PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG

PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI OLEH

KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

PADA 30 APRIL 2022 DI KOMTAR, GEORGE TOWN

Setelah dua (2) tahun sambutan Hari Raya Aidilfitri diraikan mengikut pematuhan ketetapan prosedur operasi standard (SOP) pandemik COVID-19, pastinya gema takbir pada 1 Syawal kali ini amat ditunggu-tunggu oleh semua. Tanpa mengira walau di mana pun anda berada dan dalam apa juga suasana, Aidilfitri tahun ini bakal disambut dengan penuh kemeriahan, kegembiraan dan semangat perpaduan yang erat, bukan sahaja dalam kalangan umat Islam bahkan seluruh rakyat Malaysia, khasnya di Pulau Pinang.

Selaras dengan konsep Malaysia Baharu bertunjangkan kepada prinsip keadilan, demokrasi dan toleransi, Kerajaan Negeri berharap agar rakyat di negeri ini dapat memanfaatkannya dalam memupuk serta menyemarakkan rasa kebersamaan, di samping meraikan keharmonian dalam kepelbagaian bangsa dan agama sejajar dengan visi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Visi Penang2030 Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Sejak menerajui negeri ini hampir 15 tahun, komitmen dan tekad Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang tetap sama iaitu untuk terus menjadikan agenda kebajikan rakyat sebagai intipati penting terhadap pembangunan negeri ini. Saya percaya seluruh anggota pentadbiran Kerajaan Negeri akan memastikan momentum dan corak kecemerlangan ini terus dikekalkan demi rakyat dan negeri yang tercinta.

Dalam membangunkan dan mengukuhkan syiar Islam di negeri ini, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM71.13 juta pada tahun 2022 yang merangkumi peruntukan mengurus bagi jabatan-jabatan negeri berkaitan hal ehwal agama Islam dan peruntukan pembangunan bagi masjid, surau, institusi pendidikan Islam serta pelaksanaan program berteraskan Islam. Peruntukan ini juga adalah yang terbesar pernah diluluskan oleh Kerajaan Negeri sejak 2008.

Umumnya, Kerajaan Negeri sedaya upaya menyediakan kehidupan yang lebih baik kepada semua warga negeri dan meraikan kepelbagaian bangsa, agama serta budaya sebagai asas penyatuan rakyat dan pembangunan di Pulau Pinang. Hanya melalui penyatuan rakyat tanpa prasangka, kita dapat menikmati pengagihan ekonomi yang saksama dan inklusif sekali gus meningkatkan kemakmuran #UntukNegeriKita.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang