MAJLIS PERASMIAN GELANGGANG BOLA KERANJANG

UCAPAN OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN GELANGGANG BOLA KERANJANG

 

18 SEPTEMBER 2022

TAMAN TENANG

 

YB Steven Sim

Ahli Parlimen Bukit Mertajam

 

YB Heng Lee Lee

ADUN Berapit

 

Encik Lee Sok Hong

Pengerusi MPKK Taman Tenang

 

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MPKK Taman Tenang di bawah ADUN Berapit, YB Heng Lee Lee dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, YB Steven Sim kerana telah mengaturkan Majlis Perasmian Gelanggang Bola Keranjang di Taman Tenang pada petang yang berbahagia ini.

Dengan kos keseluruhan sebanyak RM147,422.55, gelanggang bola keranjang ini sudah tentunya bakal menjadi salah satu lagi lokasi pilihan terutama kepada penduduk tempatan di sini bagi menjalankan aktiviti sukan dan riadah.

Sejak dilancarkan inisiatif Sukan Untuk Semua (Sports for All) sekitar awal tahun 2019, Kerajaan Negeri komited untuk membudayakan dan mempelbagaikan sukan ke arah kesejahteraan rakyat.

Sebanyak 12 jenis sukan telah digerakkan sebagai platform untuk menggalakkan penyertaan masyarakat dengan penganjuran satu sukan pada setiap bulan. Dengan tema satu bulan satu sukan ini, Kerajaan Negeri berhasrat untuk mempromosikan sukan tertentu serta membangun dan memperkembangkan pergerakan sukan di negeri Pulau Pinang.

Serentak dengan itu, Kerajaan Negeri juga akan memastikan segala kemudahan yang berkaitan akan disediakan seiring dengan perkembangan ini.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin menggunakan peluang untuk mengajak dan mengalu-alukan penyertaan dari pihak swasta terutamanya secara CSR (Corporate Social Responsibility) bagi bersama-sama dengan Kerajaan Negeri agar kita dapat menjalinkan sebuah kerjasama strategik yang lebih baik dalam penyediaan infrastruktur sukan ini.  

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang