UCAPAN BAJET TAHUN 2023 NEGERI PULAU PINANG

 

 

UCAPAN BAJET TAHUN 2023

NEGERI PULAU PINANG

 

oleh

 

YAB CHOW KON YEOW

KETUA MENTERI PULAU PINANG

 

KETIKA MEMBENTANGKAN

RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN

DAN USUL ANGGARAN PEMBANGUNAN 2023

DI DEWAN UNDANGAN NEGERI

PADA 21 NOVEMBER 2022

 

TEMA :

PEMBANGUNAN MAMPAN MENSEJAHTERAKAN RAKYAT

 

YB Dato’ Yang di-Pertua,

Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang yang bertajuk “Suatu enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2023 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua sekarang.

MUKADIMAH

    1. Saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Tuhan kerana masih diberikan peluang untuk membentangkan Belanjawan Negeri Pulau Pinang kepada Dewan yang mulia ini. Pembentangan kali ini merupakan bajet kelima saya semenjak memegang amanah selaku Ketua Menteri Pulau Pinang pada tahun 2018.
    1. Kerajaan Negeri akan terus mengemudi negeri melalui perancangan serta pelaksanaan yang rapi untuk mencapai Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Kerajaan Negeri akan terus mengambil tindakan bagi memulihkan sektor ekonomi agar pembangunan negeri dapat bergerak dengan pantas dan bertambah rancak.

    KEDUDUKAN SEMASA EKONOMI NEGERI PULAU PINANG

    1. Pada tahun 2021, ekonomi Pulau Pinang telah mencapai kadar pertumbuhan tertinggi dalam kalangan negeri-negeri di Malaysia, iaitu pada kadar 6.8 peratus, dengan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara meningkat kepada 7.1 peratus. Kadar ini lebih tinggi daripada tahap prapandemik 6.6 peratus pada tahun 2019. Pertumbuhan ini disokong terutamanya oleh pertumbuhan kukuh dalam sektor pembuatan dan pembinaan masing-masing pada kadar 12.4 peratus dan 12.9 peratus.
    1. Keluaran pembuatan (manufacturing output) berkembang dengan ketara kepada 47.3 peratus pada 2021 daripada 42.8 peratus pada tahun 2019. Sektor pembuatan merupakan sektor yang penting dengan produk elektrik & elektronik (E&E) yang membentuk 33.6 peratus daripada KDNK Pulau Pinang dan ia merupakan penyumbang terbesar KDNK negeri. Sebagai negeri pembuatan kedua terbesar dalam negara, iklim pelaburan di Pulau Pinang kekal teguh. Asas perindustrian yang kukuh adalah faktor penarik bagi aliran masuk pelaburan yang berterusan. Prestasi tahun 2021 telah menunjukkan rekod baharu dalam pelaburan modal pembuatan yang telah diluluskan, yang turut disokong oleh konflik perdagangan Amerika Syarikat - China dan nilai mata wang ringgit yang lemah. Bagi separuh tahun pertama tahun 2022, Pulau Pinang mencatatkan RM7.85 bilion pelaburan modal pembuatan berbanding RM1.94 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2021.
    1. Sektor perkhidmatan menyusut kepada 47.4 peratus pada 2021 berbanding 51.4 peratus pada tahun 2019, dengan perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan menguncup sebanyak 1.7 peratus pada 2021. Walau bagaimanapun, sektor ini diramalkan pulih dengan mendadak pada tahun 2023, diperkukuh oleh pertumbuhan pesat aktiviti pelancongan dalam tempoh enam (6) bulan yang lalu. Di peringkat nasional, jualan perdagangan pengedaran mencatatkan pertumbuhan kukuh (+26.3 peratus pada suku tahun kedua 2022) manakala perbelanjaan runcit, perdagangan borong dan jualan kenderaan bermotor merekodkan kadar pertumbuhan dua (2) digit. Pemulihan ini bukan sahaja disumbangkan oleh pelancong domestik tetapi juga pelawat antarabangsa, khususnya dari Singapura dan Indonesia. Pada suku tahun kedua 2022, Pulau Pinang merekodkan dua (2) kali ganda penumpang yang dikendalikan oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang berbanding suku pertama tahun 2022.
    1. Sektor pembinaan terus berkembang pesat dengan didorong oleh pembinaan bangunan kediaman dan bukan kediaman, merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi Pulau Pinang. Subsektor ini membentuk 78.3 peratus daripada jumlah nilai kerja yang dilakukan di Pulau Pinang setakat suku tahun kedua 2022, diikuti oleh aktiviti kejuruteraan awam dan perdagangan khas.
    1. Sementara itu, keluaran daripada sektor pertanian mengalami sedikit penyusutan sebanyak 2.4 peratus pada tahun 2021 disebabkan oleh pengeluaran yang lebih rendah kerana kekurangan buruh dan kenaikan kos input lain. Walau bagaimanapun, Pulau Pinang terus mengekalkan purata hasil padi tertinggi di negara ini. Pulau Pinang mempunyai pengeluaran akuakultur ketiga terbesar selepas Sabah dan Perak dan terus menduduki tempat kedua terbesar dalam jumlah nilai borong selepas Perak, menunjukkan bahawa Pulau Pinang terus mengeluarkan produk akuakultur bernilai tinggi.
    1. Dari segi perdagangan antarabangsa, Pulau Pinang terus menjadi penyumbang terpenting kepada perdagangan Malaysia. Kedua-dua eksport dan import meningkat pada kadar dua (2) digit pada separuh pertama tahun 2022.
    1. Negeri Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 33.2 peratus daripada nilai eksport negara setakat September 2022. Momentum pertumbuhan import yang berterusan berkemungkinan dirangsang oleh kesan nilai mata wang ringgit yang semakin lemah. Import ini sebahagian besarnya adalah barangan perantaraan yang diperlukan untuk menyokong industri berorientasikan eksport. Di samping itu, nisbah perdagangan kepada KDNK Pulau Pinang berkembang, menunjukkan keterbukaan negeri kepada perdagangan antarabangsa dan mendapat manfaat daripada ketegangan perdagangan Amerika Syarikat - China. Dari segi produk, jentera dan kelengkapan pengangkutan adalah antara produk pengeksport teratas. Ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh industri sederhana dan berteknologi tinggi seperti automasi, aeroangkasa dan perkhidmatan pembuatan elektronik.
    1. Sekiranya dibuat perbandingan antara tempoh pra dan pasca pandemik COVID-19, KDNK per kapita Pulau Pinang meningkat sebanyak 6 peratus pada 2021 daripada RM55,202.00 pada tahun 2019 kepada RM58,527.00 pada tahun 2021, manakala di peringkat nasional, KDNK per kapita berkembang pada kadar yang lebih rendah iaitu 1.7 peratus, meningkat daripada RM46,513.00 pada tahun 2019 kepada RM47,324.00 pada tahun 2021.
    1. Umum mengetahui bahawa inflasi telah meningkat. Gangguan rantaian bekalan global yang diburukkan lagi oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine adalah penyumbang kepada situasi ini. Selain itu, pelaksanaan dasar domestik seperti kenaikan gaji minimum dan pengurangan buruh asing juga telah menyumbang kepada kenaikan harga barang kerana kadar pengeluaran yang lebih rendah yang disebabkan oleh kos pengeluaran lebih tinggi serta kekurangan bekalan.

    STRATEGI KERAJAAN NEGERI

    YB Dato’ Yang di-Pertua,

    1. Bajet Tahun 2023 telah dirangka supaya agenda pembangunan negeri dapat diteruskan dan kesejahteraan rakyat terus ditingkatkan selaras dengan Visi Penang2030. Saya yakin Visi Penang2030 akan menjadi teras pentadbiran negeri ini dalam melaksanakan semua dasar dan program yang telah dijanjikan. Selaras dengan visi tersebut juga, Bajet 2023 adalah bertemakan “Pembangunan Mampan Mensejahterakan Rakyat”. Tema ini akan terus memberi penekanan kepada empat (4) teras utama Visi Penang2030 iaitu:

    Pertama

    :

    Meningkatkan daya huni bagi menambah baik kualiti kehidupan

    Kedua

    :

    Menaik taraf ekonomi bagi meningkatkan pendapatan isi rumah

    Ketiga

    :

    Memperkasakan rakyat bagi meningkatkan penyertaan masyarakat

    Keempat

    :

    Melabur dalam persekitaran fizikal bagi meningkatkan daya tahan

    1. Perpecahan geopolitik antara pemain ekonomi gergasi adalah mungkin menjadi penyebab kepada gangguan rantaian bekalan global. Negeri Pulau Pinang merupakan peneraju dalam aktiviti perdagangan di Malaysia. Walau bagaimanapun, harga bahan mentah yang diimport semakin meningkat disebabkan oleh kelemahan ringgit yang mana akan memberi kesan negatif kepada pengeluaran pembuatan walaupun pertumbuhan eksport yang lebih besar.
    1. Sektor pertanian dan perkilangan menyaksikan beberapa pengagihan semula keluaran berikutan masalah ekonomi global. Manakala pelancongan domestik, pelancongan kesihatan, hotel dan perkhidmatan pelancongan sedang memperoleh semula momentum pertumbuhan. Justeru, di dalam fasa endemik kini, Kerajaan Negeri mengetengahkan strategi untuk mentransformasi segala aktiviti pertanian dan pembuatan melalui automasi sebagai kaedah menggantikan pekerja asing serta meningkatkan kecekapan dan produktiviti yang amat diperlukan dan kian mendesak pada ketika ini mahupun pada masa hadapan.
    1. Melangkah ke hadapan, Kerajaan Negeri juga turut menyenaraikan strategi melibatkan elemen inovasi, reka bentuk dan penyelidikan yang mana ia merupakan aktiviti nilai tambah tinggi dalam pembangunan negara. Manakala bagi krisis bakat pula, pelaksanaan dasar pekerjaan yang lebih fleksibel untuk mengambil bakat dari negara luar atau bakat asing yang sudah berada di dalam negara boleh membantu mengisi jurang dengan lebih segera.
    1. Kejayaan sebahagian pembangunan dan pemulihan ekonomi yang dicapai sehingga kini adalah hasil usaha bersama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan yang sentiasa berganding bahu demi memastikan pelaksanaan projek atau program yang memberikan manfaat kepada rakyat. Penyediaan peruntukan kepada inisiatif berimpak tinggi juga merupakan salah satu strategi dalam merangsang pertumbuhan ekonomi. Misalnya, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) telah menyalurkan peruntukan sejumlah RM10.0 juta bagi tahun 2022 untuk pelaksanaan projek berskala kecil di bawah Skim Inisiatif Pencegahan Hakisan Sungai dan Banjir, Sumber Makanan dan Pelancongan. Sehingga kini, sejumlah 39 projek pencegahan banjir berskala kecil dan satu (1) projek Pusat Kecemerlangan Pertanian telah dikenal pasti untuk pelaksanaan menggunakan peruntukan tersebut. Di kesempatan ini, saya mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas kerjasama yang telah diberikan dan diharapkan agar hubungan ini dapat dieratkan lagi bagi kesejahteraan rakyat.

    PERDAGANGAN, INDUSTRI DAN PEMBANGUNAN USAHAWAN

    YB Dato’ Yang di-Pertua,

    1. Pulau Pinang berjaya mencatatkan pelaburan pembuatan yang diluluskan berjumlah RM7.9 bilion dalam tempoh enam (6) bulan pada tahun 2022. Nilai pelaburan ini diperoleh daripada 61 buah projek yang dicatatkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan dianggarkan akan mewujudkan sebanyak 10,227 peluang pekerjaan baharu. Pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang RM4.9 bilion atau 62 peratus manakala pelaburan langsung domestik (DDI) berjumlah RM3.0 bilion atau 38 peratus pelaburan pembuatan yang diluluskan pada tempoh tersebut.
    1. Pelaburan sektor pembuatan di Pulau Pinang mencapai paras tertinggi iaitu sebanyak RM76.2 bilion pada tahun 2021 dan sebanyak RM7.8 bilion pada separuh pertama tahun 2022. Bagi memastikan kesemua projek pelaburan yang diumumkan ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur, InvestPenang menawarkan perkhidmatan “hand holding” di mana para pelabur baharu yang ingin beroperasi di Pulau Pinang akan diberi sokongan dan fasilitasi sepenuhnya untuk memudahkan mereka menubuhkan syarikat perniagaan, mendapatkan lesen-lesen yang berkaitan, membina atau menyewa bangunan kilang baharu bagi memulakan operasi pengilangan. Ini adalah untuk memastikan kesenangan menjalankan perniagaan (ease of doing business) di Pulau Pinang kekal tinggi berbanding dengan pesaing-pesaing yang lain seperti Singapura, Vietnam, Thailand, Indonesia dan sebagainya.
    1. Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) terus menjadi penggerak utama untuk Kerajaan Negeri sebagai pemaju kawasan perindustrian. Sehingga kini, terdapat sembilan (9) taman perindustrian telah siap dibina melibatkan keluasan 6,124.7 ekar di negeri Pulau Pinang. Tujuh (7) daripada sembilan (9) taman perindustrian telah dibangunkan oleh PDC manakala dua (2) taman perindustrian dibangunkan oleh Kerajaan Negeri iaitu Taman Perindustrian Perai dan Mak Mandin. Kerajaan Negeri telah menyerahkan pengurusan taman perindustrian tersebut kepada PDC.
    1. Tanggungjawab PDC dalam pembangunan taman perindustrian adalah untuk melaksanakan pembinaan infrastruktur seperti jalan raya, sistem perparitan dan kemudahan-kemudahan utiliti yang lain. Kini, PDC giat dalam mengembangkan pembangunan taman perindustrian baharu di Pulau Pinang memandangkan Taman Perindustrian Batu Kawan (BKIP) dan Taman Perindustrian Penang Science Park North (PSPN) mempunyai permintaan yang agak tinggi daripada pelabur asing dan pelabur tempatan. Antara kawasan perindustrian yang baru dikenal pasti adalah Penang Science Park South dengan keluasan 120 ekar, Batu Kawan Industrial Park 3 dengan keluasan 420 ekar dan Bandar Cassia Technology Park dengan keluasan 253 ekar.
    1. Bagi menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi utama pilihan pelabur, PDC memastikan hanya syarikat yang terpilih dan sesuai dengan zon dan sektor industri yang dicadangkan sahaja ditawarkan tanah industri. Walaupun terdapat tanah industri PDC yang sedia untuk penjualan, PDC tidak sewenang-wenangnya mengemukakan tawaran kepada syarikat yang memohon. Ini bagi memastikan perancangan kawasan perindustrian PDC adalah mengikut pelan yang dirancang agar tidak menjejaskan ekosistem taman perindustrian PDC. Antara sektor yang dipromosikan adalah seperti elektronik dan elektrik (E&E), peranti perubatan, kejuruteraan dan aeroangkasa. Sehingga bulan Jun 2022, sektor elektronik dan elektrik Pulau Pinang mencatatkan eksport tertinggi bagi barangan E&E iaitu sebanyak RM32.7 bilion. Selain itu, produk E&E serta peranti perubatan merangkumi kira-kira 80 peratus daripada jumlah eksport Pulau Pinang pada tahun 2021.
    1. Bagi teras strategik utama iaitu mewujudkan pertumbuhan kawasan pembangunan baharu, PDC giat mempromosikan dan membangunkan bandar ketiga iaitu Bandar Cassia yang direncanakan sebagai bandar perubatan berteknologi tinggi yang menjadi titik tumpuan perkhidmatan perubatan, bukan sahaja bagi negeri Pulau Pinang malah juga di Asia Tenggara. Kawasan ini akan dibangunkan dengan konsep tersendiri iaitu mengintegrasikan komponen hab perubatan seperti hospital pakar, rumah persaraan, pusat rehabilitasi, kolej perubatan, pembangunan dan penyelidikan (R&D) dan sebagainya.
    1. Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama dan sinergi dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Talent Corp. Melalui InvestPenang, sesi libat urus dengan agensi-agensi tersebut telah pun diadakan bagi meningkatkan lagi usaha sama mempromosi pelaburan dan pembangunan sumber manusia untuk negeri Pulau Pinang. Ini termasuk perkongsian sumber-sumber dan perkongsian maklumat perisikan mengenai bakal pelabur yang disasarkan serta kemudahan pascapelaburan (post-investment facilitation). Hal ini mampu menjadikan Pulau Pinang sebagai magnet untuk menarik bakat dari negeri mahupun negara lain untuk bertapak di negeri ini. Kerjasama yang lebih erat dapat meningkatkan kemudahan dalam menjalankan perniagaan di Pulau Pinang.
    1. Misi-misi mempromosikan pelaburan ke luar negara akan diteruskan pada tahun 2023. Misi-misi ini adalah penting untuk memastikan negeri Pulau Pinang sentiasa aktif serta kekal dinamik dalam aktiviti pelaburan dan mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan pelabur-pelabur.
    1. Industri dan ekosistem yang kukuh adalah antara faktor utama yang menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) ke Pulau Pinang. Kini, semakin banyak syarikat pengilangan yang membuat komitmen untuk mengamalkan “Environment, Social & Governance (ESG)” dalam sistem tadbir urus dan pengoperasian kilang mereka di Pulau Pinang. Semakin banyak pemain industri di Pulau Pinang telah memperoleh atau sedang berusaha untuk memperoleh akreditasi antarabangsa seperti “Leadership in Energy & Environmental Design (LEED), Responsible Business Alliance (RBA) dan Green Building Index (GBI)”. Usaha ini menunjukkan kewarganegaraan korporat yang cemerlang dalam kalangan pemain industri Pulau Pinang dan komitmen jangka masa panjang mereka dalam menyumbang kepada kesejahteraan “ESG” negeri dan masa depan yang mampan.

    Ekonomi Digital

    1. Selain daripada memberi tumpuan kepada sektor perkhidmatan perkongsian dan sumber luaran, “Research & Development” (R&D) serta “Embedded Software”, Pulau Pinang juga komited dalam menerajui industri ekonomi digital sebagai pemacu baharu ekonomi negeri. Antaranya ialah memberi tumpuan kepada teknologi generasi baharu seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), “big data”, Internet of Things (IoT), “Integrated Circuit (IC) Design” dan sebagainya. Industri ekonomi digital termasuklah pelaburan melibatkan perkhidmatan perkongsian dan sumber luaran dengan pelaburan baharu dan sedia ada daripada syarikat-syarikat seperti AMD Global Services, Clarivate, Citigroup, Jabil, Teleperformance, Synapse, Starfive, UST Global dan banyak lagi yang dianggarkan telah mewujudkan lebih 16,000 pekerjaan bernilai tinggi di negeri Pulau Pinang setakat ini. Digital Penang salah satu anak syarikat Kerajaan Negeri yang ditubuhkan pada tahun 2020 akan diperuntukkan geran berjumlah RM4.50 juta pada tahun 2023 untuk memacu pendigitalan Kerajaan Negeri.

    Keusahawanan

    1. Kerajaan Negeri telah melancarkan slogan atau tagline “Keusahawanan Satu Budaya” di mana program keusahawanan telah dilaksanakan mulai Julai 2022 dan akan diteruskan sehingga Jun 2023. Penglibatan para usahawan bagi program sepanjang tahun ini sekali gus telah mencapai kemajuan serta memperkasakan objektif kempen keusahawanan satu budaya iaitu membudayakan usahawan dan secara langsung menaik taraf ekonomi negeri. Peruntukan yang disediakan di bawah Jawatankuasa MMK Perdagangan, Industri dan Pembangunan Keusahawanan adalah sebanyak RM1.66 juta bagi tahun 2023.

    Bidang Halal

    YB Dato’ Yang di-Pertua,

    1. Menurut laporan “State of the Global Islamic Economy 2022” berdasarkan Petunjuk Ekonomi Islam Global, Malaysia mengekalkan kedudukan perolehan produk halal tertinggi berbanding 81 buah negara lain. Kerajaan Negeri melalui Penang Halal International (PHI) memfokuskan kepada visi “Harnessing Halal Synergies” dengan mengadaptasikan perkembangan digital dan inovasi baharu untuk memacu kitaran pertumbuhan industri halal dalam pelbagai sektor. Strategi PHI terbahagi kepada dua (2). Pertama, memfokuskan kepada perkembangan perniagaan tempatan yang berorientasikan eksport. Kedua, memfokuskan kepada pembangunan rakan kongsi niaga bersama agensi-agensi yang membangunkan industri ekosistem halal antarabangsa dan pada masa yang sama mempromosikan Pulau Pinang sebagai pusat kegiatan halal rantaian bekalan dan rantaian nilai. Geran berjumlah RM1.50 juta akan disediakan untuk PHI dalam Bajet 2023 untuk menerajui perkara ini.
    1. Penang International Halal Expo & Conference (PIHEC) merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Bertemakan “Building Resilience and Sustainability Towards Stronger Growth”, PIHEC 2022 yang telah diadakan pada 1 hingga 3 Julai 2022 yang lalu menyaksikan penyertaan daripada syarikat tempatan dan antarabangsa dari Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Filipina yang memenuhi 171 reruai pameran. Acara ini juga turut menarik 15,000 pengunjung dari 19 negara iaitu Malaysia, Australia, Pakistan, Afrika Selatan, Sepanyol, Emiriah Arab Bersatu, Belarus, Brunei, Kemboja, Perancis, Indonesia, Itali, Laos, Malawi, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Thailand dan United Kingdom (UK).
    1. Pulau Pinang juga telah menjadi tuan rumah bagi penganjuran Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) yang telah diadakan pada 27 September 2022. Bertemakan “Economic Rebound: Transforming The Future”, forum yang dianjurkan oleh Yayasan WIEF ini telah disertai oleh 329 perwakilan dari 14 negara iaitu Malaysia, Australia, Bangladesh, China, Indonesia, Namibia, Nigeria, Qatar, Rusia, Singapura, Tajikistan, United State, Emiriah Arab Bersatu dan Jepun. Penganjuran acara ini diharapkan dapat menjadi platform bagi menggerakkan semula ekonomi serantau yang terjejas akibat pandemik COVID- 19.

      

    PEMBANGUNAN TANAH

    Pemberian Diskaun Premium Bagi Permohonan Pelanjutan Tempoh Pajakan dan Permohonan Pemberimilikan Disebabkan Tempoh Pajakan Telah Tamat

    1. Kerajaan Negeri dengan sukacitanya ingin memaklumkan pemberian diskaun premium bagi pelanjutan tempoh pegangan pajakan atau ‘leasehold’ dan juga pemberimilikan disebabkan tempoh pegangan pajakan telah tamat.
    1. Sepertimana umum sedia maklum, penentuan premium tanah di Pulau Pinang adalah mengikut nilai pasaran tanah semasa. Walau bagaimanapun, bagi pelanjutan tempoh pegangan hakmilik pajakan, Kerajaan Negeri telah bersetuju dengan pemberian diskaun premium dari serendah 50 peratus sehingga 90 peratus yang dinilai atas nilaian tanah semasa sahaja tanpa mengambil kira struktur yang berada di atas tanah.
    1. Kadar diskaun premium ini adalah khusus kepada pemilik-pemilik tanah yang ingin melanjutkan tempoh pegangan pajakan tanah mereka. Ia termasuk kepada bekas pemilik-pemilik tanah atau waris mereka yang mana tempoh pegangan pajakan tanah mereka telah tamat. Pemberian diskaun premium ini merangkumi semua kategori kegunaan tanah iaitu pertanian, bangunan dan perindustrian.
    1. Pemilik-pemilik individu tanah pertanian dan kediaman merupakan kelompok yang bakal menikmati diskaun paling tinggi iaitu sebanyak 90 peratus. Manakala pemilik tanah perniagaan layak menikmati pengurangan premium sebanyak 80 peratus. Pemilik-pemilik tanah perindustrian turut layak menikmati diskaun sebanyak 50 peratus dan 75 peratus mengikut kriteria yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.
    1. Pemberian diskaun atau pengurangan premium ini adalah tertakluk kepada beberapa syarat yang akan diperincikan dalam Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang. Antaranya adalah pengenaan moratorium pindah milik selama sepuluh (10) tahun dari tarikh pendaftaran hakmilik. Sekiranya pemilik tanah ingin menjual tanahnya dalam tempoh sepuluh (10) tahun ini, pemilik tanah akan dikenakan bayaran premium sebanyak 100 peratus tertakluk kepada diskaun premium yang telah dibayar sebelum ini.
    1. Pengenaan syarat-syarat seumpama ini adalah bagi mengekang spekulasi tanah dan bagi mengelak pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan atas pemberian diskaun oleh Kerajaan Negeri.
    1. Inisiatif Kerajaan Negeri ini merupakan satu kajian yang telah berlangsung selama hampir dua (2) tahun kerana pemberian diskaun ini secara logiknya akan memberi implikasi kepada kewangan Kerajaan Negeri, ditambah dengan pelbagai bantuan dan insentif yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada rakyat Pulau Pinang yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
    1. Walau bagaimanapun, atas pertimbangan faktor sosial dan kepentingan umum, Kerajaan Negeri telah mengambil keputusan ini demi kebajikan rakyat Pulau Pinang yang layak.
    1. Kerajaan Negeri berharap pemberian diskaun premium ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh pemilik-pemilik tanah ‘leasehold’ di Pulau Pinang selain meredakan keresahan pemilik-pemilik tanah yang mana ada di antaranya telah pun tamat tempoh pajakan seperti di kawasan Bukit Bendera dan beberapa kawasan lain di seluruh negeri.
    1. Pemilik-pemilik tanah pegangan pajakan boleh merujuk kepada Pejabat Tanah Daerah di mana lokasi tanah berada berkaitan perkara ini bermula 2 Januari 2023.

    HAL EHWAL AGAMA ISLAM

    1. Kerajaan Negeri akan terus komited memartabatkan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan memperkasakan syiar Islam di negeri Pulau Pinang. Bagi meneruskan komitmen ini, Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM75.08 juta bagi memperkasakan pembangunan agama Islam di negeri Pulau Pinang. Peruntukan ini merangkumi pembangunan bagi tujuan pembinaan, pembaikan dan naik taraf masjid, surau dan sekolah agama, bayaran bantuan pendidikan untuk sekolah agama, bayaran guru KAFA dan pegawai masjid, peruntukan mengurus jabatan negeri berkaitan hal ehwal agama Islam, peruntukan bagi pelaksanaan program dan majlis agama serta lain-lain perbelanjaan berkaitan hal ehwal agama Islam.
    1. Saban tahun, pelbagai majlis rasmi agama Islam peringkat negeri Pulau Pinang telah dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) seperti Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran, Sambutan Maal Hijrah, Maulidur Rasul dan Festival Nasyid. Penganjuran majlis-majlis ini adalah amat penting bagi meraikan peristiwa-peristiwa penting dalam kalendar Islam di samping memilih calon-calon yang akan mewakili negeri Pulau Pinang ke peringkat kebangsaan.
    1. Bagi tahun 2023, Kerajaan Negeri Pulau Pinang berasa bertuah kerana telah dipilih untuk menjadi tuan rumah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2023. Sehubungan itu, demi menjayakan majlis tersebut, Kerajaan Negeri akan menyediakan bajet berjumlah RM3.52 juta pada tahun 2023 untuk memastikan majlis tersebut berjalan dengan lancar. Bajet ini adalah termasuk di dalam RM75.08 juta yang dimaklumkan tadi.
    1. Selain masjid-masjid yang sedang dalam pembinaan sekarang, turut dalam perancangan bagi tahun 2022 sehingga tahun 2025 adalah pembangunan tujuh (7) buah masjid iaitu Masjid Papan di Seberang Jaya, Masjid Sungai Lokan dan Masjid Sungai Dua Utama di Butterworth, Masjid Bandar Raya Seberang Perai di Bandar Cassia, Masjid Lama Sungai Bakap dan Masjid Lama Sungai Kechil di Nibong Tebal serta Masjid Bandar Putra Bertam di Bertam dengan jumlah pembiayaan oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM18.00 juta.
    1. Semoga dengan segala perancangan yang telah dan sedang dilaksanakan ini akan memberi impak yang baik untuk kesejahteraan kehidupan umat Islam di negeri Pulau Pinang.

    PEMERKASAAN KOMUNITI

    1. Sebagaimana Ahli-ahli Yang Berhormat sedia maklum, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) merupakan jentera pentadbiran Kerajaan Negeri yang paling hampir dengan masyarakat. Sebarang permasalahan atau keperluan projek di sesuatu Kawasan akan diterima oleh MPKK dan dimajukan kepada jabatan yang bertanggungjawab. Sehingga kini, sebanyak 375 MPKK telah diluluskan di seluruh negeri Pulau Pinang dengan implikasi kos berjumlah RM9.15 juta pada tahun 2022.
    1. Bagi mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh MPKK, Kerajaan Negeri telah meluluskan pembayaran elaun kepada Bendahari MPKK sebanyak RM300.00 sebulan dan kenaikan Elaun Kehadiran Mesyuarat daripada RM50.00 kepada RM100.00 sebulan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2022 yang lalu. Dengan mengambil kira kenaikan ini, sejumlah RM12.98 juta akan disediakan untuk MPKK pada tahun 2023.
    1. Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan Pusat Penang2030 di 15 KADUN setakat ini dan sembilan (9) buat pusat akan ditubuhkan tidak lama lagi. Pusat ini berkonsepkan ‘shared space’ di mana ianya boleh dimanfaatkan secara optimum bagi menjalankan aktiviti kemasyarakatan, pembangunan sosial dan pemerkasaan komuniti. Pusat ini juga merupakan platform untuk memperkasakan rakyat negeri Pulau Pinang dari segi literasi digital, media, sivik, etika, kesihatan dan kewangan serta kemahiran berkaitan. Pusat ini adalah dilengkapi dengan peranti pembelajaran digital seperti komputer, kemudahan jalur lebar dan lain-lain.

    PEMBANGUNAN SOSIAL DAN HAL EHWAL BUKAN ISLAM

    1. Suasana ekonomi masa kini membawa kesan mendalam kepada orang ramai, lebih-lebih lagi kepada golongan mudah terancam (vulnerable groups) termasuk ibu tunggal, wanita daripada kumpulan B40 dan warga emas. Bagi tahun 2023, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) akan terus memberi fokus dalam pelaksanaan “Dasar Keterangkuman Gender dan Dasar Keluarga Selamat” serta program-program pemerkasaan wanita dalam mengurangkan jurang gender. Mengikut data Jabatan Perangkaan Malaysia yang diterbitkan pada tahun 2021, kita telah mencapai kesamarataan dalam domain “Pencapaian Pendidikan dan Kesihatan”, tetapi indeks “Penglibatan dan Peluang Ekonomi dan Pemerkasaan Politik”, masing-masing adalah 0.738 dan 0.100. Itulah jurang-jurang yang akan dirapatkan oleh PWDC melalui program Sidang Wanita, Penang Women Enterpreneur Mentoring Program dan Wanita Jana Rezeki serta kempen-kempen Hari Wanita Sedunia, Penang Goes Orange dan Hari Keluarga. Bajet yang disediakan bagi PWDC untuk tahun 2023 adalah berjumlah RM2.50 juta.
    1. Sejajar dengan Dasar Keluarga Selamat, kini Pulau Pinang mempunyai seramai 234 Pegawai First Support Point di 53 lokasi, termasuk Pusat-pusat Khidmat Wakil Rakyat, Pejabat Daerah dan Tanah, Badan-badan Bukan Kerajaan dan rumah-rumah ibadat. Tiga (3) sesi bengkel juga telah diadakan untuk 102 peserta dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengenal pasti langkah-langkah pengendalian kes keganasan rumah tangga.
    1. Setakat September 2022, Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) di kesemua 40 KADUN telah berjaya melaksanakan sejumlah 459 projek yang berfokus kepada ekonomi, hal ehwal keluarga dan hak-hak kemanusiaan selaras dengan Visi Penang2030 di peringkat komuniti masing-masing. Dalam usaha menggalakkan lebih ramai wanita tampil ke hadapan sebagai sukarelawan, JPWK juga telah berjaya merekrut seramai 982 ahli Relanita. Relanita bukan sahaja akan membantu JPWK dalam melaksanakan projek masing-masing tetapi juga dapat bergerak sewaktu bencana alam. Bagi menghargai peranan JPWK, Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan berjumlah RM1.76 juta bagi tujuan bayaran elaun dan pelaksanaan program.
    1. Seterusnya, Penang Harmony Corporation (HARMONICO) selaku institusi yang baru ditubuhkan pada tahun 2021 dengan matlamat membina dan mempromosikan konsep keharmonian beragama akan disediakan bajet berjumlah RM1.30 juta pada tahun 2023 untuk melaksanakan peranannya.

    PEMBANGUNAN MODAL INSAN, PENDIDIKAN DAN SAINS & TEKNOLOGI

    1. Pengoperasian aktiviti perniagaan dan sosial pada kapasiti penuh telah membawa perubahan yang positif terhadap sektor pasaran tenaga kerja. Menurut statistik tenaga buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran negara kekal pada pola (trend) penurunan iaitu kadar pengangguran yang lebih rendah dicatatkan pada suku tahun pertama tahun 2022 iaitu pada 4.1 peratus berbanding 4.3 peratus pada suku tahun keempat tahun 2021. Pulau Pinang juga terus kekal merekodkan kadar pengangguran yang rendah iaitu pada kadar 3.3 peratus bagi suku tahun pertama tahun 2022.
    1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang meneruskan usaha dalam mengekalkan Pulau Pinang sebagai destinasi kerjaya pilihan rakyat Malaysia. Hal ini dapat dilihat melalui kempen “My Penang, My Workplace” yang bertujuan untuk menarik bakat-bakat dari seluruh negara mencari peluang pekerjaan di Pulau Pinang. Sehingga bulan September 2022, sebanyak tujuh (7) siri ceramah kerjaya telah dijalankan di Universiti Sains Malaysia (USM) Nibong Tebal dan juga kampus induk, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), AlBukhary International University, Politeknik Seberang Perai, Paris-Saclay University dan Taylor’s University untuk mempromosikan peluang-peluang pekerjaan di Pulau Pinang kepada bakal graduan. Selain itu, pengenalan mengenai “Penang Internship Subsidy Program” (PISP) kepada syarikat-syarikat tempatan bagi membuka peluang latihan industri dan seterusnya menarik bakat-bakat untuk mendapatkan pengalaman bekerja di tempat mereka juga telah dilaksanakan melalui InvestPenang. Sebagai permulaan, terdapat 13 syarikat telah dianugerahkan subsidi PISP dengan mensasarkan seramai 136 orang pelatih yang bakal direkrut. Kerajaan Negeri membajetkan RM1.00 juta bagi program ini pada tahun 2023.
    1. Selain itu, aspek peningkatan kemahiran pekerja turut menjadi tumpuan kerana permintaan pekerja mahir dan separuh mahir semakin hari semakin meningkat. Menurut laporan Malaysian Investment Development Authority (MIDA), sebanyak RM7.9 bilion telah diluluskan bagi tempoh Januari hingga Jun 2022 untuk sektor pembuatan di negeri Pulau Pinang. Justeru itu, dianggarkan sebanyak 10,227 peluang pekerjaan akan diwujudkan di Pulau Pinang secara berperingkat pada tahun-tahun yang akan datang. Maka, bagi memastikan pasaran tenaga kerja di Pulau Pinang kekal relevan dengan keperluan industri untuk masa hadapan, Kerajaan Negeri sentiasa mengorak langkah proaktif dalam perkara ini. Misalnya, seramai 2,072 peserta merangkumi pelajar sekolah rendah dan menengah telah dilatih dalam pelbagai topik di bawah bidang Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini oleh pusat-pusat STEM seperti Tech Dome Penang, Penang Science Cluster dan Penang Math Platform. Bagi meneruskan usaha ini pada tahun 2023, sejumlah RM850 ribu akan disediakan untuk Tech Dome Penang, RM680 ribu bagi Penang Science Cluster dan RM650 ribu bagi Penang STEM serta Penang Math Platform.
    1. Selain itu, Kerajaan Negeri kekal komited melahirkan modal insan yang holistik dan bertaraf antarabangsa. Justeru, Kerajaan Negeri melalui Penang Education Council (PEC) menganjurkan pelbagai program dan aktiviti pendidikan bukan sahaja memfokuskan kepada para pelajar tetapi juga kepada golongan ibu bapa. Program seperti “Penang International Mental Health Forum” yang dianjurkan oleh PEC adalah satu inisiatif bagi memberikan penekanan kepada kepentingan kesihatan mental terutamanya kepada ibu bapa supaya dapat membendung masalah kesihatan seperti kemurungan, anxiety dan kejadian yang tidak diingini seperti kes bunuh diri. Sebagai usaha menyokong program dan aktiviti seperti ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM325 ribu kepada PEC pada tahun 2023.
    1. Pembangunan sumber manusia telah menjadi tumpuan Kerajaan Negeri yang tidak dapat diabaikan. Pusat Bantuan Kerjaya dan Bakat Pulau Pinang (Penang Career Assistance and Talent Centre) atau lebih dikenali sebagai Penang CAT Centre terus memainkan peranannya untuk meningkatkan pertumbuhan sumber manusia.
    1. Penang CAT Centre juga terus memainkan peranannya sebagai Sekretariat kepada Program Biasiswa Penang Future Foundation (PFF). Program PFF ini adalah satu inisiatif yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri untuk menarik dan mengekalkan bakat di Pulau Pinang. Sejak tahun penubuhannya iaitu pada tahun 2014 sehingga Disember 2021, PFF telah mencatatkan seramai 655 pemegang biasiswa yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang melanjutkan pengajian dalam bidang “Science, Technology, Engineering, Mathematics and Accounting/Finance (STEMA)”. Manakala bagi tahun 2022, pengambilan pemegang biasiswa baharu masih dalam proses pemilihan dan dijangka akan dimuktamadkan pada suku tahun keempat 2022.
    1. Saban tahun Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan bagi Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Mubaligh, Sekolah Cina dan Sekolah Tamil. Bayaran bantuan Pendidikan ini akan diteruskan pada tahun 2023 dengan kos berjumlah RM13.50 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM500 ribu berbanding tahun 2022. Selain itu, bayaran bantuan kemasukan ke institusi-institusi pengajian tinggi iaitu RM1,000.00 untuk pelajar yang mendapat tawaran di IPT di Semenanjung Malaysia, RM1,200.00 untuk pelajar yang mendapat tawaran di IPT di Sabah dan Sarawak, serta RM300.00 untuk pelajar yang berjaya mendapat tawaran belajar di politeknik. Ini melibatkan peruntukan sebanyak RM4.00 juta pada tahun 2023.

    KERAJAAN TEMPATAN

    YB Dato’ Yang di-Pertua,

    1. Kerajaan Negeri kini dalam peringkat memuktamadkan draf akhir Garis Panduan Pengoperasian Tempat Inap Persendirian di Skim Hartanah Berstrata di Pulau Pinang bagi kawasan perumahan berstrata dan Undang-undang Kecil Tempat Inap Persendirian bagi kawasan bertanah (landed). Tujuan garis panduan dan undang-undang kecil ini diwujudkan adalah untuk menyediakan satu polisi dan dokumen punca kuasa untuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melesenkan dan mengawal pengoperasian tempat inap persendirian di seluruh negeri Pulau Pinang. Untuk makluman semua, kedua-dua garis panduan dan undang-undang kecil tersebut dijangka akan dikuatkuasakan di seluruh negeri Pulau Pinang pada tahun 2023.
    1. Objektif Kerajaan Negeri melalui pemakaian Reka Bentuk Sejagat (Universal Design), pelaksanaan Akta Orang Kurang Upaya 2008, Undang-Undang Kecil  34A  serta Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1991 telah mewajibkan semua bangunan yang berkaitan dengan orang awam untuk menyediakan akses dan kemudahan bagi orang kurang upaya dalam mencapai “Matlamat Pembangunan Lestari: Menjadikan bandar dan penempatan manusia yang inklusif, selamat, berdaya tahan dan lestari”. Dengan adanya garis panduan pematuhan senarai semak audit aksesibiliti berdasarkan Reka Bentuk Sejagat bagi pemajuan di negeri Pulau Pinang ini, ia diharap dapat membantu dan memudahkan semua pihak berkaitan dalam merancang, mereka bentuk, menyediakan, menyelaras serta seterusnya mengaudit kemudahan-kemudahan akses dan persekitaran bandar yang bercirikan Reka Bentuk Sejagat yang boleh diakses oleh semua golongan individu tanpa mengira peringkat umur, saiz dan keupayaan fizikal masing-masing.
    1. Sehingga kini, sebanyak 107 inisiatif pintar sedang diusahakan bagi mencapai matlamat menjadikan negeri Pulau Pinang sebagai salah satu negeri bertaraf antarabangsa. Bagi keseluruhan jumlah 107 inisiatif pintar tersebut, 51 inisiatif telah dilaksanakan, 32 inisiatif sedang dilaksanakan dan 24 lagi inisiatif masih dalam perancangan. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri juga telah melancarkan Dokumen Agenda Negeri Pintar Pulau Pinang pada bulan Disember 2021 yang lalu.
    1. Sistem CCTV telah mula dipasang oleh PBT sejak tahun 2008. Sasaran jumlah bilangan kamera CCTV yang perlu dipasang di seluruh negeri Pulau Pinang adalah sebanyak 1,000 unit CCTV. Setakat ini, jumlah CCTV yang telah dipasang telah melebihi sasaran yang telah ditetapkan iaitu sebanyak 1,245 unit di kedua-dua PBT dengan pecahan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) 1,019 unit dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) 226 unit.
    1. Satu dasar untuk mewajibkan penggunaan perkhidmatan e-pembayaran sebagai salah satu platform terimaan hasil bagi semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri pada 2 September 2020. Pelaksanaan inisiatif ini bertujuan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan agensi Kerajaan Negeri dapat dipertingkatkan selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk membentuk “Negeri Pintar Bertaraf Antarabangsa”. Hasil daripada pelaksanaan inisiatif tanpa tunai di jabatan dan agensi kerajaan ini, keseluruhan 23 jabatan penerima hasil di negeri Pulau Pinang telah bersedia untuk menerima perkhidmatan e-pembayaran sebagai salah satu medium penerimaan hasil daripada rakyat negeri Pulau Pinang.
    1. Projek Penang Smart Parking (PSP) telah mula dilancarkan pada 19 Ogos 2019 dengan matlamat untuk menukar kaedah pengurusan parkir kereta di kawasan PBT menggunakan teknologi terkini. Selain itu, sistem PSP juga bertujuan untuk memudahkan rakyat negeri Pulau Pinang mendapatkan petak tempat letak kereta yang kosong tanpa perlu mencari dalam tempoh masa lama. Sebanyak 12,000 tempat letak kereta telah digazetkan di kawasan MBPP manakala 24,000 petak letak kereta pula adalah di kawasan MBSP. Projek ini turut memudahkan sistem penguatkuasaan oleh PBT apabila pihak penguat kuasa tidak perlu membuat rondaan secara berkala yang akan meninggalkan jejak karbon. Melalui projek ini juga, kupon parkir tidak lagi dicetak dan secara tidak langsung penggunaan kertas dapat dijimatkan. Semenjak bulan Ogos 2019 sehingga 5 September 2022, PSP telah merekodkan jumlah kutipan sebanyak RM41.99 juta dan aplikasi tersebut telah dimuat turun sebanyak 932,127 kali.
    1. Selaras dengan usaha Kerajaan Negeri dalam memperkasakan sistem penyampaian pentadbiran tanah, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pulau Pinang telah memfokuskan ke arah pembentukan pentadbiran dan pengurusan pentadbiran tanah yang berwibawa melalui perancangan strategik. Pembangunan Sistem Perkhidmatan Tanah Setempat Atas Talian Pulau Pinang (PgLAND) telah diluluskan peruntukan sebanyak RM2.47 juta.
    1. Pembangunan sistem PgLAND dilaksanakan bagi memastikan kelancaran operasi dan hasil Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak terganggu disebabkan oleh penutupan kaunter bagi membendung penularan wabak COVID-19 di samping membolehkan PTG memfokuskan kepada penambahbaikan urusan dan usaha peningkatan hasil. Selain itu, pelaksanaan ini juga adalah selari dengan sasaran 80 peratus perkhidmatan kerajaan secara dalam talian pada tahun 2025.

    PERUMAHAN

    1. Sebagai kerajaan yang berjiwa rakyat, di samping menyediakan perumahan mampu milik yang selesa, keutamaan turut diberikan kepada kerja-kerja menyelenggara bangunan di semua rancangan perumahan awam kerajaan. Pada tahun 2023, sejumlah RM13.00 juta akan disediakan bagi kerja membina, menaik taraf dan menyelenggara rancangan perumahan murah ini. Selain itu, melalui butiran Projek Khas Ekonomi, sejumlah RM3.10 juta akan disediakan di bawah Program Pembaikan Rumah Rakyat Termiskin (Bina Baharu dan Baiki) untuk membina rumah baharu dan membaiki rumah asal.
    1. Selain itu, Kerajaan Negeri akan turut menyediakan peruntukan berjumlah RM6.80 juta untuk penyelenggaraan Skim Perumahan Kos Rendah atau Sederhana Rendah swasta melalui inisiatif Tabung Penyelenggaraan Maksima 80 Peratus. Sejumlah RM13.00 juta akan disediakan bagi Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang untuk belanja mengurus pada tahun 2023.

    Kelulusan Hakmilik Kekal Untuk Rumah Kos Rendah dan Sederhana Rendah Secara Percuma Bagi Projek Kerajaan Negeri

    1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam Manifesto Pilihanraya Umum 2018 telah menyatakan komitmen untuk ‘Meluluskan Hakmilik Kekal Untuk Rumah Kos Rendah dan Sederhana Rendah Secara Percuma Bagi Projek Kerajaan Negeri sahaja’.
    1. Mengikut Seksyen 76(aa)(iii), Kanun Tanah Negara (KTN), Pihak Berkuasa Negeri (PBN) boleh melupuskan tanah Negeri secara selama-lamanya (kekal) sekiranya PBN berpuas hati terdapat keadaan-keadaan khas yang menyebabkannya sesuai untuk berbuat demikian.
    1. Dalam menetapkan maksud ‘keadaan-keadaan khas’ ini, Pekeliling Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan (KPTGP) Bilangan 1/2018 bertajuk ‘Ketetapan Majlis Tanah Negara Ke-73 Mengenai Pemberimilikan Tanah Dalam Keadaan-keadaan Khas Untuk Pegangan Selama-lamanya Di Bawah Seksyen 76(aa)(iii) KTN’ menyatakan bahawa pemberimilikan tanah Kerajaan untuk tempoh pegangan selama-lamanya boleh diberi bagi projek-projek di bawah Kerajaan Negeri yang telah diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa secara case by case basis.
    1. Sehubungan dengan itu, manifesto Kerajaan Negeri ini dilihat bertepatan dan memenuhi maksud ‘keadaan-keadaan khas’ yang dinyatakan dalam Pekeliling KPTGP Bilangan 1/2018 tersebut.
    1. Rumah Kos Rendah dan Rumah Kos Sederhana Rendah atau dalam Bahasa Inggeris disebut sebagai Low-Cost House (LC) dan Low-Medium Cost House (LMC) terdapat dalam dua (2) bentuk iaitu dalam bentuk berstrata dan bukan strata.
    1. Bagi menunaikan manifesto ini, pemberian hakmilik pegangan selama-lamanya atau hak milik kekal hanya dapat dilaksanakan bagi rumah LC dan LMC bukan strata sahaja.
    1. Bagi LC dan LMC berstrata, ia belum dapat dilaksanakan pada masa ini disebabkan terdapat halangan dari aspek perundangan melibatkan KTN dan Akta Hakmilik Strata 1985.
    1. Kerajaan Negeri telah pun memaklumkan kepada Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan agar dapat meneliti isu ini bagi membolehkan perundangan sedia ada dipinda dan mempunyai mekanisma sewajarnya untuk melaksanakan pemberian hakmilik pegangan selama-lamanya atau hakmilik kekal melibatkan perumahan LC dan LMC berstrata.
    1. Pulau Pinang pada masa ini mempunyai sebanyak 54 skim perumahan LC dan LMC di bawah Kerajaan Negeri yang melibatkan sebanyak 14,807 unit rumah. Daripada jumlah ini, sebanyak 2,545 adalah rumah LC dan LMC bukan strata manakala baki berjumlah 12,262 merupakan unit rumah LC dan LMC berstrata.
    1. Justeru, pelaksanaan manifesto ini bagi kediaman LC dan LMC bukan strata tersebut dijangka dapat memanfaatkan sejumlah 2,545 pemilik rumah.
    1. Kerajaan Negeri berharap pemilik-pemilik rumah LC dan LMC bukan strata di Pulau Pinang dapat memanfaatkan manifesto ini sebaik-baiknya dengan mengemukakan permohonan kepada Pejabat Daerah dan Tanah yang terlibat yang mana caj pentadbiran yang minimum perlu ditanggung oleh pemilik-pemilik rumah bagi mendapatkan hak milik pegangan kekal.

    ALAM SEKITAR

    YB Dato’ Yang di-Pertua,

    1. Perubahan iklim yang berlaku di serata dunia di mana bahangnya juga dirasai oleh rakyat Malaysia sejak akhir-akhir ini telah membawa kepada kejadian kemarau dan banjir yang lebih kerap, perubahan cuaca dan kenaikan paras air laut. Penanaman pokok secara berterusan akan dapat mengurangkan paras karbon dan dapat mengurangkan kesan perubahan iklim. Kerajaan Negeri telah mensasarkan penanaman sebanyak 500,000 batang pokok di Pulau Pinang menjelang tahun 2030. Dari tahun 2008 sehingga kini, sebanyak 441,036 batang pokok telah ditanam di seluruh negeri Pulau Pinang bersamaan dengan pengurangan karbon sebanyak 100,000 tan bagi menjadikan negeri ini sebuah negeri hijau.
    1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan Dasar Pengasingan Sisa di Punca di seluruh negeri Pulau Pinang sejak 1 Jun 2016 yang bertujuan untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar serta menjaga keseimbangan eko sistem, mengurangkan kos pengurusan sisa pepejal, mengurangkan penjanaan sisa yang semakin meningkat ke tapak pelupusan sampah dan memanjangkan tempoh hayat Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung. Bagi tahun 2021, Pulau Pinang telah berjaya mencapai kejayaan kadar kitar semula yang tertinggi di Malaysia iaitu 51.18 peratus. Pencapaian ini merupakan kejayaan Kerajaan Negeri dalam merealisasikan Visi Penang2030 yang menetapkan sasaran 50 peratus kadar kitar semula menjelang tahun 2030 dengan lebih awal dari tempoh ditetapkan selain mengatasi kadar kitar semula kebangsaan pada tahap 31.52 peratus bagi tahun yang sama. Atas kejayaan dalam mencapai sasaran 50 peratus kadar kitar semula negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah meningkatkan sasaran pencapaian kadar kitar semula negeri kepada 70 peratus menjelang tahun 2030.
    1. Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung (TPSPB) sedang dioperasikan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sementara menunggu proses pelantikan operator baharu melalui Request For Proposal (RFP) yang akan dibuka tidak lama lagi. Selari dengan kajian Roadmap Pengurusan Sisa Pepejal yang sedang dijalankan oleh syarikat perunding Usains Infotech Sdn. Bhd., RFP ini akan mengambil kira proses pengurusan sisa pepejal secara keseluruhan dari segi pentadbiran, kutipan, pemprosesan dan pelupusan akhir. Kerajaan Negeri berpendapat bahawa pelaksanaan sebuah Eco Park yang merangkumi beberapa jenis teknologi rawatan sisa pepejal dapat diwujudkan.
    1. Stesen Pemindahan Sampah Ampang Jajar (SPSAJ) telah diambil alih oleh sebuah syarikat yang akan menerapkan kaedah Waste to Energy menjelang tahun 2025. Di samping itu, SPSAJ akan dikenali sebagai Integrated Solid Waste Facility (ISWF) yang akan dilengkapi dengan sebuah Materials Recovery Facility (MRF) di mana sisa pepejal akan diasingkan untuk dikitar semula dan selebihnya disalurkan ke Anaerobic Digester sebagai kaedah rawatan sisa yang akan menjana biogas dan seterusnya boleh ditukarkan kepada tenaga elektrik. Proses ini mampu mengurangkan jumlah keseluruhan sisa pepejal yang akan dihantar ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung sekali gus berupaya memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan tersebut.
    1. Kerajaan Negeri telah mengambil langkah-langkah pragmatik untuk menutup secara selamat, memulih dan membangunkan semula tanah bekas tapak pelupusan sampah di Jelutong melalui satu tender terbuka. Tanah ini yang berkeluasan 84 ekar akan mengambil masa lima (5) tahun untuk dipulihkan dan sepuluh (10) tahun untuk dibangunkan dengan pembangunan bercampur. Syarikat yang berjaya dalam tender telah menandatangani satu perjanjian dengan Kerajaan Negeri pada 21 Februari 2020 untuk memulih dan membangunkan tapak berkenaan. Kos pemulihan adalah dalam anggaran sebanyak RM1.0 bilion yang akan ditanggung oleh pihak syarikat. Syarikat tersebut akan dibayar melalui penyerahan sebahagian daripada jumlah tanah yang dipulihkan.
    1. Kerajaan Negeri sedang merancang untuk membina satu pusat kitar semula kekal bagi sisa binaan, tanah korekan dan sisa kebun di kawasan Pulau Burung untuk menerima semua sisa sedemikian daripada seluruh negeri. Sebelum pusat ini siap dibangunkan, satu tapak interim kitar semula sisa binaan, tanah korekan dan sisa kebun akan disediakan untuk memproses kesemua sisa yang dialihkan daripada Tapak Pelupusan Sampah Jelutong apabila tapak berkenaan ditutup untuk kerja pemulihan kelak.

    KEBAJIKAN

    YB Dato’ Yang di-Pertua,

    1. Pengurusan bantuan kewangan kepada kumpulan sasar adalah salah satu perkhidmatan utama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) khususnya bagi menjamin kelangsungan hidup mereka yang berpendapatan rendah dan benar-benar memerlukan. Jumlah peruntukan bagi pembayaran Bantuan Agenda Ekonomi Saksama (BAES) bagi tahun 2021 adalah sebanyak RM8.0 juta. Peruntukan BAES telah dinaikkan daripada RM8.0 juta kepada RM8.2 juta mulai tahun 2022. Dengan peningkatan sebanyak RM200,000.00, lebih ramai yang berkelayakan dapat menikmati faedah bantuan di bawah JKM. Sehingga Oktober 2022, sebanyak 1,305 penerima bantuan telah mendapat manfaat daripada bantuan tersebut. Bantuan ini akan diteruskan pada tahun 2023 dengan bajet berjumlah RM8.2 juta.
    1. Program i-Sejahtera merupakan program penghargaan yang sangat dekat di hati rakyat Pulau Pinang. Sumbangan Kerajaan Negeri berbentuk kewangan ini diberikan sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan kepada rakyat Pulau Pinang sama ada seorang warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal, suri rumah sepenuh masa mahupun seorang bayi berumur dua (2) tahun ke bawah di mana salah seorang ibu atau bapa bayi tersebut merupakan pengundi di Pulau Pinang. Bayaran program i-Sejahtera akan diteruskan pada tahun 2023 dengan bajet berjumlah RM53.00 juta.

    Bencana

    1. Sebagai usaha untuk memastikan suara rakyat didengari dalam penyediaan Bajet 2023, Kerajaan Negeri telah mengadakan Sesi Libat Urus Bersama YB ADUN dan YB Ahli Parlimen pada 20 Julai 2022. Melalui Sesi Libat Urus tersebut, sejumlah 58 cadangan telah diterima daripada YB ADUN dan YB Ahli Parlimen yang dapat dilaksanakan menggunakan peruntukan pembangunan. Dengan sukacitanya ingin saya maklumkan bahawa sejumlah 15 cadangan projek daripada jumlah tersebut telah dimasukkan dalam Bajet Pembangunan Negeri dan 14 cadangan projek boleh dilaksanakan pada tahun 2023. Baki 29 projek yang dicadangkan melibatkan peruntukan besar dan Kerajaan Negeri perlu meneliti semula sebelum memberikan pertimbangan sewajarnya.
    1. Salah satu cadangan yang diterima semasa Sesi Libat Urus Bersama YB ADUN dan YB Ahli Parlimen adalah penubuhan Pusat Logistik Kemanusiaan Bencana (Disaster Humanitarian Logistic Centre) atau Depoh Bencana untuk tujuan penyimpanan barangan keperluan bagi pengurusan bencana di Pulau Pinang. Kerajaan Negeri sedar bahawa depoh bencana adalah satu keperluan yang harus disediakan bagi pengurusan bencana yang komprehensif dan pantas di negeri Pulau Pinang. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM1.50 juta untuk pelaksanaan kerja-kerja awalan bagi penubuhan depoh bencana pada tahun 2023. Kos keseluruhan projek dianggarkan berjumlah RM6.50 juta dan dijangka siap dalam tempoh tiga (3) tahun.

    INFRASTRUKTUR

    Telekomunikasi

    YB Dato’ Yang di-Pertua,

    1. Penyediaan infrastruktur telekomunikasi di negeri Pulau Pinang kini jauh lebih baik berbanding sepuluh (10) tahun yang lalu. Ini adalah hasil usaha dan inisiatif Kerajaan Negeri dengan kerjasama pelbagai pihak sama ada kerajaan mahupun swasta khususnya industri telekomunikasi yang sudi melabur di negeri Pulau Pinang. Berdasarkan statistik liputan telekomunikasi daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada suku pertama tahun 2022, negeri Pulau Pinang telah merekodkan kadar penembusan jalur lebar bagi setiap 100 penduduk di negeri ini iaitu sebanyak 152.6 peratus, melebihi kadar nasional 124.1 peratus manakala bagi kadar penembusan jalur lebar tetap (berwayar) pula adalah sebanyak 51.2 peratus, melebihi kadar penembusan jalur lebar nasional iaitu 40.8 peratus.
    1. Bagi peratusan liputan 4G, status terkini di Pulau Pinang ialah 99.82 peratus, melebihi sasaran JENDELA Fasa 1 iaitu sebanyak 96.9 peratus menjelang hujung tahun 2022. Kelajuan muat turun mudah alih adalah sebanyak 45.46Mbps berbanding 35Mbps sasaran JENDELA Fasa 1 menjelang penghujung tahun 2022.
    1. Kerajaan Negeri bersama-sama pihak Digital Nasional Berhad (DNB) telah memulakan pelaksanaan rangkaian 5G di negeri Pulau Pinang bermula pada suku kedua tahun 2022. Sebanyak 151 lokasi telah dikenal pasti oleh pihak DNB di bahagian pulau untuk dilengkapkan dengan infrastruktur rangkaian 5G pada tahun ini. Fokus fasa pertama pelaksanaan ini adalah di kawasan pusat bandar, kawasan penempatan, tempat tumpuan awam dan kawasan perindustrian. Daripada jumlah 151 lokasi yang telah dikenal pasti, pecahan mengikut daerah di bahagian pulau adalah Barat Daya (57) dan Timur Laut (94). Juga, daripada jumlah 151 lokasi tersebut, sebanyak 55 lokasi merupakan pembangunan struktur baharu manakala sebanyak 96 lokasi adalah perkongsian struktur sedia ada. Sehingga 26 September 2022, sebanyak 60 lokasi telah berjaya disiapkan di tapak. Kerja-kerja integrasi dan on board telah dan sedang dijalankan di semua lokasi yang terlibat. Baki 91 lokasi baharu adalah di peringkat penyediaan dokumen bagi proses permohonan untuk mendapatkan kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
    1. Sukacita ingin saya maklumkan bahawa rangkaian 5G kini telah tersedia di Pulau Pinang dan Majlis Pelancaran 5G di negeri Pulau Pinang telah diadakan pada 9 September 2022 di Wisma UAB, Gat Lebuh Cina iaitu di kawasan pembangunan digital Pulau Pinang, “Creative and Digital District”. Pelancaran rangkaian 5G ini telah dilaksanakan oleh syarikat YTL Communications Sdn. Bhd. iaitu penyedia tunggal perkhidmatan 5G. Selain itu, Majlis Pelancaran 5G di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) telah diadakan pada 11 September 2022 di mana LTAPP merupakan lapangan terbang pertama di Malaysia yang mempunyai rangkaian 5G. Sehingga kini, kadar kelajuan internet di lokasi pemasangan 5G adalah mencapai 1.2Gb bagi kawasan terbuka manakala 800mbps bagi kawasan di dalam bangunan.
    1. Bagi perancangan tahun 2023, pihak DNB akan memberikan tumpuan di kawasan Seberang Perai. Mengikut perancangan fasa 2, pelaksanaan 5G di negeri Pulau Pinang akan melibatkan sebanyak 312 lokasi. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 77 lokasi akan dilaksanakan di kawasan pulau manakala baki sebanyak 235 lokasi adalah di kawasan Seberang Perai.

    Bekalan Air

    YB Dato’ Yang di-Pertua,

    1. Dari tahun 2019 hingga 2021, penduduk Pulau Pinang meningkat daripada 1.774 juta kepada 1.776 juta, peningkatan sebanyak 0.11 peratus. Pembangunan yang pesat di negeri Pulau Pinang, perubahan cuaca dan gejala COVID-19 menjurus kepada permintaan bekalan air yang tinggi. Pembangunan akan datang yang sedang dirancang oleh Kerajaan Negeri bakal menyuntik pertumbuhan ekonomi negeri yang pesat iaitu melibatkan kawasan Batu Kawan, Balik Pulau, Zon Perindustrian Bandar Bertam, cadangan tiga (3) pulau tebus guna di bawah Skim Penambakan Selatan (PSR), Projek Lebuhraya Pan Island Link 2A (PIL 2A) dan Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas. Bagi menampung bekalan permintaan air, Pulau Pinang akan terus menaik taraf infrastruktur bekalan air dan juga perlu mencari sumber air mentah tambahan untuk memastikan kelestarian bekalan air di negeri ini.
    1. Kerajaan Negeri akan memastikan pelaksanaan projek bekalan air iaitu Projek Penyaluran Air Mentah dari Rumah Pam Mak Sulong ke Terusan Sungai Dua (Fasa 2B) yang sedang dilaksanakan di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan dapat disiapkan awal tahun hadapan sepertimana yang dijadualkan. Projek ini merupakan sebahagian daripada pakej cadangan asal yang sepatutnya telah disiapkan secara keseluruhannya semasa projek pembesaran Empangan Mengkuang. Penyiapan projek ini akan melengkapkan sistem bekalan air di Empangan Mengkuang dan seterusnya meningkatkan kapasiti pelepasan air daripada 300 juta liter sehari (JLH) kepada 600JLH.
    1. Kerajaan Negeri juga akan meneruskan rundingan bersama dengan Kerajaan Negeri Perak bagi pelaksanaan Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) untuk Bekalan Air Utara Perak dan Pulau Pinang memandangkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah mengemukakan laporan akhir mengenai kajian Projek SPRWTS ini dan hasil kajian menunjukkan bahawa kapasiti air Sungai Perak mencukupi untuk menampung keperluan dan permintaan air bagi negeri Pulau Pinang dan utara Perak. Projek SPRWTS ini amat penting sebagai sumber air mentah tambahan untuk menampung keperluan permintaan air negeri Pulau Pinang sehingga tahun 2050.
    1. Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan sistem perpaipan air di kawasan kediaman berada dalam keadaan baik, seterusnya dapat membekalkan bekalan air yang berkualiti tinggi kepada rakyat negeri Pulau Pinang, khususnya penduduk yang tinggal di kawasan kediaman bertingkat atau bangunan strata. Untuk makluman, Kerajaan Negeri bersama-sama dengan Perbadanan Bekalan Air Negeri Pulau Pinang (PBAPP) sedang merancang satu (1) polisi bagi penguatkuasaan semakan audit terhadap pemeriksaaan penyelenggaraan sistem retikulasi paip dan tangki air di kediaman bertingkat di seluruh negeri Pulau Pinang. Objektif utama polisi ini adalah untuk membuat penetapan tentang pemeriksaan penyelenggaraan sistem retikulasi paip dan tangki air melalui undang-undang kecil atau house rule oleh Joint Management Body (JMB) atau Management Committee (MC) di bawah Seksyen 32(3) dan Seksyen 70(2) Akta Pengurusan Strata 2013.

    Tebatan Banjir

    1. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang akan meneruskan tumpuan kepada usaha mengurangkan kejadian banjir serta impak perubahan iklim secara berstruktur iaitu dengan menjalankan pembinaan rumah pam, ban, pintu air, melaksanakan kerja pengukuhan tebing, mendalam dan melebar sungai, menyelenggara sistem saliran dan kolam-kolam takungan banjir. Selain daripada itu, JPS juga akan melaksanakan kerja pencegahan hakisan pantai dan juga menaik taraf struktur-struktur utama (bangunan dan kuarters).
    1. Bagi pelaksanaan projek high impact, sehingga bulan September 2022, JPS telah dapat menyiapkan lima (5) projek high impact iaitu Projek Tebatan Banjir Parit 4, Projek Tebatan Banjir Parit 5 dan Projek Tebatan Banjir Mak Mandin yang telah disiapkan pada tahun 2021, manakala Projek Tebatan Banjir Bayan Baru dan Projek Tebatan Banjir Sungai Nipah telah berjaya disiapkan pada tahun ini. Selain daripada itu, Projek Tebatan Banjir Membina Kolam Takungan Banjir di Alma sedang giat dalam pembinaan dan dijangka siap pada Januari 2023 dengan peratusan kemajuan fizikal semasa adalah 63 peratus Terdapat satu (1) lagi projek yang sedang dilaksanakan iaitu Projek Tebatan Banjir Sungai Tiram (Kampung Naran) di Bayan Lepas yang telah mencapai 36 peratus kemajuan fizikal semasa. Manakala projek high impact yang terakhir iaitu Projek Tebatan Banjir Permatang Rawa dijangka akan bermula pada akhir tahun ini.
    1. Selain daripada projek high impact ini, terdapat dua (2) lagi projek yang baru bermula pada Jun 2022 iaitu Projek Tebatan Banjir Van Praagh dan juga Projek Tebatan Banjir Parit Monsun Pokok Assam yang mana pada ketika ini, peratusan kemajuan fizikal semasa masing-masing adalah pada 6 peratus dan 2 peratus. Kedua-dua projek ini dijangka akan dapat disiapkan pada tahun 2024.
    1. Bagi tahun 2023, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan peruntukan berjumlah RM29.85 juta kepada JPS Pulau Pinang untuk projek tebatan banjir, projek mendalam dan membaiki sungai, pengairan dan saliran pertanian, rancangan tali air kecil untuk pengairan, pembangunan pantai, pembangunan koridor sungai, saliran mesra alam, kolam takungan dan projek-projek lain yang berkaitan.

    Projek Gurney Wharf

    1. Salah satu projek besar yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah Gurney Wharf. Projek ini merupakan taman dalam bandar di pesisir pantai buatan terbesar di Pulau Pinang bernilai RM200.00 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025. Projek ini akan menjadi daya tarikan terbaharu di Pulau Pinang sekaligus meningkatkan nilai tambah yang berkualiti dan memberi kesan limpahan ekonomi. Kerajaan Negeri komited untuk menyiapkan Fasa 1 projek ini pada tahun 2023 dan sejumlah RM60.0 juta dibajetkan pada tahun 2023 untuk tujuan projek ini.

    PENGANGKUTAN

    YB Dato’ Yang di-Pertua,

    1. Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sejumlah RM17.23 juta untuk pelaksanaan projek di bawah butiran pembangunan Penang Transport Master Plan (PTMP) bagi tahun 2023. Kerajaan Negeri komited untuk melaksanakan projek Penang South Reclamation (PSR) demi kepentingan generasi akan datang dan pembangunan negeri. Kerajaan Negeri yakin bahawa kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dapat diperoleh dan akan menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk pelaksanaan projek pembangunan yang telah dikenal pasti termasuk pembayaran pampasan kepada golongan yang terkesan.
    1. Pakej 2, Projek 3 Jalan Utama dan Terowong Dasar Laut, ini melibatkan laluan dari Ayer Itam (Farlim) ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu mulai Julai 2022 yang telah diuruskan secara rasmi oleh pasukan projek dari Jabatan Kerja Raya Malaysia yang dipinjamkan kepada Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PICSB). Pencapaian kemajuan kerja bagi pelaksanaan Pakej 2 sehingga akhir bulan September 2022 adalah 20 peratus seperti yang dirancangkan.
    1. Setakat ini, Pakej 2 tidak dapat dilaksanakan oleh kontraktor secara “full swing” kerana terdapat kelulusan dan kebenaran dari Kerajaan Persekutuan yang belum diperoleh secara muktamad melibatkan jajaran yang melalui tanah persekutuan walaupun ia adalah sebahagian dari jajaran Penang Outer Ring Road (PORR). Perbincangan dan penyelarasan dengan jabatan Kerajaan Persekutuan seperti Kementerian Pertahanan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kesihatan dan lain-lain sedang dilakukan dengan harapan kesemua permasalahan terlibat dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada akhir tahun ini.
    1. Bagi cadangan pelaksanaan Bayan Lepas Light Rail Transit (BLLRT) sepanjang 29.9 kilometer dan Stesen Komtar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang serta seterusnya ke kawasan Penang South Island (PSI), panggilan prakelayakan kontraktor telah ditutup pada 7 Oktober 2022. Pada ketika ini, penilaian syarikat yang berminat dengan cadangan projek tersebut telah diselesaikan dan syarikat yang berkelayakan akan dipanggil untuk mengemukakan cadangan masing-masing melalui Request For Proposal (RFP) yang telah diedarkan. Berdasarkan perancangan semasa, tempoh bagi syarikat terlibat untuk mengembalikan RFP adalah pada sekitar bulan Mac atau April 2023 sebelum penilaian sekali lagi oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal dan Kewangan terhadap cadangan-cadangan yang telah diterima bagi memilih syarikat yang berjaya untuk ditawarkan pakej pelaksanaan BLLRT. Setakat ini, dijangkakan bahawa tawaran untuk pelaksanaan BLLRT dapat ditawarkan kepada kontraktor yang berkelayakan pada suku ketiga tahun 2023.
    1. PSI dengan keluasan keseluruhan 4,500 ekar telah mendapat kelulusan Environmental Impact Assessment (EIA) pada 25 Jun 2019. Walau bagaimanapun, kelulusan berkenaan telah dibatalkan oleh Lembaga Rayuan EIA pada 8 September 2021. Susulan pembatalan tersebut, laporan EIA baharu telah dikemukakan pada 29 April 2022 dan Kerajaan Negeri masih menunggu keputusan Ketua Pengarah Alam Sekitar bagi EIA yang dikemukakan.
    1. Kelewatan permulaan projek ini adalah berkait dengan kelulusan EIA. Namun begitu terdapat beberapa inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sebagai usaha mitigasi kepada alam sekitar seperti penanaman bakau, melakukan kajian-kajian yang berkaitan dengan perikanan, membantu nelayan yang terkesan dengan memberi bot gentian lengkap berenjin dan kemudahan berkaitan serta inisiatif-inisiatif lain. Usaha-usaha untuk membantu golongan yang terkesan akan dibuat secara berterusan sehingga projek PSI berjaya disempurnakan.
    1. Pada tahun 2022, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM10.0 juta khusus untuk membiayai pengangkutan awam. Peruntukan ini merangkumi empat (4) program utama iaitu pembiayaan Pas Mutiara My50, bas percuma Congestion Alleviation Transport (CAT), bas Bridge Express Shuttle Transit (BEST) KOMTAR dan pembiayaan tambang feri. Pada suku ketiga tahun ini, sebanyak RM1.5 juta peruntukan telah ditambah bagi memastikan rakyat terus menikmati perkhidmatan pengangkutan awam yang terbaik. Pada tahun 2023, Kerajaan Negeri telah bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM13.96 juta bagi sektor pengangkutan awam untuk meringankan beban rakyat.
    1. Selaras dengan Visi Penang2030 juga, Kerajaan Negeri melalui PBT kini sedang dalam perancangan untuk terus menambah baik infrastruktur stesen pengecasan kenderaan elektrik. Pihak MBPP telah mengenal pasti lapan (8) lokasi yang sesuai bagi tujuan menempatkan stesen pengecasan motosikal elektrik dan kini dalam proses pemasangan. Stesen pengecasan motosikal elektrik ini adalah percuma kepada semua motosikal elektrik di Pulau Pinang.
    1. Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah membelanjakan kira-kira RM15.5 juta sehingga tahun 2022 bagi pemberian insentif perkhidmatan kepada pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah. Pemberian insentif ini akan diteruskan pada tahun 2023 dengan bayaran sebanyak RM600.00 seorang. Sebanyak RM1.8 juta akan diperuntukkan untuk pembayaran insentif ini yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 penerima.

    PELANCONGAN DAN EKONOMI KREATIF

    YB Dato’ Yang di-Pertua,

    1. Industri pelancongan Pulau Pinang telah berjaya mencatatkan prestasi yang unggul untuk tahun 2022. Sejak pembukaan semula sempadan pada 1 April 2022, Pulau Pinang telah menyaksikan peningkatan ketara dalam ketibaan antarabangsa. Secara amnya, perbandingan antara bulan Januari sehingga Disember tahun 2021 dan antara bulan Januari sehingga Ogos tahun 2022, Pulau Pinang telah mencapai peningkatan sebanyak 2973 peratus untuk ketibaan antarabangsa manakala peningkatan sebanyak 235 peratus untuk ketibaan domestik di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP). Turut menunjukkan peningkatan adalah jumlah pergerakan penumpang di LTAPP iaitu peningkatan sebanyak 315 peratus daripada 544 ribu orang pada tahun 2021 kepada 2.2 juta orang pada tahun 2022 untuk jumlah pergerakan penumpang di LTAPP.
    1. Bagi memulihkan industri pelancongan di Pulau Pinang pasca COVID-19, Penang Global Tourism (PGT) akan bertindak berdasarkan Pelan Tindakan Pemulihan Pelancongan Negeri (Tourism Recovery Action Plan) yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Pelan ini bertujuan untuk mengurangkan kesan pandemik melalui beberapa strategi dengan menjenamakan Pulau Pinang sebagai destinasi yang selamat. Kerajaan Negeri menyediakan RM1.0 juta bagi Tourism Recovery Action Plan pada tahun 2023. Kerajaan Negeri melalui PGT secara konsisten bekerjasama rapat dengan pemain pelancongan untuk menggiatkan semula industri pelancongan.
    1. Penglibatan dan kerjasama berterusan dengan pengendali pelancongan dan syarikat penerbangan adalah sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan pemulihan pelancongan Pulau Pinang dan kekal berdaya saing dalam pasaran global. Di samping usaha promosi berterusan ke pasaran Pulau Pinang yang sebelum ini mempunyai penerbangan terus, Pulau Pinang juga menyasarkan sepuluh (10) pasaran ketibaan teratas ke Pulau Pinang serta beberapa pasaran berpotensi seperti Eropah, Korea Selatan dan Timur Tengah. Bagi meneruskan usaha menarik lebih ramai pelancong ke Pulau Pinang, geran berjumlah RM7.4 juta disediakan bagi PGT.
    1. Mulai Julai 2022, Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) telah menerima tiga (3) singgahan kapal pesiar antarabangsa setiap minggu. Penaiktarafan SPCT membolehkan SPCT mengendalikan dua (2) kapal bersaiz oasis pada satu-satu masa. Penerimaan kapal-kapal pesiar pada bulan Julai sahaja menyaksikan seramai 35,000 penumpang tiba di Pulau Pinang. Ia memberi indikator bahawa industri pelancongan melalui kapal pesiar semakin berkembang dan mampu untuk melonjakkan ekonomi negeri Pulau Pinang.
    1. Dengan pembukaan sempadan negara, aktiviti warisan, kebudayaan dan pelancongan telah kembali rancak. George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) selaku Pengurus Tapak Warisan Dunia UNESCO Bandar Warisan George Town telah meneruskan usaha dengan aktif dalam menguruskan dan mempromosi pendidikan warisan kebudayaan pada tahun 2022. GTWHI akan menambahkan aktiviti kolaborasi erat dengan UNESCO, agensi antarabangsa (terutamanya ICOMOS, ICCROM, ICHCAP dan lain-lain lagi), agensi kebangsaan (terutamanya Jabatan Warisan Negara dan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia) dan agensi tempatan melalui pelbagai aktiviti yang telah dirancang. Ini termasuk lebih 30 program konservasi, konsultasi, dokumentasi warisan, pendidikan, penyelidikan, promosi, dan pembinaan kapasiti untuk pemilik bangunan warisan, penduduk setempat, pegawai kerajaan, pelajar dan individu. Program-program ini dijadual untuk dilaksanakan pada tahun 2023. GTWHI akan menerima geran berjumlah RM3.2 juta pada tahun 2023 bagi meneruskan usaha ini.
    1. Pusat Kecemerlangan Warisan GTWHI (GTWHI Heritage Excellence Centre) telah dilancarkan pada 7 Julai 2022 bersempena hari ulang tahun pengisytiharan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO yang ke-14. Pusat ini juga merupakan pejabat GTWHI yang menjadi “bilik pameran yang penuh inspirasi” untuk pemerkasaan komuniti, “bilik darjah yang penuh inspirasi” untuk generasi muda dan “hab pengubah keadaan” untuk para pakar warisan. Pencapaian ini telah disambut dengan baik oleh UNESCO dan George Town telah dinamakan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO yang terbaik di rantau Asia.
    1. Perayaan Warisan George Town (George Town Heritage Celebrations) telah berjaya dianjurkan dari 2 sehingga 7 Julai 2022 bagi menyambut pengisytiharan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Persembahan tradisi, aktiviti heritage walk, Bengkel Interaktif dan Tayangan Filem Dokumentari Mini Warisan Budaya Pulau Pinang Dalam Norma Baharu telah diadakan sepanjang perayaan sebagai usaha proaktif GTWHI untuk mempromosikan Hari Warisan Dunia George Town sekaligus memperkasakan sektor warisan budaya di negeri Pulau Pinang.
    1. George Town Festival pula merupakan aktiviti tahunan yang terkenal di peringkat antarabangsa dan dikendalikan oleh GTWHI sejak tahun 2010. Festival ini menyambut pengiktirafan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan nilai keunggulan sejagatnya, sambil mempamerkan kekayaan dan kepelbagaian kesenian, kebudayaan dan warisan dalam persembahan berkelas dunia melalui kolaborasi dengan artis-artis tempatan dan antarabangsa. Bagi tahun 2023, sejumlah RM1.5 juta telah diperuntukkan untuk George Town Festival 2023 dan sejumlah RM0.5 juta bagi George Town Heritage Celebrations.

     

    1. Seterusnya, Program Penaiktarafan Imej Penarik Beca di Pulau Pinang telah memanfaatkan 77 buah beca di Pulau Pinang. Kerja-kerja telah dijalankan termasuk menggantikan rim, tayar, penutup kanvas, tempat duduk penumpang, mengecat badan beca dan pemasangan payung baharu.
    1. Taman Botani Pulau Pinang yang kaya dengan khazanah warisan semula jadi dan merupakan salah satu destinasi ekopelancongan tempatan. Tahun 2022 memperlihatkan pelbagai pelaksanaan program, projek dan aktiviti merangkumi bidang pemuliharaan, penyelidikan, rekreasi, pelancongan, penyelidikan dan pendidikan serta perkhidmatan dilaksanakan oleh Jabatan Taman Botani Pulau Pinang. Sehingga bulan September 2022, sebanyak 12 projek pembangunan telah dilaksanakan bagi menambah baik kemudahan di Taman Botani Pulau Pinang. Bagi tahun 2023, peruntukan pembangunan berjumlah RM1.7 juta disediakan untuk menaik taraf kemudahan di Taman Botani Pulau Pinang.
    1. Fasa peralihan endemik yang bermula juga telah memberi kelegaan dan membawa kepada pemulihan sektor pelancongan Bukit Bendera di mana kedatangan pengunjung meningkat dengan kadar yang sangat memuaskan. Setakat Ogos 2022, jumlah pengunjung adalah seramai 893 ribu orang iaitu 715 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu sebanyak 109 ribu orang. Pencapaian angka ini dijangka akan terus meningkat dan beransur kembali kepada jumlah pengunjung sebelum penularan wabak COVID-19.
    1. Dari segi pelaksanaan projek di Bukit Bendera, projek utama Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) bagi tahun 2022 adalah Projek Menaik Taraf Stesen Atas Bukit Bendera (Fasa 4). Projek yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri dengan anggaran kos berjumlah RM9.3 juta telah bermula pada bulan Mac 2021 dan dijangka siap pada Disember 2022. Projek ini adalah bagi memperluas ruang menunggu dalam stesen agar dapat menampung hampir 750 orang pada satu-satu masa. Dengan penambahan lif dan eskalator, ia akan memberikan keselesaan kepada pengunjung Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas. Sistem Electronic Queue Management System (EQMS) 2.0 (JustQ) juga dilaksanakan bagi memudahkan pengunjung untuk pemberitahuan waktu menunggu di Stesen Atas. Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang akan disediakan peruntukan pembangunan berjumlah RM5.58 juta bagi meningkatkan kemudahan dan fasilitinya pada tahun 2023.

    BELIA DAN SUKAN

    YB Dato’ Yang di-Pertua,

    1. Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang telah berlangsung pada 16 hingga 24 September 2022 bertempat di Kuala Lumpur telah menyaksikan kejayaan pasukan Kontinjen Negeri Pulau Pinang membawa pulang sebanyak 30 butir pingat emas, 28 butir pingat perak dan 42 butir pingat gangsa mengatasi sasaran pingat yang ditetapkan. Seterusnya, Kontinjen Atlet-Atlet Luar Biasa Pulau Pinang yang mengambil bahagian dalam Kejohanan PARA SUKMA pada 1 hingga 5 November 2022 telah turut mencatatkan rekod kemenangan yangh cemerlang apabila berjaya memenangi sejumlah 15 pingat emas, 15 perak dan 13 pingat gangsa. Tahniah diucapkan kepada Kontinjen SUKMA Pulau Pinang.
    1. Kerajaan Negeri bagi tahun 2022 telah meluluskan peruntukan sejumlah RM1.6 juta untuk pelaksanaan Projek Menaik Taraf Gelanggang Sukan Awam di Pulau Pinang. Sehingga kini, sejumlah 14 projek telah dikenal pasti untuk pelaksanaan bagi tahun ini menggunakan peruntukan yang telah diluluskan tersebut. Sebagai usaha untuk menggalakkan lebih ramai rakyat negeri Pulau Pinang untuk bersukan dalam persekitaran yang kondusif, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menambah peruntukan menaik taraf gelanggang awam kepada RM3.5 juta bagi tahun 2023 dengan pembangunan kemudahan diperluaskan seperti bumbung, pagar dan sebagainya.
    1. Kerajaan Negeri melalui Penang Youth Development Corporation (PYDC) telah membangunkan portal kerjaya “We Want You”. Portal kerjaya “We Want You” berfungsi sebagai sebuah laman sesawang yang menyediakan platform untuk golongan majikan mengiklankan peluang pekerjaan, latihan industri atau “internship” dan “freelancing” secara percuma buat golongan belia yang mencari pekerjaan. Tujuan dasar projek “We Want You” adalah untuk mengurangkan jurang kadar pengangguran di Pulau Pinang serta membantu golongan belia mencari pekerjaan yang bersesuaian dan para majikan menggajikan lebih ramai pekerja di Pulau Pinang. Pada tahun ini, 11 karnival kerjaya telah dilaksanakan setakat September 2022 dan projek ini juga telah mencapai beberapa pencapaian yang signifikan dalam mengatasi masalah pengangguran. Pencapaian-pencapaian tersebut termasuklah seramai 552 majikan telah berdaftar untuk mengiklankan peluang pekerjaan dalam portal “We Want You”, 1,588 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan, 2,572 orang pengguna portal, 3,726 permohonan kerja dan kadar kejayaan belia untuk mendapatkan pekerjaan daripada portal ini adalah 30 peratus. Pada tahun 2023, PYDC mensasarkan kadar kemajuan setinggi 40 peratus. Jelaslah bahawa projek portal kerjaya “We Want You” ini berjaya memberi impak yang signifikan bagi golongan belia yang bergelut mencari peluang pekerjaan. Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan berjumlah RM2.0 juta untuk PYDC pada tahun 2023.
    1. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan penubuhan satu (1) jawatankuasa baharu iaitu Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) di setiap KADUN. JBPP bertindak sebagai pelapis dalam barisan pemimpin masyarakat di Pulau Pinang serta membangunkan belia secara holistik supaya mereka dapat menggerakkan usaha dan program pembangunan belia di KADUN masing-masing bagi melatih lebih ramai lagi pemimpin muda negara yang bakal mencorak masa depan negara. Terdapat 400 orang belia di setiap KADUN dan setakat ini, sebanyak 53 aktiviti telah dijalankan oleh cawangan-cawangan JBPP. Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan berjumlah RM1.39 juta bagi JBPP pada tahun 2023.

    AGROTEKNOLOGI DAN KESELAMATAN MAKANAN DAN PEMBANGUNAN LUAR BANDAR

    YB Dato’ Yang di-Pertua,

    1. Pembangunan sektor pertanian terus dipacu oleh Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0) 2021-2030 di mana objektif pembangunan subsektor agromakanan adalah memastikan bekalan bahan asas makanan mencukupi, tersedia dan selamat dimakan. Bagi mengukuhkan rantaian nilai bekalan makanan sedia ada terdapat perancangan bagi menambah kawasan tumpuan pengeluaran tanaman makanan seperti yang telah dilaksanakan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di kawasan Ara Kuda dan Mayfield serta di Taman Pertanian Permatang Pauh dan Batu Kawan. Taman Agroteknologi Pertanian Ara Kuda merupakan perancangan jangka panjang di bawah Rancangan Malaysia ke-12 dengan kerjasama pihak Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) di mana penekanan kepada pembangunan pertanian moden menggunakan aplikasi teknologi agromakanan, seiring dengan perkembangan Revolusi Industri (IR4.0) di kawasan yang telah dikenal pasti sebagai TKPM 2 Ara Kuda, seluas 147 ekar. Perkembangan IR4.0 menggalakkan pengoperasian secara automasi bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja yang ramai.
    1. Penyertaan aktif syarikat swasta amat diperlukan terutama dalam sektor pertanian berskala besar dan berteknologi tinggi. Sektor swasta memainkan peranan penting sebagai agen perubahan atau pemangkin transformasi sektor pertanian yang moden, dinamik dan berdaya saing. Namun begitu, pelaburan swasta dalam industri agromakanan masih kurang jika dibandingkan dengan industri-industri lain seperti perladangan, pembuatan dan perkhidmatan. Oleh itu, Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang telah mengambil inisiatif mengadakan kerjasama dengan agensi seperti PERDA dan beberapa syarikat lain bagi mengenal pasti ruang dan peluang untuk pihak swasta melabur dalam industri pertanian khususnya subsektor tanaman makanan.
    1. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkat hasil pengeluaran dan kualiti produk melalui program-program pengembangan dan projek pembangunan pertanian. Momentum pertumbuhan sektor pertanian bergantung kepada beberapa faktor seperti sosioekonomi dan perkembangan teknologi pertanian. Pada tahun 2022, Jabatan Pertanian Negeri telah menerima peruntukan pembangunan sektor agromakanan berjumlah RM6.25 juta bagi 16 projek dan program pembangunan pertanian dengan 14 daripadanya telah memberi manfaat secara langsung kepada kumpulan sasar iaitu para petani, usahawan Industri Asas Tani (IAT) dan belia tani. Manakala dua (2) projek lagi adalah untuk membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur pengoperasian jabatan. Bagi tahun 2023, Jabatan Pertanian Negeri akan menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM6.92 juta bagi meneruskan projek-projek ini.
    1. Jabatan Pertanian Negeri terus menjadikan subsektor makanan pertanian sebagai tumpuan utama dalam sektor pertanian untuk mencapai agenda meningkatkan jaminan makanan dan menjana pendapatan yang lebih tinggi kepada barisan hadapan pertanian. Tumpuan akan merangkumi antara lain untuk memperkukuhkan rantaian bekalan makanan, menambahkan sokongan dan perkhidmatan penyampaian, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran teknologi serta menggalakkan lagi pematuhan terhadap standard dan amalan pertanian yang baik melalui Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dan Skim Pensijilan Organik Malaysia (myOrganik). Usaha tersebut bertujuan meningkatkan jaminan dan keselamatan makanan dengan meningkatkan produktiviti, penjanaan pendapatan yang lebih baik serta menarik generasi muda untuk terlibat dalam bidang pertanian yang akhirnya akan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
    1. Pada tahun 2022, Jabatan Pertanian Negeri telah diperuntukan sebanyak RM1.50 juta secara one-off bagi pelaksanaan Program Farmers To Farmers yang memanfaatkan 230 orang golongan sasar. Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan pemberian berjumlah RM2.63 juta bagi tujuan bayaran bantuan one-off berjumlah RM500.00 seorang kepada 5,262 pesawah di negeri Pulau Pinang. Bantuan one-off ini adalah untuk meringkan beban pesawah setelah mengambil kira pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi seperti ketidaktentuan cuaca, peningkatan kos bahan input baja kimia dan agrokimia serta lain-lain cabaran.
    1. Dasar dan hala tuju Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri (JPV) sentiasa memberi penumpuan kepada pembangunan sektor ternakan melibatkan komoditi ternakan utama iaitu lembu/ kerbau, kambing/ bebiri, ayam/ itik termasuk telur dan susu serta industri hiliran berasaskan ternakan bagi memastikan keperluan makanan dari sudut jaminan (security) dan keselamatan (safety) pada tahap yang tertinggi untuk membolehkan sumber makanan kepada rakyat sentiasa tersedia (available), mudah didapati (accessible) dan berpatutan (affordable). Peningkatan kos pengeluaran disebabkan oleh kenaikan harga makanan ternakan serta kekurangan sumber tenaga kerja buruh asing memberi impak kepada pembangunan industri penternakan. Ini kerana kebergantungan sumber bahan mentah makanan ternakan dari luar negara serta kurang minat tenaga kerja tempatan dalam bidang pertanian selain pengaruh daripada pertukaran mata wang asing memberikan kesan jangka panjang kepada pertumbuhan keseluruhan industri penternakan untuk terus mampan dan berdaya saing.
    1. Bagi aspek pengeluaran ladang, Nilai Hasil Ternakan (NHT) sejak tahun 2018 telah mengekalkan perolehan melebihi RM900.0 juta pada setiap tahun. Pengeluaran NHT pada tahun 2021 berjumlah RM1,535.61 juta iaitu peningkatan sebanyak RM293.5 juta daripada NHT 2020 yang berjumlah RM1,242.11 juta. Walaupun terdapat peningkatan, namun kadar ini dijangka akan mengalami pengurangan mulai tahun 2022 memandangkan penguatkuasaan terhadap Enakmen Penternakan Babi Negeri Pulau Pinang memberi impak yang besar kepada pengurangan bilangan ladang yang drastik. Pengurangan bilangan ladang mempengaruhi bilangan populasi ternakan yang akhirnya akan memberi kesan langsung kepada pengeluaran serta Nilai Hasil Ternakan (NHT).
    1. Bagi tahun 2023, pihak JPV terus melaksanakan aktiviti serta program yang menyokong kepada sasaran pengukuhan pengeluaran daging lembu/ kerbau dan kambing/ bebiri melalui Pelan Strategik & Tindakan Pembangunan Industri Pedaging Negara 2021-2025, pengeluaran susu segar melalui Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara 2021-2025 serta Pelan Kelestarian Pembangunan Industri Unggas. Kesemua pelan ini adalah bertujuan bagi mencapai visi yang digariskan dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) untuk membangunkan sektor agromakanan yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengutamakan sekuriti makanan dan nutrisi. Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan berjumlah RM4.5 juta untuk JPV melaksanakan projek-projek pembangunan yang berkaitan pada tahun 2023.
    1. Akhir sekali, negeri Pulau Pinang turut menyumbang kepada pengeluaran hasil akuakultur negara di mana mencatatkan nilai berjumlah RM429.47 juta pada tahun 2022. Selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri bagi memastikan produk akuakultur selamat untuk dimakan, Jabatan Perikanan Negeri telah memperkenalkan etika amalan yang bertanggungjawab dan mesra alam kepada pengusaha akuakultur. Melalui pensijilan myGAP, sejumlah 50 syarikat akuakultur dan premis ikan hiasan di negeri ini telah dianugerahkan dengan sijil myGAP (Akuakultur) pada tahun 2022. Selain itu, Cawangan Biosekuriti Perikanan Negeri Pulau Pinang telah disalurkan peruntukan pembangunan sebanyak RM115,000.00 untuk pemberian insentif myGAP kepada tiga (3) syarikat yang bertujuan meningkatkan kemudahan biosekuriti premis akuakultur.

    PERUNTUKAN BAJET MENGURUS DAN PEMBANGUNAN 2023

    YB Dato’ Yang di-Pertua,

    1. Bajet 2023 digubal dengan penuh kesedaran supaya dapat merealisasikan perancangan yang telah dibuat di samping mengimbangi kekangan dari segi kemampuan kewangan yang amat terhad Sebagai kerajaan yang prihatin, intipati bajet memberi penekanan kepada agenda merangsang pertumbuhan ekonomi negeri dan pembangunan sosio ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
    1. Tujuan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 adalah untuk mendapat kuasa berkanun bagi membolehkan Kerajaan Negeri membuat Perbelanjaan Bekalan berjumlah RM943,631,441.00 (Ringgit Malaysia: Sembilan Ratus Empat Puluh Tiga Juta, Enam Ratus Tiga Puluh Satu Ribu, Empat Ratus Empat Puluh Satu) untuk 20 jabatan bagi tahun 2023, sepertimana perincian di Risalah Bil. No. 4 Tahun 2022. Selain daripada itu, peruntukan berjumlah RM45,840,672.00 (Ringgit Malaysia: Empat Puluh Lima Juta, Lapan Ratus Empat Puluh Ribu, Enam Ratus Tujuh Puluh Dua) diperlukan untuk Perbelanjaan Tanggungan bagi tiga (3) jabatan mengikut Undang-undang di bawah Kumpulan Wang Disatukan. Oleh itu, jumlah keseluruhan Perbelanjaan Mengurus yang dianggarkan pada tahun 2023 ialah RM989,472,113.00 (Ringgit Malaysia: Sembilan Ratus Lapan Puluh Sembilan Juta, Empat Ratus Tujuh Puluh Dua Ribu, Satu Ratus Tiga Belas).
    1. Seperti mana YB Ahli-ahli Dewan sedia maklum, Perbelanjaan Mengurus yang dicadangkan bagi tahun 2023 sejumlah RM989.47 juta merupakan peningkatan sebanyak RM54.25 juta berbanding tahun 2022. Antara punca utama peningkatan Perbelanjaan Mengurus tahun 2023 adalah berikutan pertambahan caruman ke Kumpulan Wang Pembangunan Negeri sebanyak RM40 juta, iaitu caruman sebanyak RM240 juta pada tahun 2023 berbanding RM200 juta pada tahun 2022.
    1. Di bawah peruntukan Mengurus 2023, sejumlah RM195.89 juta adalah bagi Emolumen, RM207.10 juta bagi Perkhidmatan dan Bekalan, RM6.92 juta untuk perolehan Aset, RM578.22 juta bagi Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap dan RM1.36 juta disediakan untuk Perbelanjaan-perbelanjaan Lain.
    1. Perbelanjaan Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap kekal sebagai komponen terbesar mencakupi 58.44 peratus daripada keseluruhan Perbelanjaan Mengurus. Jumlah ini termasuk caruman sejumlah RM240.00 juta kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri, sejumlah RM98.26 juta bagi program-program kebajikan negeri termasuk iSejahtera dan RM96.16 juta bagi penyediaan geran kepada anak-anak syarikat, badan berkanun negeri dan lain-lain agensi. Pertambahan peruntukan bagi objek-objek am secara dasarnya adalah bagi menampung keperluan kenaikan gaji tahunan, kenaikan kos bekalan dan keperluan menggantikan aset dan kenderaan yang tidak lagi ekonomik untuk dibaik pulih.
    1. Namun demikian, peningkatan belanja mengurus ini adalah pada tahap terkawal selaras dengan langkah-langkah yang telah diambil untuk mengawal dan menerapkan disiplin dalam perbelanjaan secara berhemat.
    1. Kerajaan Negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip pada tahun 2023 adalah berjumlah RM522,353,370.00 (Ringgit Malaysia: Lima Ratus Dua Puluh Dua Juta, Tiga Ratus Lima Puluh Tiga Ribu, Tiga Ratus Tujuh Puluh) iaitu pertambahan sebanyak RM36.93 juta atau 7.61 peratus berbanding anggaran hasil tahun semasa 2022 sebanyak RM485.42 juta.
    1. Komposisi hasil tahun 2023 terdiri daripada hasil cukai RM165.65 juta atau 31.71 peratus, hasil bukan cukai RM253.93 juta atau 48.61 peratus dan terimaan bukan hasil sebanyak RM102.77 juta atau 19.68 peratus. Punca peningkatan utama hasil sebanyak RM36.93 juta yang dijangkakan pada tahun 2023 berbanding hasil tahun 2022 adalah daripada sumber hasil bukan cukai melibatkan ‘Lesen dan Permit’ dan ‘Keuntungan Pembiayaan dan Perolehan Pelaburan’.
    1. Mengambil kira jangkaan hasil tahun 2023 berjumlah RM522.35 juta berbanding Perbelanjaan Mengurus sebanyak RM989.47 juta, akan menjadikan Bajet 2023 mengalami defisit sebanyak RM467.12 juta. Jangkaan defisit ini bertambah sebanyak RM17.32 juta berbanding dengan defisit tahun 2022 yang berjumlah RM449.80 juta. Namun mengambil kira janji Kerajaan Negeri yang akan sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk melonjakkan pembangunan negeri di samping memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara, maka bajet berdefisit perlu dilaksanakan. Anggaran defisit atau kekurangan RM467.12 juta yang dijangka dalam Bajet 2023 akan dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri yang berbaki sebanyak RM848.82 juta pada akhir tahun 2021. Jumlah keseluruhan rizab kerajaan negeri setakat akhir tahun 2021 adalah berjumlah RM2.117 bilion termasuk Akaun Amanah Disatukan.
    1. Bajet Pembangunan Tahun 2023 yang dicadangkan adalah berjumlah RM326,758,158 (Ringgit Malaysia: Tiga Ratus Dua Puluh Enam Juta, Tujuh Ratus Lima Puluh Lapan Ribu, Satu Ratus Lima Puluh Lapan) bagi sembilan (9) jabatan negeri seperti perincian di Risalah Bil. No. 4, Tahun 2022. Sumber bagi Perbelanjaan Pembangunan ini adalah melibatkan punca negeri sebanyak RM311.24 juta dan pemberian Kerajaan Persekutuan yang dianggarkan sebanyak RM15.52 juta. Bajet Pembangunan tahun 2023 adalah meningkat sebanyak RM10.63 juta atau 3.36 peratus, berbanding tahun 2022 yang berjumlah RM316.13 juta.
    1. Daripada sembilan (9) jabatan yang disediakan peruntukan Pembangunan, enam (6) jabatan telah disediakan peruntukan yang lebih tinggi berbanding tahun 2022 iaitu Pejabat Ketua Menteri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan (P01), Jabatan Pengairan dan Saliran (P08), Jabatan Taman Botani (P10), Jabatan Kerja Raya (P12), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (P17) dan Jabatan Pertanian (P18), manakala tiga (3) jabatan iaitu Jabatan Perhutanan (P09), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (P13) dan Jabatan Kewangan Negeri (P16) disediakan peruntukan yang berkurangan sedikit berbanding tahun 2022.
    1. Peruntukan pembangunan tertinggi adalah disediakan di bawah Vot P01 berjumlah RM172.04 juta. Bajet ini merangkumi peruntukan bagi Projek Gurney Wharf berjumlah RM60.00 juta, Pembangunan Sukan dan Kawasan Lapang berjumlah RM18.90 juta, Penang Transport Master Plan (PTMP) berjumlah RM17.23 juta, Pembangunan Rancangan Perumahan Murah berjumlah RM8.67 juta dan lain-lain projek pembangunan. Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan pinjaman kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi menampung sebahagian kos Projek GBS By The Sea berjumlah RM20.00 juta di bawah Vot P01 pada tahun 2023.
    1. Seterusnya, peruntukan di bawah Jabatan Perhutanan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan Jabatan Kewangan Negeri adalah berkurangan pada tahun 2023 kerana kebanyakan projek di bawah jabatan-jabatan ini telahpun disiapkan dalam tahun semasa. Pengurangan bajet pembangunan di jabatan-jabatan ini tidak akan menjejaskan perkhidmatan dan prestasi jabatan berkaitan.
    1. Kerajaan Negeri berjanji akan meneruskan amalan tadbir urus berdasarkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) bagi mengekalkan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang mempunyai kepimpinan yang bersih dan dinamik.

    PENJAWAT AWAM JENTERA PEMBANGUNAN NEGERI

    YB Dato’ Yang di-Pertua,

    1. Kerajaan Negeri amat bertuah kerana memiliki barisan penjawat awam yang berdedikasi, berintegriti dan komited untuk memastikan dasar-dasar Kerajaan Negeri dilaksanakan dengan jayanya. Komitmen jitu yang diberikan telah membantu negeri Pulau Pinang untuk mengekalkan prestasi perkhidmatan yang baik kepada rakyat. Bagi menghargai sumbangan penjawat awam dan melonjakkan lagi semangat untuk terus berkhidmat dengan cemerlang, saya meluluskan bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) akhir tahun bersamaan dengan ½ bulan gaji penjawat awam atau minimum RM1,200.00. Bayaran BKK ini melibatkan 3,920 penjawat awam negeri dengan implikasi kewangan berjumlah RM6.13 juta.  
    1. Di samping itu, seperti tahun-tahun sebelum ini, pemberian sebanyak RM300.00 seorang akan disalurkan kepada Penyelia dan Guru KAFA, Guru Sekolah Rendah Agama Rakyat, Guru Sekolah Menengah Agama Rakyat dan Guru serta Staf Sekolah Persendirian Cina. Selain itu, pemberian sebanyak RM200.00 seorang akan dibayar kepada Guru Tahfiz, Guru Pondok dan Guru TADIS negeri Pulau Pinang yang akan melibatkan tambahan perbelanjaan berjumlah RM900,0000.00. Semua bayaran BKK dan pemberian ini akan dibuat pada bulan Disember 2022.
    1. Di kesempatan ini, saya dan seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak atas kepercayaan dan sokongan yang telah diberikan kepada kepimpinan ini. Semoga seluruh jentera pentadbiran negeri dapat terus menggembleng tenaga dalam menjayakan dasar-dasar Kerajaan Negeri dan memberi perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat negeri Pulau Pinang.

    PENUTUP

    YB Dato’ Yang di-Pertua,

    Kerajaan Negeri menyasarkan matlamat untuk membangunkan Pulau Pinang secara mampan (sustainable) yang mana akan menyumbang kepada peningkatan peluang pekerjaan, perniagaan dan pelaburan serta pertumbuhan ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup rakyat. Di samping itu, kepentingan rakyat negeri Pulau Pinang adalah sentiasa dijaga melalui dasar-dasar kerajaan yang inklusif dan holistik, di mana penyediaannya mengambil kira pandangan daripada semua pihak berkepentingan khususnya Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), agensi kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), para ahli akademik serta wakil-wakil komuniti. Marilah kita sama-sama terus menggalas amanah dengan penuh tanggungjawab untuk membina ekonomi negeri Pulau Pinang yang kukuh melalui Bajet 2023 ini.

    1. Dengan sokongan padu dan penyertaan semua pihak, Pulau Pinang akan terus maju dan berjaya mencapai Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

    Sekian, YB Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadang.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang