MAJLIS PERASMIAN PROGRAM PUBLISITI DAN PENYERTAAN AWAM DRAF RANCANGAN TEMPATAN PULAU PINANG (PULAU) 2030 (DRTPPp 2030)
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PROGRAM PUBLISITI DAN PENYERTAAN AWAM DRAF RANCANGAN TEMPATAN PULAU PINANG (PULAU) 2030 (DRTPPp 2030)
20 OKTOBER 2022
SYED AL-ATTAS MANSION
YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancang Bandar & Desa
Yang Berbahagia Dato’ Ar. Yew Tung Seang
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)
Yang Berbahagia Puan TPr Rozita binti Hamit
Pengarah PLANMalaysia@Pulau Pinang (JPBD)
Yang Berusaha Dato’ Ir. Rajendran a/l P. Anthony
Setiausaha, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)
Barisan Ahli Majlis-Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)
Yang Berusaha Puan TPr Zuraini binti Mat Rasit
Pemangku Pengarah Perancangan Pembangunan selaku Urusetia Kajian Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030
Ketua-ketua Jabatan
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih atas jemputan sempena Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam, Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030 (DRTPPp 2030) pada pagi yang berbahagia ini.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan pasukannya atas komitmen yang telah diberikan daripada peringkat awal sehingga pelaksanaan Program Publisiti dan Penyertaan Awam pada hari ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Sepertimana yang semua sedia maklum, Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030 merupakan sebuah dokumen yang menterjemahkan dasar perancangan diperingkat Persekutuan, Polisi dan strategi Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 serta Aspirasi Negeri dalam Penang 2030 ke dalam perancangan spatial yang dibuat melalui penyediaan Peta Cadangan dan disokong oleh pernyataan bertulis serta garis panduan bagi memandu perancangan dan pembangunan di dalam kawasan pentadbiran MBPP untuk tempoh sehingga tahun 2030.
Selain itu, Draf Rancangan Tempatan (setelah diwartakan) ini turut akan menjadi rujukan kepada komuniti, pemilik tanah, pemegang taruh dan orang awam yang khususnya tinggal di Daerah Timur Laut dan Barat Daya.
Dengan siapnya Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030 ini, maka secara rasminya lengkaplah sudah perancangan di bahagian pulau di negeri ini.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Sepertimana kelaziman sebelum sesuatu Dokumen Rancangan Tempatan dimuktamadkan, draf tersebut hendaklah melalui proses publisiti dan penyertaan awam seperti yang termaktub dalam Akta 172.
Ini bertujuan bagi memberi peluang kepada orang awam dan pihak-pihak berkepentingan untuk mengemukakan cadangan, maklum balas, mahupun bantahan yang sudah tentunya akan diambil kira dalam memuktamadkan Draf Rancangan Tempatan ini.
Justeru, tempoh untuk orang awam boleh memberikan pandangan adalah selama dua (2) bulan iaitu bermula pada 14 Oktober 2022 sehingga 13 Disember 2022. Salinan-salinan Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030 boleh diperoleh dan diperiksa di ruang pameran yang bertempat di Bangunan Syed Al-Atas Lebuh Armenian George Town ini, dan juga Makerspace Balik Pulau.
Cadangan dan pandangan boleh dilakukan melalui Borang Bantahan yang dikemukakan kepada MBPP secara individu, berkumpulan mahupun persatuan.
Adalah diharapkan tempoh yang diberikan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Pulau Pinang sebagai platform penambahbaikan dokumen penting ini. Penglibatan semua pihak adalah amat penting bagi mencapai hala tuju perancangan pembangunan yang diimpikan.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Seperti mana yang kita sedia maklum, Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030 ini disediakan berdasarkan keperluan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172). Secara dasarnya adalah bagi merealisasikan perancangan yang telah disasarkan di peringkat Nasional, Negeri dan Tempatan melalui Rancangan Fizikal Negara ke-4, Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 dan di peringkat Tempatan.
Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030 telah diselaraskan oleh Jabatan Perancangan Pembangunan, MBPP melalui kerjasama yang erat dari agensi-agensi berkepentingan dan libat urus bersama komuniti serta pemegang taruh sejak tahun 2019 lagi.
Penyediaan Rancangan Tempatan ini juga turut dibantu dengan kepakaran pihak perunding yang dilantik iaitu AJM-Planning and Urban Design Group Sdn Bhd.
Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak urusetia dan agensi-agensi berkepentingan atas sokongan dan komitmen yang tinggi sehingga akhirnya dokumen Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030 yang dinanti-nantikan ini dapat direalisasikan dengan jayanya.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Draf Rancangan Tempatan ini perlu dilaksanakan dengan penuh integriti, cekap, akauntabiliti dan telus agar pelaksanaan perancangan yang dibuat dapat menghasilkan persekitaran yang harmoni, berkualiti dan mampan untuk manfaat generasi pada hari ini dan pada masa hadapan.
Justeru, saya ingin menyeru kepada semua pihak khususnya kepada agensi-agensi pelaksana yang berkaitan agar tidak melihat dokumen ini untuk mengawal pembangunan semata-mata, sebaliknya ianya merupakan dokumen perundangan yang perlu dijadikan medium untuk menarik pelaburan bagi pemajuan sesuatu kawasan di samping bagi mengurus pembangunan yang lebih tersusun efektif dan efisien dalam memenuhi keperluan serta kehendak masyarakat sebagai penerima manfaat utama.
Agensi-agensi pelaksana juga seharusnya memainkan peranan yang proaktif dan progresif dalam menjadikan dokumen Rancangan Tempatan ini sebagai satu asas pertimbangan dan kelulusan.
Selaras dengan perkembangan dan perubahan teknologi serta cabaran globalisasi masa kini yang turut mendorong kepada pertumbuhan ekonomi, matlamat dan fokus utama Kerajaan Negeri juga sudah tentunya tertumpu kepada persekitaran yang berkualiti, berdaya huni dan berdaya tahan, selari dengan Visi Penang2030 - Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara sebagai pelengkap kepada keseimbangan keseluruhan pembangunan di Negeri Pulau Pinang ini.
Dengan kata-kata itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030.
Sekian, terima kasih.