MAJLIS JASAMU DIKENANG TAHUN 2022

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

 SEMPENA MAJLIS JASAMU DIKENANG TAHUN 2022

1 OGOS 2022 (ISNIN)

HOTEL EASTIN, PULAU PINANG

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP) yang telah memastikan Majlis Jasamu Dikenang Tahun 2022 pada petang ini dapat diadakan dengan jayanya.

Pandemik COVID-19 yang melanda telah menghadkan perancangan sebelum ini. Justeru, majlis yang julung kali diadakan ini akan menggabungkan seramai 178 orang yang telah bersara dari tahun 2020 sehingga yang terkini, iaitu tahun 2022.

Meskipun majlis pada hari ini mungkin ringkas sahaja, setidak-tidaknya saya berharap majlis ini kekal menjadi memori terindah dan kenangan manis untuk semua yang diraikan, di samping sebagai platform untuk mengukuhkan jalinan persaudaraan yang sedia terjalin sesama kita.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pesara dan bakal pesara atas khidmat bakti dan sumbangan perkhidmatan yang telah diberikan selama berkhidmat dalam perkhidmatan awam negeri ini, termasuklah mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Yang Berbahagia Dato’ Seri Dr. Ahmad Jailani bin Mohamed Yunus yang turut bersara wajib pada 6 Julai 2022 yang lalu.

Sesungguhnya setiap daripada anda yang diraikan ini telah memainkan peranan yang penting dalam mengembleng tenaga untuk menjayakan strategi dan agenda pembangunan negeri. Segala usaha, kudrat dan sumbangan sangat membantu dalam mencorakkan pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang di kedudukan masa kini.

Kepada waris-waris bagi pesara yang telah meninggal dunia sewaktu dalam perkhidmatan, saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada mereka yang telah lebih awal meninggalkan kita.

Jasa dan sumbangan mereka ini dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan negeri Pulau Pinang akan sentiasa dikenang dan dihargai.

Sebagai penjawat awam, inilah sebahagian daripada perjalanan yang harus ditempuhi. Kini, peranan dalam meneruskan cabaran getir bagi menterjemahkan segala dasar yang dirangka akan diteruskan oleh para penjawat awam yang masih berada dalam perkhidmatan.

 

Yang Berbahagia Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

 

Alam persaraan adalah fasa baharu kepada anda semua. Namun, kita di sini masih mengalu-alukan perkongsian idea dan cadangan yang positif daripada rakan-rakan pesara terutama dalam sebarang penambahbaikan yang memberi manfaat kepada rakyat dan negeri ini.

Burung serindit terbang tinggi

Hinggap di atas pohon meranti

Jasa tuan/puan saya sanjungi

Jadi ingatan kekal abadi

Akhir kata dari saya, kepada pesara dan bakal pesara, “Selamat Bersara dan Selamat Menempuh Kehidupan yang baharu”.

Semoga YBhg. Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan terus dikurniakan kesihatan yang baik serta rezeki yang berpanjangan.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang