MAJLIS PERASMIAN PELANCARAN LAMAN WEB DAN PENGANUGERAHAN BUKU REKOD MALAYSIA (MALAYSIA BOOK OF RECORD) KEPADA PERSATUAN NILLAIKALAKKI SILAMBAM PULAU PINANG
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PELANCARAN LAMAN WEB DAN PENGANUGERAHAN BUKU REKOD MALAYSIA (MALAYSIA BOOK OF RECORD)
KEPADA PERSATUAN NILLAIKALAKKI SILAMBAM PULAU PINANG
28 OGOS 2022
ASCOTT HOTEL PULAU PINANG
YB Professor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang
YB Ramkarpal Singh a/l Karpal Singh
Ahli Parlimen Bukit Gelugor
Yang Berusaha Dr Tan Awang Besar
Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya
Encik Shapee bin Che Embi
Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Pulau Pinang
Dr Ang Ming Chee
Pengurus Besar, George Town World Heritage Incorporated (GTWHI)
Para Jemputan
Rakan-rakan Seni Bela Diri
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Persatuan Nillaikalakki Silambam Pulau Pinang kerana telah mengatur majlis pada petang ini dengan jayanya.
Sejak didaftarkan secara rasminya pada 25 Februari 1975, Persatuan Nillaikalakki Silambam Pulau Pinang dilihat sebagai persatuan yang masih kekal aktif dan relevan, bukan sahaja di kalangan para ahli, tetapi juga kepada negeri Pulau Pinang secara keseluruhannya.
Perjalanan ini bukan mudah dan sudah pasti ada jatuh dan bangun, namun Pertubuhan ini telah membuktikan selama 47 tahun, seni mempertahankan diri yang berasaskan pertempuran tongkat ini merupakan sesuatu warisan yang unik dan harus dipertahankan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Persatuan Nillaikalakki Silambam Pulau Pinang ini sememangnya tidak asing lagi di kalangan para pencinta seni dan warisan. Mereka inilah yang sering menyokong dan memeriahkan program-program terutama ketika Festival Georgetown yang dianjurkan oleh George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) untuk demonstrasi seni Nillaikalakki, selain mengambil bahagian dalam program “Community-Based Intangible Cultural Heritage Inventorying in George Town” yang merupakan sebuah project bersama UNESCO dan GTWHI.
Seni Nillaikalakki dan Persatuan Nillaikalakki Silambam Pulau Pinang telah diketengahkan dalam banyak laman web dan majalah antarabangsa, namun antara pencapaian yang paling membanggakan adalah apabila CNN telah menyenaraikan nama Persatuan ini dalam artikel yang bertajuk "Nine reasons to visit Penang that have nothing to do with street food" pada 14 Februari 2017.
Selain daripada itu, komitmen Persatuan dalam menginventori warisan kebudayaan ini juga turut mendapat perhatian sehingga turut dipaparkan dalam artikel laman web UNESCO ICH (Intangible Cultural Heritage) pada 12 Ogos 2019.
Persatuan ini juga bergiat aktif dalam menghasilkan artikel-artikel untuk penerbitan antarabangsa dan salah satunya merupakan artikel seni bela diri dari Malaysia yang diterbitkan di UNESCO ICHCAP for Martial Art as Intangible Cultural Heritage paper di bawah kategori the Living Heritage Series.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Selaras dengan segala pencapaian dan komitmen yang telah diberikan oleh Persatuan, sudah pastinya pelancaran laman web baharu yang memaparkan maklumat mengenai seni ini dengan lebih lanjut sangat signifikan dan meletakkan keseluruhan organisasi ini pada sesuatu tahap yang maju ke hadapan.
Semoga dengan pelancaran laman web in, ia akan membantu untuk mempromosikan seni Nillaikalakki Silambam di Pulau Pinang secara lebih meluas dan secara tidak langsung akan menarik lebih ramai pelancong dan penggiat seni ke Pulau Pinang.
Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan syabas dan tahniah kapada kepimpinan Persatuan Nillaikalakki Silambam Pulau Pinang dan Grandmaster, Encik Anbananthan atas segala kejayaan yang dikecapi sehingga hari ini.
Saya berharap Persatuan turut akan berkerjasama dengan organisasi seni bela diri yang lain dalam mengekalkan keaslian warisan negeri Pulau Pinang supaya tidak hilang ditelan zaman dan diharapkan dengan penganugerahan ini sebentar nanti, ia bakal menyuntik semangat serta kreativiti bakat-bakat muda tempatan terhadap bidang seni dengan lebih menyeluruh, dan seterusnya membawa nama Pulau Pinang ke persada dunia kelak.
Sekian, terima kasih.