MAJLIS SAMBUTAN HARI DENGGI ASEAN DAN PROGRAM GOTONG-ROYONG MEGA 1.0 PERANGI AEDES PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2022

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN HARI DENGGI ASEAN DAN PROGRAM GOTONG-ROYONG MEGA 1.0 PERANGI AEDES PERINGKAT NEGERI

PULAU PINANG TAHUN 2022

25 JUN 2022 (SABTU)

KAMPUNG SUNGAI GELUGOR; 8:15 PAGI

 

YB Dr. Hajah Norlela binti Ariffin

Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan

YB Ramkarpal Singh a/l Karpal Singh

Ahli Parlimen Bukit Gelugor

YB Syerleena binti Abdul Rashid

ADUN Seri Delima

Yang Berusaha Dr. Ma’arof bin Sudin

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang

 

Yang Berusaha Dr. Mohamed Iqbal bin Hamzah

Pegawai Kesihatan Daerah Timur Laut

Para Jemputan, Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu marilah kita semua memanjatkan kesyukuran atas peluang dan ruang yang diberikan untuk kita bersama-sama berkumpul bersempena Majlis Sambutan Hari Denggi ASEAN dan Program Gotong-royong Mega 1.0 Perangi Aedes Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2022 pada pagi yang berbahagia ini.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melalui Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), agensi-agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Gelugor, skuad Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) Sungai Gelugor,  serta para penduduk atas kolaborasi serta sumbangan tenaga dan idea bagi merealisasikan program pada hari ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Di saat kita semua bergelut bagi memerangi wabak pandemik COVID-19, kes demam denggi menunjukkan peningkatan ketara di seluruh Malaysia, termasuklah di negeri Pulau Pinang.

Sehingga Minggu Epid 24/2022, jumlah kumulatif kes demam denggi yang direkodkan di negara ini adalah 21,689 kes berbanding 12,854 kes bagi tempoh yang sama tahun 2021, iaitu peningkatan sebanyak 68.7 peratus.

Manakala di Pulau Pinang sahaja, bermula dari bulan Januari sehingga Minggu Epid 24/2022, jumlah kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 282 kes berbanding 217 kes bagi tempoh yang sama tahun 2021, iaitu peningkatan sebanyak 30 peratus (65 kes).

Peningkatan ini bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh kerana apa yang membimbangkan kini adalah berlaku peningkatan kes demam denggi secara mendadak dicatatkan bermula Minggu Epid 19/2022.

Kita percaya bahawa pembukaan semula semua sektor ekonomi ketika dalam Fasa Peralihan ke Endemik COVID-19 berserta keadaan cuaca yang tidak menentu dan jenis serotaip virus denggi yang berkitaran dalam komuniti menjadi faktor yang mempengaruhi trend peningkatan kes demam denggi kini.

Namun, kita tidak boleh nafikan bahawa sikap sambil lewa dan pengabaian daripada aspek penjagaan kebersihan secara tidak sempurna terus menjadi penyumbang terbesar. Walaupun pihak berkuasa tempatan (PBT) kerap menganjurkan kempen penjagaan kebersihan di kawasan wabak, tetapi sambutan yang diterima lazimnya dipandang sepi oleh sebahagian besar masyarakat kita.

Justeru, mengambil kira dan bertepatan dengan Hari Denggi ASEAN yang disambut pada 15 Jun setiap tahun, Pulau Pinang turut tidak ketinggalan untuk menjayakan program berkaitan di kelima-lima daerah di negeri ini, sebagai menyatakan sokongan dan usaha berterusan kita yang serius dalam menangani permasalahan ini.

Tindakan secara kolektif dan proaktif akan terus diperkasakan iaitu gotong-royong secara besar-besaran perlu dilaksanakan segera dengan melibatkan penduduk setempat, ketua komuniti, pasukan COMBI dan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan bagi memastikan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes dilakukan di seluruh negara. Peruntukan masa sekurang-kurangnya 10 minit pada setiap minggu sudah cukup untuk memastikan kediaman dan persekitaran bebas dari pembiakan nyamuk Aedes.

Demam Denggi tidak boleh ditangani oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja. Kerjasama terutamanya daripada masyarakat setempat, agensi-agensi kerajaan dan swasta serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) amatlah penting bagi menjayakan misi kita dalam membanteras denggi.

Di pihak Kerajaan Negeri, kita akan meneruskan jalinan kerjasama strategik ini terutama pemerkasaan 136 pasukan COMBI di seluruh negeri ini bagi meneruskan usaha-usaha pencegahan yang bersesuaian di peringkat akar umbi termasuklah projek pelepasan nyamuk Aedes berwolbachia di lokaliti panas demam denggi.

Perancangan pada tahun 2022, negeri Pulau Pinang telah diberi tanggungjawab untuk penambahan dua (2) lokaliti sebagaimana cadangan masing-masing satu (1) di daerah Timur Laut (DTL) dan (satu) 1 di daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya ini, sekali lagi saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang hadir dalam program hari ini. Semoga program seumpama ini tidak berhenti setakat ini, sebaliknya menjadi titik permulaan untuk kita semua memulakan suatu langkah baru bagi membanteras perebakan ketara kes denggi ini.

Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Sambutan Hari Denggi ASEAN dan Program Gotong-Royong Mega 1.0 Perangi Aedes Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2022.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang