MAJLIS PERASMIAN PUSAT PENTADBIRAN LOJI RAWATAN AIR SUNGAI DUA, SEBERANG PERAI UTARA (SPU)

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PUSAT PENTADBIRAN

LOJI RAWATAN AIR SUNGAI DUA, SEBERANG PERAI UTARA (SPU)

10 JUN 2022

LOJI RAWATAN AIR SUNGAI DUA

Yang Berbahagia Dato’ Ir. Jaseni bin Maidinsa

Ketua Pegawai Eksekuif, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP)

Ketua-ketua Jabatan PBAPP & PBAHB

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) atas jemputan sempena Majlis Perasmian Pusat Pentadbiran Loji Rawatan Air Sungai Dua, Seberang Perai Utara (SPU) pada pagi yang berbahagia ini.

Ini adalah kali pertama PBAPP memperkemaskan pusat pentadbirannya secara menyeluruh sejak 49 tahun yang lalu, meskipun Loji Rawatan Air Sungai Dua ini sendiri telah pun melalui tujuh (7) fasa penaiktarafan bagi meningkatkan kapasiti sejak tahun 1973.

Justeru, menjelang 50 tahun perkhidmatan loji ini pada tahun hadapan, kerja-kerja pengemaskinian dilihat sebagai keperluan dan tepat pada masanya.

Selaras dengan itu, PBAPP telah menggerakkan usaha berkaitan kerja-kerja pengemaskinian pusat pentadbiran  bermula pada Oktober 2019 dan siap pada Oktober 2020, dengan kos projek ini ialah RM2.73 juta.

Seperti yang anda lihat, fakad (facade) baharu loji pentadbiran kini memperlihatkan imej yang lebih “hijau” dan mesra alam. Malah, imej “hijau” ini bukan sahaja untuk pertunjukan tetapi ia disokong oleh faedah dunia sebenar.

Lebih banyak “kawasan terbuka” telah dibina untuk menyokong aliran udara semula jadi dan mengurangkan kos penyaman udara. Pencahayaan semula jadi untuk pelbagai ruang telah dioptimumkan untuk membolehkan lebih banyak cahaya matahari masuk, sekali gus mengurangkan kos pencahayaan.

Semua titik paip (pipe point) dan sistem tandas di bangunan ini telah dipasang dengan peranti jimat air untuk menggalakkan penjimatan air, sejajar dengan promosi budaya jimat air PBAPP dalam sebuah negeri yang kekurangan air dan untuk mengurangkan pelepasan air sisa.

PBAPP juga telah mengemas kini pusat pentadbiran ini untuk menempatkan lif khas dan tandas untuk pelawat kurang upaya, supaya mereka boleh mengakses kesemua tiga (3) tingkat dengan mudah dan selesa.

Sesungguhnya saya amat berbesar hati untuk mengambil maklum bahawa PBAPP telah mengambil kira keperluan operasi moden, pertimbangan keselamatan, mesra alam, keberkesanan kos dan keperluan khas dalam memperkemaskannya.

Tahniah dan syabas kepada Dato’ Jaseni dan pasukannya.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Selaras dengan peranan penting yang dimainkan oleh Loji Rawatan Air Sungai Dua dalam mengeluarkan lebih 80% air terawat yang dibekalkan di seluruh Seberang Perai dan Pulau Pinang, loji ini termasuk pusat pentadbirannya perlu diuruskan untuk mematuhi keperluan pensijilan ISO berikut:

  • ISO 9001:2015 untuk Kualiti;
  • ISO 45001: 2018 untuk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan;
  • ISO/IEC 27001:2013 untuk Keselamatan Informasi; dan
  • MS ISO/IEC 17025:2005 untuk Pengujian Air.

Justeru, PBAPP perlu memastikan Loji Rawatan Air Sungai Dua terus beroperasi dengan lancar dan cekap sehingga tahun 2050. Kami memerlukan loji ini untuk terus membekalkan sejumlah besar air terawat, menggunakan teknologi rawatan air konvensional, sehingga kami dapat menggunakan teknologi lain, seperti penyahgaraman, untuk memenuhi permintaan air Pulau Pinang pada masa hadapan.

Selain pusat pentadbiran, kita juga akan meninjau kemajuan “Fasa 2 Projek Naik Taraf Tangki Pemendapan” yang sangat perlu terutama melibatkan isu bekalan air yang amat mendesak di daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

Turut termasuk dalam program hari ini adalah lawatan ke Makmal Pusat PBAPP yang canggih yang bertanggungjawab untuk persampelan dan pengujian air secara berterusan setiap hari serta lawatan tapak cadangan Pakej 12A Loji Rawatan Air Sungai Dua yang akan disegerakan bagi meningkatkan lagi kapasiti loji ini menjelang 2023. Projek ini telah bermula pada Mac 2022 dan saya telah mengarahkan PBAPP untuk menyiapkan projek ini pada Disember 2023 seperti yang dijadualkan.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada PBAPP yang sememangnya sangat komited dalam melaksanakan tangggungjawab sebagai operator air terunggul di Malaysia.

Semoga dengan pelbagai usaha berterusan ini, Pulau Pinang mampu terus menguruskan bekalan air mampan dan memberikan manfaat kepada 1.76 juta penduduk di negeri ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang