MAJLIS PENYERAHAN INSENTIF KEMENANGAN SUKAN KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG (SKIMAS) KEPADA PEMENANG PINGAT TEMASYA SUKAN KOMANWEL KE-22, BIRMINGHAM 2022

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN INSENTIF KEMENANGAN SUKAN KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG (SKIMAS) KEPADA PEMENANG PINGAT TEMASYA SUKAN KOMANWEL KE-22, BIRMINGHAM 2022

 

22 OGOS 2022 | 12 TENGAHARI |

BILIK GERAKAN, TINGKAT 28, KOMTAR

________________________________________

Yang Berhormat Tuan Soon Lip Chee

Exco Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang

Yang Berusaha Encik Harry Chai Heng Hua

Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato’ Kah Kau Kiak

Presiden Persatuan Badminton Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato’ Andrew Lim Tatt Keong

Presiden Persatuan Judo Pulau Pinang

Tuan Haji Abdul Rahman bin Shariff

Presiden Persatuan Lawn Bowls Negeri Pulau Pinang (2020)

Saudara Chan Peng Soon

Pemenang Pingat Emas Acara Badminton Berpasukan Campuran

Saudari Cheah Yee See

Pemenang Pingat Emas Acara Badminton Berpasukan Campuran

Saudari Goh Jin Wei

Pemenang Pingat Emas Acara Badminton Berpasukan Campuran

Saudari Azlina binti Arshad

Pemenang Pingat Perak Acara Boling Padang Trios Wanita

Saudara Amir Daniel bin Abdul Majeed

Pemenang Pingat Gangsa Acara Individu Judo 73kg Lelaki

Para ibu dan bapa kepada barisan atlet

Rakan-Rakan Media

Tuan-Tuan / Puan-Puan dan hadirin sekalian

Selamat tengahari, Salam Sejahtera dan Salam ❤️PENANG kepada semua.

Saya dengan ini ingin mengalu-alukan kehadiran semua ke majlis khas bagi meraikan kejayaan para atlet Pulau Pinang yang telah menyertai kontinjen Malaysia dalam temasya Sukan Komanwel Ke-22 di Birmingham, United Kingdom pada 28 Julai hingga 8 Ogos lalu.

Secara keseluruhan, kontinjen negara telah berjaya membawa pulang sebanyak tujuh (7) pingat emas, lapan (8) pingat perak dan lapan (8) pingat gangsa. Adalah dimaklumkan bahawa daripada jumlah itu, barisan atlet negeri Pulau Pinang telah berjaya menyumbangkan keseluruhan tiga (3) pingat iaitu satu (1) pingat emas, satu (1) pingat perak dan satu (1) pingat gangsa.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, syabas dan tahniah saya ucapkan yang mana usaha dan kerja keras anda semua bukan hanya telah mengharumkan nama Malaysia, malah juga Pulau Pinang yang kita kasihi ini.

Kemenangan anda semua di persada dunia juga dikongsi dengan penuh kegembiraan oleh seluruh rakyat Pulau Mutiara selaras dengan intipati kempen ❤️PENANG yang diuar-uarkan kini. Marilah kita terus bersama-sama menyuntik semangat cintai negeri kita dan komited untuk terus mengharumkan nama Pulau Pinang pada setiap aspek pencapaian.

Hadirin sekalian,

Bagi meraikan kejayaan ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini dengan sukacitanya ingin menyampaikan sumbangan penghargaan menerusi Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS) yang telah diwujudkan sejak tahun 2014 sebagai galakan khas kepada barisan atlet negeri.

Bagi Sukan Komanwel Ke-22 Birmingham, butir-butirnya adalah seperti berikut dengan keseluruhan sumbangan insentif berjumlah RM23,500:-

NAMA

PINGAT

ACARA

JUMLAH (RM)

Chan Peng Soon

Emas

Acara Berpasukan Campuran Badminton

4,500

Cheah Yee See

Emas

Acara Berpasukan Campuran Badminton

4,500

Goh Jin Wei

Emas

Acara Berpasukan Campuran Badminton

4,500

Azlina binti Arshad

Perak

Acara Trio Boling Padang

4,000

Amir Daniel Abdul Majeed

Gangsa

Acara Judo Kategori 73kg Lelaki

6,000

JUMLAH (RM)

23,500

Saudara dan saudari sekalian.

Pada kesempatan ini, kita turut berbangga dengan pencapaian atlet sukan judo iaitu Saudara Amir Daniel Abdul Majeed yang telah mencatat sejarah baru Malaysia dengan muncul sebagai atlet pertama negara memenangi pingat bagi acara berkaitan di temasya Sukan Komanwel.

Umumnya, pencapaian ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa inisiatif Kerajaan Negeri dalam melaksanakan program-program pada peringkat umbi seperti ‘Sukan Untuk Semua’ atau ‘Sports for All’ telah berjaya menyemai bakat-bakat baru barisan atlet muda untuk negeri Pulau Pinang. Ini termasuk skim-skim galakan akademik menerusi ‘Penang Athlete Career & Education’ atau singkatannya, PACE dan juga program ‘Penang Junior Coaches’.

Sebagai tambahan, atlet-atlet Pulau Pinang berpengalaman seperti Saudara Chan Peng Soon dari sukan badminton dan Saudari Azlina binti Arshad dari sukan boling padang kini bukan sekadar bergelar sebagai atlet negara, tetapi turut berperanan memimpin barisan atlet muda negeri serta Malaysia. Tahniah!

Secara keseluruhan, dalam memartabatkan bidang sukan, selain mengasah bakat-bakat baru, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah mengambil inisiatif khas mempertingkatkan kemudahan-kemudahan sukan di negeri ini.

Peruntukan sejumlah RM1.6 juta telah digunakan bagi kerja-kerja pembinaan baru, penaiktarafan dan pembaikpulih kemudahan sukan di seluruh negeri pada tahun ini termasuk lima (5) gelanggang sepak takraw; dua (2) laluan jogging; dua (2) gelanggang futsal; empat (4) gelanggang bola keranjang, (sebuah) 1 gelanggang bola tampar; dua (2) padang awam dan (sebuah) 1 gelanggang sepak raga tuju.

Dalam pada itu, Stadium Mini Bola Sepak Permatang Rawa dengan kos RM3.5 juta juga telah disiapkan pada tahun 2021 manakala Nibong Tebal Arena dengan anggaran kos RM8.8 juta kini dalam proses pembinaan dengan kemudahan Sembilan (9) gelanggang badminton dan lain-lain yang dijangka bakal siap pada suku pertama tahun 2023.

Mengakhiri ucapan saya pada hari ini, sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada anda semua dan juga kepada mereka yang telah berentap di Birmingham. Saya dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus mendoakan kecemerlangan anda semua khususnya di dalam lapangan sukan masing-masing.

Semoga dengan kejayaan ini, ia akan kekal menyemarakkan semangat kita semua di sini demi negara dan demi negeri Pulau Pinang yang dicintai. Kita ❤️PENANG.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang