MAJLIS PERASMIAN PENUTUP PESTA PADI ANTARABANGSA PULAU PINANG TAHUN 2022
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PENUTUP
PESTA PADI ANTARABANGSA PULAU PINANG TAHUN 2022
24 Julai 2022
Kampung Terus, Penanti
YB Dr. Hajah Norlela Ariffin
Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar & Kesihatan
YB Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Hussain
Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan
YB Tuan Haji Razman bin Zakaria
Exco Perladangan, Pertanian Dan Industri Makanan Negeri Perak
YB Tuan Nurulhishan bin Yaakob
Exco Pertanian & Industri Asas Tani Perusahaan, Perladangan & Komoditi Negeri Perlis
Yang Berbahagia Dato’ Azhar bin Arshad
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)
Yang Berbahagia Tuan Kamarul Haizal bin Koderat
Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT)
Asisten Komisioner Tan Cheng San
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT)
Ahli-ahli Parlimen dan ADUN yang hadir memberikan sokongan
Para Pegawai Kerajaan & NGO
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada YB Dr. Hajah Norlela binti Ariffin, Exco Agroteknologi, Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, bersama-sama dengan pasukannya daripada Pejabat Dewan Undangan Negeri Penanti dan barisan Ahli Jawatankuasa yang begitu komited dalam memastikan Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang Tahun 2022 ini dapat diadakan dengan jayanya.
Memasuki tahun ke-4 penganjuran dengan masih mengekalkan tema yang sama iaitu PadiKu WarisanKu RezekiKu, festival yang amat dinanti-nantikan ini sememangnya mempunyai keunikan yang tersendiri dan selayaknya diiktiraf sebagai acara pelancongan kebangsaan untuk dimasukkan dalam kalendar pelancongan negara.
Bermula 22 Julai (Hari Jumaat), Kampung Terus, Penanti ini dibanjiri dengan ribuan peminat, bukan sahaja daripada penduduk kawasan dan sekitarnya, tetapi juga berjaya menarik pelancong luar termasuklah Exco Pertanian daripada negeri Perak dan Perlis yang turut hadir pada petang ini.
Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengucapkan terima kasih atas kesudian semua yang hadir bagi menyokong dan memeriahkan festival ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Sebentar tadi saya berpeluang untuk melihat sekali lagi kepelbagaian Seni Arca Jerami Padi yang dihasilkan melalui penganjuran Pertandingan Arca Jerami Padi 1.0 yang julung kali diadakan di Malaysia dan Pulau Pinang sekali lagi menjadi tuan rumah dengan tema “Warisan Padi Dan Keajaiban Alam”.
Saya amat tertarik dengan idea dan rekaan kreatif yang telah dihasilkan oleh 16 buah pasukan yang cukup hebat ini yang kebanyakan terdiri daripada pasukan anak muda kita.
Kepada para pemenang yang akan diumumkan nanti, tahniah diucapkan kepada anda. Kepada yang tidak berjaya, diharapkan anda semua menikmati dan memperolehi pengalaman yang luar biasa ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Apabila YB Dr. Norlela membentangkan Projek Pesta Padi 2022 dengan Pertandingan Arca Jerami Padi ke dalam Mesyuarat Exco untuk kelulusan, saya begitu bersemangat dan meluluskan projek dengan penuh keyakinan.
Seperti yang semua sedia maklum, Arca Jerami Padi adalah sejenis seni yang menggunakan jerami padi yang biasanya tidak ada kegunaan selepas padi dituai. Apabila jerami padi yang tidak berharga ini boleh digunakan untuk membina arca yang cantik dan dapat menarik kunjungan pelancong, tempat ini sudah tentunya menjadi “Agro-Pelancongan Destinasi” yang baru di Negeri Pulau Pinang dan di Malaysia.
Ia juga merupakan sejenis “Upcycle Economy” yang baru di Negeri Pulau Pinang.
Kerajaan Negeri yakin lokasi ini amat sesuai dan boleh dijadikan sebagai pentas seni arca bagi golongan pelajar-pelajar universiti, artis-artis, arkitek landskap, pereka profesional tempatan dan negeri-negeri jiran.
Sebagaimana yang saya nyatakan sebelum ini, Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang harus dimasukkan ke dalam kalendar Acara Tahunan Malaysia untuk menjadikan Pesta Padi ini sebagai salah satu tempat budaya dan warisan yang wajib dilawati atau “Must Visit Place” di Malaysia.
Begitu juga dengan Pertandingan Arca Jerami Padi. Saya memohon khususnya Jawatankuasa Pertandingan supaya meletakan pertandingan ini di persada dunia setanding dengan pertandingan-pertandingan bertaraf antarabangsa yang lain.
Barisan kepimpinan Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan padu dan menyeluruh untuk melihat Pesta Padi Antarabangsa dan Pertandingan Arca Jerami Padi ini terus dikenali dan menembusi pentas antarabangsa.
Selain daripada itu, saya juga berasa amat gembira melihatkan dua (2) buah bot pelancong iaitu ‘Kak Wan’ dan ‘Cik Wa’ pemberian Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM200,000 kini beroperasi dengan jayanya demi membangunkan agropelancongan di Pulau Pinang.
Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang telah bertungkus-lumus dalam menjayakan program selama tiga (3) hari ini.
Di Pulau Pinang, kita sangat meraikan penganjuran festival sebegini bagi meraikan sejarah, budaya dan warisan para petani sawah yang penting untuk pemeliharaan identiti bangsa Malaysia dan menjadi contoh kepada generasi masa hadapan.
Kerajaan Negeri akan terus melakukan apa yang terdaya terutama dari segi sokongan dan penyediaan peruntukan, infrastruktur asas dan awam untuk kebaikan bersama.
Kepimpinan Exco Pertanian, YB Dr Norlela akan dipastikan untuk berusaha bagi membantu bidang industri pertanian termasuk penanaman padi untuk menjamin keluaran padi yang terbaik untuk menyokong jaminan makanan untuk rakyat di negara ini.
Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) juga kini sedang dalam proses menyediakan Rancangan Tempatan Seberang Perai 2030, yang salah satunya merangkumi pembangunan 12,105.2886 hektar tapak sawah padi demi memanfaatkan 5,262 orang petani.
Akhir kata, saya berharap para penunjung dapat menikmati pesta ini dan dalam pada masa yang sama dapat menjaga penjarakan fizikal dalam usaha kita memerangi wabak COVID-19 dan penyakit lain yang menular.
Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Penutup Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang Tahun 2022.
Sekian, terima kasih.