jabatan Kerja Raya Negeri Pulau Pinang

Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan

Ketua-ketua Komuniti dan barisan MPKK

Para Jemputan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih atas jemputan sempena Majlis Perasmian Dewan Orang Ramai Permatang Pasir, Permatang Pauh pada pagi yang berbahagia ini.

Tahniah dan syabas kepada Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang atas komitmen yang telah diberikan dalam merealisasikan projek yang amat dinanti-nantikan ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Berasal daripada hanya tanah yang terbiar, proses rundingan telah bermula sejak sekitar tahun 2013 dengan kerja-kerja pengambilan balik tanah berjaya dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dengan peruntukan sebanyak RM1.9 juta.

Proses yang panjang telah dilalui sebelum dewan yang tersergam indah ini berjaya disiapkan. Beberapa peringkat rundingan dan perbincangan perlu diadakan dari semasa ke semasa melibatkan pelbagai komponen bagi menyelesaikan pelbagai permasalahan yang timbul termasuklah ketika proses pengambilan balik tanah, permohonan peruntukan, penentuan reka bentuk dan lain-lain isu berbangkit.

Dengan peruntukan sebanyak RM3,205,703.03, kerja-kerja pembinaan telah dimulakan oleh JKR pada 15 Ogos 2019 dan siap sepenuhnya pada 5 Januari 2022.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Tanpa sokongan dan kerjasama yang baik, mungkin Dewan ini tidak dapat disiapkan tepat pada waktunya. Justeru, Kerajaan Negeri menghargai segala komitmen dan keringat yang diberikan kepada semua yang terlibat dalam menyiapkan projek yang mencatatkan sejarah baru kepada KADUN Permatang Pasir ini khususnya.

Selaras dengan Visi Penang2030 - Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, adalah menjadi hasrat dan komitmen Kerajaan Negeri agar aspek pembangunan fizikal ini sentiasa selari dengan pembangunan sosial dalam memastikan kelestarian pembangunan Pulau Pinang dicapai secara inklusif dan menyeluruh.

Dengan kapasiti 500 orang pada satu-satu masa, masyarakat setempat kini tidak lagi perlu tercari-cari dewan yang besar dan selesa di kawasan lain. Diharapkan para pemimpin dan masyarakat setempat dapat memaksimakan penggunaan dewan ini dalam melaksanakan pelbagai aktiviti sosial yang memberi manfaat kepada komuniti dan negeri.

Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Dewan Orang Ramai Permatang Pasir, Permatang Pauh Daerah Seberang Perai Tengah.

Selamat Menyambut Bulan Ramadan dan Selamat Berpuasa kepada semua.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang