MAJLIS PEMBUKAAN KONVENSYEN CENTRAL MUSLIM SOCIETY 1.0
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW BERSEMPENA MAJLIS PEMBUKAAN KONVENSYEN CENTRAL MUSLIM SOCIETY 1.0
30 OKTOBER 2022, AHAD ; 1 PETANG ;
DEWAN KULIAH A, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA
—————————————————————
Terima kasih kepada Tuan Pengerusi Majlis;
Yang Berusaha Haji Mohd. Hassan bin Othuman
Pengerusi Central Muslim Society (CMS)
Yang Berbahagia Tuan Abdul Said bin Hussain
Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (Sektor Pengurusan Sekolah)
Yang dihormati Encik Rosli Md. Noor
Persuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang
Presiden-presiden persatuan gabungan CMS; barisan ahli jawatankuasa; hadirin dan hadirat serta barisan media yang dihormati sekalian,
Selamat petang dan Salam LovePENANG.
Syukur pada petang yang berbahagia ini, saya dapat berada di sini bersama-sama Tuan-tuan dan Puan-puan untuk meraikan penganjuran Konvesyen Central Muslim Society (CMS) 1.0.
Saya difahamkan bahawa penganjuran ini adalah selaras dengan Visi Penang2030 yang digagaskan demi menempatkan Pulau Pinang sebagai Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara khususnya dalam pembangunan Syiar Islam di negeri ini.
Keunikan konvensyen ini adalah penekanan kepada pembangunan CMS yang berfokuskan kepada tiga (3) segmen iaitu pendidikan, usahawan dan warisan yang mana ia merupakan tonggak utama dalam pembangunan masyarakat di negeri ini secara menyeluruh.
Malah, bagi Kerajaan Negeri, tiga (3) segmen tersebut turut dititikberatkan khususnya dalam membangunkan sahsiah umah Islam di Pulau Pinang. Serentak itu, Kerajaan Negeri juga telah merealisasikan inisiatif penubuhan Penang Islamic Digital Library (PIDL) dan Al-Hady Centre (AHC) yang pertama di negeri ini sebagai platform terbaik bagi menyalurkan ilmu serta maklumat dalam pelbagai bidang terutamanya Sains Islam kepada seluruh masyarakat di sini.
Umumnya, satu perancangan yang strategik juga telah dilaksanakan oleh CMS dalam menjayakan penganjuran konvensyen ini. Saya dimaklumkan bahawa pihak persatuan telah mengadakan pra-konvensyen bertujuan menjana idea-idea daripada para intelektual etnik Kadayanallur Tenkasi Muslim serta pengerusi gabungan dan barisan ahli jawatankuasa CMS demi memantapkan lagi isi kandungan sedia ada.
Saudara dan Saudari sekalian,
Pada aspek pendidikan, Community Digital Academy (CDA) di bawah CMS lazimnya telah berjaya menjalankan banyak program berkaitan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) untuk pelajar-pelajar sekolah rendah, menengah dan guru-guru sekolah. Syabas dan tahniah diucapkan kerana penganjuran-penganjuran berkaitan secara tidak langsung telah memperoleh pengiktirafan daripada STEM Penang dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang sendiri. Malah, pada masa sama, ia juga telah menyediakan platform kepada golongan muda untuk bergiat aktif dalam aktiviti bercorak STEM pada peringkat komuniti.
Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kita telah membelanjakan sebanyak RM3.096 juta melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) bagi pelaksanaan projek pembinaan semula sekolah Agama Rakyat (SAR) Bertam Putra dekat Kepala Batas sebagai komitmen dalam menambah baik institusi pendidikan Islam di negeri ini.
Malah, peruntukan bagi pembangunan syiar Islam di negeri Pulau Pinang turut meningkat kepada RM71.13 juta bagi tahun 2022 di samping RM350,000 turut diperuntukan bagi menjayakan program Gagasan Khaira Ummah 2030 iaitu agenda yang dirangka untuk menyediakan generasi masa depan umat Islam Pulau Pinang dalam tempoh sedekad sehingga tahun 2030, yang selari dengan agenda Visi Penang2030.
Tidak terhenti di situ sahaja, setelah saya mengikut sendiri perkembangan CDA dan pencapaian CDA dalam Projek STEM di peringkat komuniti, kita memutuskan untuk terus memberikan dorongan dan sokongan kepada CMS-CDA. Justeru, saya telah meluluskan peruntukan berjumlah RM40,000 untuk mewujudkan Resource Centre CDA di premis milik persatuan. Taniah, yang mana usaha ini membuktikan bahawa CDA terus komited membantu komuniti setempat demi melonjakkan pencapaian pelajar dalam pendidikan khususnya projek-projek STEM!
Hadirin sekalian,
Sebelum mengakhiri ucapan saya pada hari ini, sekali lagi, ucapan tahniah kepada CMS yang berjaya menerbitkan buku bergambar legasi etnik Kadayanallur Tenkasi Muslim dengan keunikan sejarah panjang kira-kira 200 tahun. Adalah diharapkan penerbitan ini akan menjadi panduan kepada golongan muda khususnya berhubung akar umbi dan asal usul masing-masing.
Dengan ini, saya berharap konvensyen ini bakal mencapai objektif penganjurannya, dan diteruskan demi mencapai hala tuju CMS2030 kelak.
Sekian, terima kasih.