MAJLIS PERASMIAN AKADEMI SUKAN ELEKTRONIK NEGERI PULAU PINANG MAJLIS SUKAN NEGERI PULAU PINANG
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN
AKADEMI SUKAN ELEKTRONIK NEGERI PULAU PINANG
MAJLIS SUKAN NEGERI PULAU PINANG
27 OGOS 2022 | 2.00 PETANG
TINGKAT 3, KOMTAR
________________________________________
YB Soon Lip Chee
EXCO Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang
YB Teh Lai Heng
ADUN Komtar
YBrs En. Harry Chai Heng Hua
Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang
YBrs Dr. Gwee Sai Ling
Pengurus Besar Perbadanan Belia Negeri Pulau Pinang
En. Mohamad Khir Bin Md Noor
Presiden Persatuan Sukan Elektronik Pulau Pinang
Ahli Jawatankuasa Pengurusan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang
Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan
Para atlet, pemain-pemain Esports
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan Dan Puan-puan
Selamat Petang dan Salam ❤️PENANG kepada semua.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) atas jemputan sempena Majlis Perasmian Akademi Sukan Elektronik Pulau Pinang pada petang yang berbahagia ini.
Sepertimana yang dijanjikan dalam 68 janji Manifesto 'Saya ❤️ Pulau Pinang', saya gembira akhirnya impian Pulau Pinang untuk memiliki Akademi Sukan Elektronik dapat direalisasikan dengan jayanya pada hari ini.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat atas komitmen bersama yang telah diberikan dalam menjayakan akademi ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Sukan elektronik atau lebih dikenali sebagai e-sport merupakan sukan yang paling hangat pada masa kini khususnya di kalangan golongan anak-anak muda dan golongan belia. Sukan ini bukan sekadar aktiviti bagi memenuhi masa lapang, tetapi ia telah memasuki satu era profesionalisme di kalangan para peminatnya.
Seiring dengan perkembangan tersebut, Kerajaan Negeri turut tidak mahu ketinggalan untuk merebut peluang ini bagi Pulau Pinang mempunyai Akademi Sukan Elektronik ini sebagai pemangkin kepada perkembangan dan kemajuan sukan elektronik di negeri ini.
Untuk makluman semua, Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) telah memperuntukkan sebanyak RM200,000 untuk menubuhkan akademi ini yang merangkumi sewaan sebanyak 12 unit komputer sukan elektronik (gaming PC) dengan spesifikasi terkini, 2 unit console playstation 5, perabot serta kos-kos pengubahsuaian dan pendawaian elektrik.
Walaupun akademi ini mungkin akan dipandang kecil dari segi saiz dan kemudahan yang sedia ada, perlu difahamkan bahawa konsep akademi ini berlandaskan aspek pendidikan (educational) dan pembangunan sukan elektronik dan bukan sekadar sebagai sebuah pusat untuk bermain dan menganjurkan pertandingan sahaja.
Selaras dengan itu, saya percaya akademi ini akan memainkan satu peranan yang penting dalam memberikan satu anjakan paradigma berkenaan stigma sukan elektronik yang sering dikaitkan dengan isu-isu sosial yang negatif seperti kesihatan mental (mental health), isu kemerosotan dalam keputusan akademik (declined in academic results) dan isu-isu sosial yang lain.
Bertunjangkan kepada objektif untuk mewujudkan satu ruangan dan pusat khusus kepada pelaksanaan pembangunan, pengenalan dan latihan sukan elektronik, saya berharap ini dapat melahirkan pemain-pemain sukan elektronik negeri Pulau Pinang dengan asas-asas dan etika yang baik selaras dengan perkembangan dan kemajuan dunia sukan elektronik di pentas kebangsaan dan antarabangsa.
Antara strategi dan program yang telah dirangka untuk menghidupkan Akademi Sukan Elektronik Pulau Pinang adalah:
- Pelaksanaan Program “Sukan Untuk Semua: Sukan Elektronik”
Penganjuran program pertama di Akademi ini akan dilaksanakan pada 8 Oktober 2022 dengan program “Klinik Sukan Untuk Semua: Esports”. Program pengenalan ini akan dibuka kepada semua anak-anak muda dalam lingkungan umur 13 - 17 tahun.
- Pelaksanaan Program “Game On: Esports!”
Program “Game On: Esports!” merupakan satu inisiatif yang akan dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang untuk memperkenalkan sukan elektronik dengan etika bermain yang baik kepada sekolah-sekolah di negeri Pulau Pinang. Program ini akan melibatkan kerjasama bersama dengan Jabatan Pendidikan Sukan Negeri (Unit Sukan).
Melalui program “Jom, Esports!”, akademi ini akan dibuka kepada semua sekolah-sekolah yang menghadapi kekangan kemudahan dan peralatan Sukan Elektronik tetapi mempunyai minat untuk mewujudkan sebuah kelab sukan elektronik di sekolah masing-masing. Kelab-kelab sekolah sedemikian boleh bekerjasama dengan pihak Akademi Esports Pulau Pinang untuk menggunakan fasiliti dan kemudahan.
- Program Pendidikan dan Pendedahan Sukan Elektronik
Akademi ini juga berhasrat untuk menganjurkan pelbagai jenis kursus dan program pendidikan berteraskan kepada sukan elektronik dan perkembangan ICT. Untuk itu, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang juga akan berkerjasama dengan pihak-pihak berkepakaran dalam bidang ini, seperti Persatuan Sukan Elektronik Pulau Pinang, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Digital Penang serta Tech Dome bagi menganjurkan program-program pendidikan di akademi ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Akademi Esport Pulau Pinang akan beroperasi pada setiap hari Rabu hingga Ahad dari jam 1.00 tengahari sehingga 9.00 malam melalui tempahan awalan dan dihadkan tempoh penggunaanya dalam lingkungan 1 jam 30 minit.
Tempahan adalah secara atas talian melalui laman web Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang di laman web www.msnpp.penang.gov.my.
Selain itu, akademi ini juga akan dijadikan sebagai pusat latihan utama (homeground) bagi atlet-atlet sukan elektronik yang akan mewakili negeri Pulau Pinang di dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX, MSN 2022 yang akan berlangsung pada 16 hingga 24 September 2022 nanti.
Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya berharap dengan penubuhan akademi yang bertempat di KOMTAR, ianya akan dapat menyemarakkan lagi semangat di kalangan peminat-peminat sukan elektronik di negeri Pulau Pinang. Saya percaya akademi ini akan memberikan satu impak yang positif kepada perkembangan sukan ini.
Dengan ini, saya secara rasminya mengumumkan pembukaan Akademi Sukan Elektronik Pulau Pinang!
Sekian, terima kasih.