MAJLIS PAMERAN WARISAN DAN PELANCARAN BUKU SEJARAH KAUM INDIA MUSLIM

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PAMERAN WARISAN DAN PELANCARAN BUKU SEJARAH

KAUM INDIA MUSLIM

 

7 Julai 2022 (KHAMIS)

Persatuan Anjuman Himayathul Islam, Lebuh Chulia

 

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Central Muslim Society (CMS) atas penganjuran Majlis Pameran Warisan dan Pelancaran Buku Sejarah Kaum India Muslim, yang diadakan bersempena sambutan Perayaan Warisan George Town ke-14 pada petang yang berbahagia ini.

Masa berlalu dengan pantas. Sejak UNESCO mengiktiraf George Town sebagai Tapak Warisan Dunia pada 14 tahun yang lepas iaitu pada tarikh keramat – 7 Julai 2008, George Town telah mencapai kemajuan yang begitu matang sekali.

Saban tahun, komitmen dan cabaran dihadapi semakin meningkat. Namun, Kerajaan Negeri bersyukur kerana semua pihak, daripada George Town World Heritage Incorporated (GTWHI), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan lain-lain agensi sehingga komuniti tempatan turut mengambil bahagian dalam bersama-sama mengurus, memulihara dan mempromosikan Tapak Warisan ini.

Dan pada hari ini, contoh terbaiknya adalah daripada Central Muslim Society (CMS) dan Liga Muslim yang tidak pernah melepaskan peluang untuk menganjurkan pelbagai program berkaitan sempena meraikan hari bersejarah ini.

Saya percaya melalui siri pameran gambar-gambar warisan di samping melancarkan buku warisan yang berkonsepkan tradisi dan sejarah masyarakat India Muslim dari Kadayanallur dan Tenkasi, ia mampu menjadi pemangkin kepada kreativiti dan inovasi yang mampan.

Saya berharap melalui siri pameran dan pelancaran buku ini juga, ia akan menarik lebih ramai orang untuk mengenali khazanah warisan yang berharga untuk dijadikan sebagai rujukan generasi yang akan datang supaya mereka dapat memahami asal usul dan kebudayaan masyarakat India Muslim.

Dengan penglibatan komuniti setempat dalam proses pemuliharaan dan pengurusan warisan yang kita miliki ini, Kerajaan Negeri percaya Pulau Pinang berada di atas landasan yang tepat, sekaligus meletakkan George Town sebagai contoh terbaik dalam Tapak Warisan Dunia.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada Central Muslim Society (CMS) dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program pada hari ini. Meskipun hari ini merupakan hari yang sibuk untuk kita semua, tetapi marilah kita menggunakan peluang dan ruang yang ada untuk meraikan hari bersejarah yang cukup bermakna ini.

Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pameran Warisan dan Pelancaran Buku Sejarah Kaum India Muslim.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang