MAJLIS PERASMIAN ROBINA ECO PARK FASA 2

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI NEGERI

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN ROBINA ECO PARK FASA 2

29 MEI 2022 (AHAD)
TAMAN ROBINA ECO PARK

 

Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak
Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang

Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd. Nor

YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

YB Dato’ Dr. Ahmad Jailani binti Muhamed Yunus
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa

YB Yeoh Soon Hin
Exco Pembangunan Pelancongan dan Ekonomi Kreatif

YB Dato’ Dr. Ahmad Farazi bin Johari
Pegawai Kewangan Negeri

YB Dato’ Mustafa Kamal bin Ahmad
ADUN Teluk Air Tawar

Yang Berbahagia Dato’ Azhar bin Haji Arshad
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Ketua-Ketua Jabatan, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Para Jemputan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di bawah kepimpinan Datuk Bandar, Yang Berbahagia Dato’ Azhar bin Haji Arshad yang telah memastikan kelancaran majlis pada petang ini yang berbahagia ini.

Sesungguhnya dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang dan Yang Amat Berbahagia Toh Puah Dato’ Seri Utama Khadijah binti Mohd. Nor yang sudi untuk turut hadir, ia sangat bermakna dan menyerikan lagi Majlis Perasmian Robina Eco Park Fasa 2 ini.

Tuan Yang Terutama Tun, Toh Puan dan hadirin yang dihormati sekalian,

Dua (2) tahun yang lalu saya telah berkesempatan merasmikan penaiktarafan Taman Rekreasi Pantai Robina yang terletak bersebelahan sahaja dengan lokasi kita pada hari ini.

Dibangunkan dan dijenamakan sebagai Robina Eco Park, keseluruhan 13 ekar tanah di kawasan yang terletak di jajaran Teluk Air Tawar – Kuala Muda yang dibangunkan secara berfasa telah menjadi salah satu lokasi rekreasi baru bukan sahaja kepada Seberang Perai tetapi juga kepada keseluruhan peta pelancongan Negeri Pulau Pinang.

Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Datuk Bandar sebentar tadi, Robina Eco Park Fasa 2 seluas 3.9 ekar ini adalah kesinambungan daripada projek penaiktarafan Robina Eco Park Fasa 1 yang dibangunkan seluas 4.5 ekar.

Dengan kos peruntukan sebanyak RM2 juta, antara segmen/ komponen yang dinaiktaraf adalah merangkumi pembinaan 100 petak tempat letak kenderaan, dataran, naik taraf cat tandas, pentas terbuka serta kerja-kerja elektrikal. Bagi merancakkan ekonomi komuniti setempat, pembinaan pusat penjaja di kawasan ini juga merupakan komponen terbesar dalam fasa 2 ini.

Tuan Yang Terutama Tun, Toh Puan dan hadirin yang dihormati sekalian,

Meskipun tertangguh seketika akibat pandemik COVID-19, namun Kerajaan Negeri berpuas hati dengan kemajuan projek ini terutama dalam mentransformasikan landskap sosio-ekonomi di ruangan awam yang lebih lestari untuk kemudahan dan keselesaan para pengunjung.

Justeru, Kerajaan Negeri ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang sungguh komited dalam merealisasikan pembangunan yang mampan, selari dengan inisiatif Kerajaan Negeri menerusi Visi Penang2030 - Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Dengan wujudnya lebih banyak ruang awam sebegini, ia memberi peluang kepada rakyat Pulau Pinang utuk memilih lokasi bersesuaian yang selesa untuk beriadah dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada seluruh pasukan MBSP yang terlibat dalam menyempurnakan projek yang bernilai tinggi.

Adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri supaya dengan kemajuan fasiliti ini ia dapat menyumbang kepada kerancakan aktiviti ekonomi yang positif, sekaligus membantu kebangkitan semula sektor yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang