KEJOHANAN PING PONG ANTARA SEKOLAH PIALA KETUA MENTERI PULAU PINANG 2022
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA KEJOHANAN PING PONG ANTARA SEKOLAH PIALA KETUA MENTERI PULAU PINANG 2022
22 OKTOBER 2022
Yang Berhormat Tuan Soon Lip Chee
Ahli EXCO Belia Dan Sukan Negeri Pulau Pinang
Yang Berhormat Tuan Daniel Gooi
ADUN Pengkalan Kota
Yang Berbahagia Dato’ Michael Tiah
Presiden Persatuan Ping Pong Pulau Pinang
Dato IR Ang Aing Thye
Timbalan Presiden Persatuan Ping Pong Pulau Pinang
En Lau Keng Ee
Penasihat Jawatankuasa Penganjur
Dato Loh Nam Hooi
Naib Presiden Persatuan Ping Pong Pulau Pinang
Semua ahli jawatankuasa Persatuan Ping Pong Pulau Pinang
Guru-guru, jurulatih-jurulatih dan peserta peserta
Rakan-rakan media
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur yang telah memastikan acara yang dinanti-nantikan ini iaitu Kejohanan Ping Pong Antara Sekolah Piala Ketua Menteri Pulau Pinang 2022 akhirnya dapat diadakan dengan jayanya pada pagi yang berbahagia ini.
Kejohanan ini sepatutnya telah diadakan pada tahun 2020 tetapi pada masa tersebut, kita semua perlu akur untuk menangguhkannya berikutan keadaan semasa ketika itu begitu runcing akibat pandemik COVID-19.
Saya dimaklumkan bahawa acara yang akan berlangsung selama dua (2) hari ini akan disertai oleh 470 pemain yang terdiri daripada 192 pasukan bagi mewakili 69 buah sekolah rendah dan menengah seluruh Pulau Pinang.
Sesungguhnya, jumlah penyertaan ini amat memberangsangkan, berbanding hanya 347 pemain yang terdiri daripada 147 pasukan bagi mewakili 50 buah sekolah sahaja pada tahun 2019 apabila kejohanan ini diadakan buat julung kalinya.
Adalah diharapkan melalui kejohanan yang berlangsung ini, ia dapat membuka peluang kepada para peserta untuk menyemarakkan semangat kesukanan dan menyerlahkan bakat masing-masing, sekaligus menjadi platform untuk Pulau Pinang melahirkan bakat-bakat baru bertaraf antarabangsa dalam arena sukan ping pong.
Saya dimaklumkan bahawa penilaian akan dibuat oleh barisan juri untuk mencari pemain yang berbakat dan berkualiti tinggi untuk dipilih menjadi pemain negeri dan negara kelak. Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua peserta untuk menggunakan peluang ini dengan sebaik-baiknya. Semoga anda semua berjaya!
Hadirin yang dihormati sekalian,
Tanpa kita sedari, sukan sejak sekian lama telah menjadi ejen perpaduan paling berjaya dalam menyatukan rakyat sesuatu negara termasuklah di Malaysia dan Pulau Pinang secara khususnya.
Justeru, pelbagai inisiatif khas telah diambil oleh Kerajaan Negeri melalui kerjasama dan kolaborasi strategik dengan pelbagai pihak bagi mempertingkatkan kemudahan dan infrastruktur sukan di negeri ini, termasuklah RM1.6 juta yang telah diperuntukkan pada tahun ini untuk pembangunan baharu, naik taraf dan pengubahsuaian kemudahan-kemudahan sukan di seluruh negeri Pulau Pinang.
Malah, Stadium Mini Bola Sepak Permatang Rawa dengan kos RM3.5 juta juga telah disiapkan manakala Nibong Tebal Arena dengan anggaran kos RM8.8 juta juga dalam proses pembinaan dengan kemudahan sembilan (9) gelanggang badminton dan lain-lain.
Dengan usaha-usaha berterusan ini, saya berharap pembangunan sukan di negeri ini berada atas landasan yang tepat, selaras dengan hasrat dan matlamat Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacita merasmikan Kejohanan Pingpong Antara Sekolah Piala Ketua Menteri Pulau Pinang 2022 dan turut mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada PTTA untuk mempromosikan sukan ping pong di Pulau Pinang!
Sekian, terima kasih.