MAJLIS ULANGTAHUN KE-10 PERBADANAN PEMBANGUNAN WANITA PULAU PINANG (PWDC)

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS ULANGTAHUN KE-10

PERBADANAN PEMBANGUNAN WANITA

PULAU PINANG (PWDC)

 

1 JULAI 2022

HOTEL THE WEMBLEY ST. GILES

 

 

Salam Sejahtera.

 

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) yang meraikan Sambutan Ulang Tahun ke-10 pada malam yang berbahagia ini.

 

Sesungguhnya ia merupakan satu penghormatan dan kebanggaan kepada kita semua untuk melihat sebuah kejayaan terhadap kemajuan organisasi yang telah kita ‘laburkan’ sejak tahun 2011 ini.

 

Hadirin yang dihormati sekalian,

 

Bertepatan dengan tema sambutan – Sedasawarsa Meneraju Perubahan, PWDC telah membuktikan ‘pelaburan’ ini adalah sesuatu yang sangat berbaloi. Menjelang sedekad penubuhan, PWDC telah mengorak langkah maju ke hadapan dalam pelbagai aspek meliputi skop dan ruang lingkup yang telah disediakan.

 

Sebagai sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri yang menyokong dan membangunkan platform untuk wanita di negeri ini dengan menerima pakai dan melaksanakan Dasar Keterangkuman Gender dan Dasar Keluarga Selamat, PWDC telah memainkan peranan yang penting untuk memajukan agenda wanita dengan melibatkan pemerkasaan wanita dalam politik dan ekonomi.

 

Saya masih ingat dengan jelas Gender Responsive and Participatory Budgeting (GRPB) telah diperkenalkan semasa saya memegang jawatan EXCO Kerajaan Tempatan dan saya juga telah mempengerusikan Jawatankuasa Pemandu GRPB Peringkat Negeri ini.

 

Penerapan GRPB ke dalam kedua-dua pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah memberi pendedahan betapa pentingnya lensa gender terutamanya dari segi belanjawan. Perspektif keperluan wanita dan lelaki, tua dan muda, serta orang kurang upaya (OKU) diambil kira atas sebab ‘Kelompok Berlainan, Keperluan Berbeza’ agar setiap lapisan masyarakat dipertimbangkan supaya tiada yang ketinggalan.

 

Hadirin yang dihormati sekalian,

 

Saya secara peribadinya amat gembira untuk menyaksikan kemajuan dan pencapaian PWDC sepanjang tempoh 10 tahun ini. Bermula hanya daripada sekumpulan kecil wanita, kini PWDC telah melebarkan sayap menjadi sebuah entiti yang sungguh berdaya saing dan dikenali sehingga menjadi model pembangunan di negeri-negeri lain.

 

Kejayaan melaksanakan program-program seperti Sidang Wanita, Wanita Jana Rezeki, Program Pementoran Usahawan Wanita Pulau Pinang, Hari Wanita Sedunia, Dasar Keluarga Selamat, Hari Keluarga dan Penang Goes Orange telah membuka lembaran baharu dan memberikan pengiktirafan bukan sahaja kepada PWDC tetapi juga kepada rakyat dan negeri ini secara keseluruhannya.

 

Kejayaan melaksanakan program-program tersebut bukanlah sesuatu kerja yang mudah dan di sini saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh pasukan PWDC yang begitu komited dalam merealisasikan visi dan misi ini.

 

Hadirin yang dihormati sekalian,

 

Hari ini kita mempunyai lebih ramai wanita yang mengukuhkan peranan mereka untuk berjaya dalam pelbagai bidang serta memiliki keupayaan kompetitif yang tinggi. Dari hanya seorang wanita biasa yang mungkin dianggap ‘lemah’, hari ini wanita-wanita yang ada di hadapan ini cukup bersemangat dan gigih dalam meneruskan agenda pemerkasaan diri dan keluarga.  

 

Saya percaya PWDC akan terus melebarkan sayapnya dalam memajukan agenda wanita dan keterangkuman gender untuk terus memperkasakan masyarakat melalui inisiatif-inisiatif pembangunan yang dirancang demi manfaat rakyat di Pulau Pinang.

 

Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada PWDC yang telah dianugerahkan Geospatial World Excellence Award di Amsterdam baru-baru atas inovasi aplikasi mudah alih yang telah dicipta untuk mangsa-mangsa keganasan rumah tangga. Tahniah dan syabas sekali lagi!

 

Semoga kejayaan ini akan terus menjadi inspirasi dan mengukuhkan organisasi untuk lebih banyak kejayaan pada masa-masa akan datang.

 

Selamat Ulang Tahun ke-10, PWDC!

 

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang