MAJLIS PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN DAN KIBAR JALUR GEMILANG PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2022

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN DAN KIBAR JALUR GEMILANG PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2022

 

8 OGOS 2022 | ISNIN

STRAITS QUAY MARINA MALL, TANJUNG TOKONG

_______________________________

YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abd. Rahman

Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau

YB Dato’ Norazmi bin Mohd. Narawi

Penasihat Undang-undang Negeri Pulau Pinang

Dato’ Mohd. Zakuan bin Zakaria

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan)

Dato’ Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan)

Barisan Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang & Ahli Parlimen


Konsul-Konsul Jeneral/ Konsul-Konsul Kehormat Negeri Pulau Pinang

Ketua Jabatan Negeri & Persekutuan serta Wakil-wakil Jabatan dan Agensi

Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertamanya, izinkan saya panjatkan kesyukuran atas kesempatan untuk kita semua berkumpul bagi bersama-sama meraikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2022.

Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada jawatankuasa induk yang terdiri daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP), Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Pulau Pinang dan semua Jabatan/Agensi Persekutuan dan Negeri atas kolaborasi dan komitmen yang telah diberikan dalam memastikan majlis pada hari ini dapat diadakan dengan jayanya.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Setelah dua (2) tahun tidak dapat meraikan Bulan Kebangsaan sepertimana kebiasaannya akibat pandemik COVID-19, hari ini ‘kebebasan’ yang pernah kita rasai telah dapat diraikan.

Selari dengan semangat cintakan negeri kita melalui kempen ❤️PENANG (LovePENANG) yang telah dilancarkan, Bulan Kebangsaan ini merupakan salah satu platform yang amat baik untuk kita merealisasikan misi dan matlamat kempen ini.  

Justeru, pengisian dan intipati Bulan Kebangsaan ini memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej yang jelas untuk membangkitkan semula semangat patriotisme dalam sanubari kita semua.

Apa gunanya kempen-kempen yang dilancarkan tanpa penyertaan dan penglibatan dalam kalangan masyarakat secara efektif. Lembaran baharu dalam kempen ❤️PENANG (LovePENANG) diharap dapat menyemarakkan semangat rakyat terutama dalam pasca pandemik COVID-19.

Saudara dan Saudari yang dihormati sekalian,

Tidak kira di mana pun kita berada, perasaan bangga dengan kibaran  bendera negara perlu ada dalam diri setiap daripada kita. Jalur Gemilang adalah lambang negara yang mampu membangkitkan semangat patriotisme dalam hati setiap rakyat Malaysia.

Jalur Gemilang tetap menjadi simbol semangat cinta kita terhadap negara. Oleh itu, saya menyeru seluruh rakyat negeri Pulau Pinang, menyahut seruan Kerajaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga, tertib dan rasa hormat.

Semangat cintakan negara perlu sentiasa disematkan dalam diri rakyat Malaysia. Oleh itu, kita perlu mengekalkan kehidupan yang harmoni, saling mengasihi dan bersatu hati dalam kalangan rakyat meskipun berlainan kaum, agama dan latar belakang.

Akhir kata, sekali lagi saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam merancang pelbagai aktiviti sepanjang Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di Pulau Pinang. Bersama-samalah kita meraikan Bulan Kebangsaan dan kibarkanlah Jalur Gemilang.

Dengan ini, saya merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2022.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang