PENGUMUMAN PERINGKAT PRA-KELAYAKAN (PRE-QUALIFICATION) PROSES PERMOHONAN PENGEMUKAAN CADANGAN LRT BAYAN LEPAS & MAJLIS PELANCARAN PENJENAMAAN SEMULA LAMAN WEB PELAN INDUK PENGANGKUTAN PULAU PINANG (PTMP)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW BERHUBUNG PENGUMUMAN PERINGKAT PRA-KELAYAKAN (PRE-QUALIFICATION) PROSES PERMOHONAN PENGEMUKAAN CADANGAN LRT BAYAN LEPAS & MAJLIS PELANCARAN PENJENAMAAN SEMULA LAMAN WEB PELAN INDUK PENGANGKUTAN PULAU PINANG (PTMP)

 

 20 JULAI 2022; 1 PETANG;

BILIK MESYUARAT BUNGA RAYA, ARAS 51, KOMTAR

_____________________________________

YB Tuan Zairil Khir Johari

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan

YB Dato' Norazmi bin Mohd. Narawi

Penasihat Undang-undang Negeri

Yang Berbahagia

Dato' Mohd. Zakuan bin Haji Zakaria Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan)

Yang Berbahagia

Puan Zahidah binti Abd. Jalil

Timbalan Pegawai Kewangan Negeri

Yang Berbahagia

Dato' Seri Farizan bin Darus

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd.

Yang Berbahagia

Dato' Lim Hock Seng

Ketua Sekyen Pengangkutan

Yang Berusaha

Encik Szeto Wai Loong

Pengarah Projek SRS Consortium

Salam sejahtera, Salam Harapan dan Salam LovePENANG.

Terlebih dahulu, saya ingin melahirkan rasa syukur kerana kita dapat bersama-sama pada hari ini untuk mengumumkan permulaan peringkat pra-kelayakan bagi proses tender terbuka permohonan pengemukaan cadangan (open tender Request for Proposal atau RFP) projek Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas.

Sebagaimana dimaklumkan sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited untuk merealisasikan projek ini yang mana ia merupakan salah satu komponen penting dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam berkualiti bagi manfaat rakyat Pulau Pinang secara keseluruhan.

Pada hari ini, Kerajaan Negeri dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa peringkat pra-kelayakan (Pre-Qualification) untuk proses RFP akan bermula dari 25 Julai sehingga 24 Ogos 2022.

Justeru, syarikat-syarikat yang berminat adalah diminta melayari pautan, https://tender.penanginfra.com/home untuk mendaftarkan minat mereka dan seterusnya mengemukakan maklumat masing-masing pada tempoh masa ditetapkan.

Melalui laman web Penang Infrastructure Corporation (PIC) Sdn. Bhd., penanginfra.com, mereka yang berminat boleh memohon untuk mendapatkan akses bagi memuat turun dokumen pra-kelayakan. Bayaran untuk dokumen berkaitan adalah bernilai RM2,000 dan perlu perlu dibayar kepada PIC. Tempoh untuk pendaftaran atas talian adalah mulai 25 Julai 2022 sehingga 8 Ogos 2022. Tempoh untuk memuat turun dokumen adalah mulai 25 Julai 2022 sehingga 14 Ogos 2022.

Hadirin sekalian,

Tarikh serta tempoh masa untuk menghantar dokumen kepada PIC adalah 24 Ogos 2022 iaitu selewat-lewatnya pada jam 12 tengah hari. Proses penilaian akan menyusul selepas tarikh tersebut dan dijangka bakal mengambil masa kira-kira dua minggu dari 25 Ogos hingga 8 September 2022.

Syarikat yang berjaya disenarai pendek berdasarkan pengalaman, kepakaran dan kebolehan masing-masing daripada segi teknikal serta kewangan dalam peringkat pra-kelayakan akan dijemput menyertai proses RFP bagi komponen LRT Bayan Lepas.

Sebagai makluman lanjut, proses tender untuk komponen-komponen PTMP yang lain juga akan menggunakan portal tender sama kelak. Justeru, kontraktor-kontraktor yang berminat dalam pelaksanaan PTMP dan Penang South Islands (PSI) boleh melayari laman web ini bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai projek-projek berkenaan.

Saudara dan saudari sekalian,

Sukacitanya diumumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada hari ini juga ingin melancarkan laman web PIC, penanginfra.com yang sebelum ini dikenali sebagai laman web Penang Transport Master Plan (PTMP) di pautan, pgmasterplan.penang.gov.my.

 

Penjenamaan semula laman web ini telah diusahakan sejak tahun lepas dan ia bakal menyuntik semangat baru kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PIC secara umumnya dalam merealisasikan PTMP dan PSI.

 

Laman web baru ini bakal memaparkan maklumat dan penjelasan mengenai peranan PIC, komponen-komponen PTMP dan PSI, serta Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) dalam Bahasa Melayu serta juga Bahasa Inggeris.

Ia menggabungkan elemen multimedia seperti grafik, animasi dan video untuk menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan dan menarik, serta bersifat “mobile responsive” agar boleh dilayari melalui telefon bimbit serta tablet.

Hadirin sekalian,

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya mengambil kesempatan ini menyeru orang ramai untuk merujuk kepada laman penanginfra.com sebagai sumber rasmi dalam memperoleh maklumat yang tepat serta sahih mengenai PTMP dan PSI. Dengan rasa penuh kesyukuran, saya dengan ini merasmikan peringkat pra-kelayakan proses RFP LRT Bayan Lepas dan lawan web, penanginfra.com.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya berharap kita dapat bersama-sama meneruskan usaha untuk merealisasikan projek-projek ini demi masa depan Pulau Pinang yang lebih cemerlang. Ini adalah selaras dengan Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Keluarga.

Kita rakyat Pulau Pinang; Kita bergerak bersama-sama; Kita LovePENANG!

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang