UCAPAN PENGGULUNGAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
UCAPAN PENGGULUNGAN
KETUA MENTERI PULAU PINANG
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MESYUARAT KEDUA PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KEEMPAT BELAS
24 NOVEMBER 2022 (KHAMIS)
YB Dato’ Yang di-Pertua Dewan,
YB Dato’ Ketua Pembangkang,
YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,
YB Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang,
Ketua-Ketua Jabatan,
Rakan-Rakan Media,
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
PENDAHULUAN
- Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan Tahun 2023.
- Segala cadangan dan komen yang dibangkitkan ketika perbahasan sememangnya akan diambil kira untuk penambahbaikan selaras dengan hasrat kita untuk merealisasikan Tema Belanjawan Negeri Pulau Pinang Tahun 2023 iaitu “Pembangunan Mampan Mensejahterakan Rakyat”.
YB Dato’ Yang di-Pertua,
SITUASI EKONOMI NEGERI PULAU PINANG
- Sepertimana yang telah saya bentangkan dalam ucapan Belanjawan Tahun 2023, pada tahun 2021, ekonomi Pulau Pinang telah mencapai kadar pertumbuhan tertinggi dalam kalangan negeri-negeri di Malaysia, iaitu pada kadar 6.8 peratus, dengan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara meningkat kepada 7.1 peratus. Peneraju pertumbuhan utama bagi Pulau Pinang adalah sektor pembuatan yang meningkat 12.4 peratus disokong oleh kepesatan dalam industri yang berasaskan eksport iaitu produk elektrik, elektronik dan optikal.
- Dalam usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan dan melaksanakan pembangunan yang mampan, Kerajaan Negeri perlu menangani tiga (3) cabaran utama yang terdiri daripada tanah untuk perindustrian, sumber air bagi menampung keperluan masa hadapan dan isu modal insan. Salah satu pendekatan penting yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk menangani cabaran tersebut adalah melalui Visi Penang2030. Empat (4) tema utama iaitu meningkatkan taraf hidup serta kualiti hidup penduduk, mengembangkan saiz ekonomi demi meningkatkan pendapatan isi rumah, memperkasa rakyat demi mengukuhkan sistem masyarakat sivil dan pelaburan Kerajaan Negeri dalam pembangunan alam semula jadi agar lebih berdaya tahan, dilihat dapat melonjakkan lagi potensi negeri Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan di rantau ini.
KETIDAKADILAN PENGAGIHAN PERUNTUKAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
- Bagi menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Bukit Tambun, Kerajaan Negeri berpandangan bahawa setiap wakil rakyat atau pemimpin wajib berjiwa rakyat dan sentiasa menyelami setiap denyut nadi rakyat, tanpa mengira latar belakang ideologi politik demi membangunkan negara berlandaskan keadilan, lebih-lebih lagi dalam aspek agihan peruntukan yang saksama. Justeru, kerjasama yang baik harus berterusan serta sentiasa wujud antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan setiap agenda pembangunan negeri dan seterusnya pembangunan negara amnya dapat dilaksanakan secara inklusif serta holistik dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Perlu diingatkan, penolakan rakyat kepada Kerajaan yang memerintah sebelum ini adalah disebabkan ia tidak lagi dilihat mampu mempertahankan dan mengamalkan nilai politik jujur serta adil dalam urusan pemerintahannya.
- Misalnya, pada 13 September 2021, Kerajaan Persekutuan dan pihak pembangkang telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang bertujuan untuk mengenepikan segala perbezaan politik dan memastikan segala usaha pemulihan negara berjalan dengan baik dan efektif. Usaha ini perlu diteruskan pada masa hadapan agar segala perancangan pembangunan dan penyelesaian kepada masalah rakyat mampu dilaksanakan hasil sokongan serta sumbangan kedua-dua belah pihak.
- Kerajaan Negeri memerlukan sokongan peruntukan daripada pihak Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan pembangunan infrastruktur berskala besar bukan sahaja di kawasan Seberang Perai malah di seluruh negeri Pulau Pinang. Bagi menjawab persoalan Yang Berhormat Bukit Tambun, projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) kini dilihat kritikal bagi mengurangkan kejadian banjir yang berlaku. Projek RTB baharu seperti RTB Lembangan Sungai Jawi perlu dilaksanakan segera di samping cadangan projek RTB di beberapa kawasan lain yang dilaporkan masih berlaku kejadian banjir.
- Sokongan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan juga diperlukan bagi menyelesaikan isu kesesakan jalan raya yang semakin meruncing di negeri Pulau Pinang. Projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang atau Penang Transport Master Plan (PTMP) mampu menyelesaikan masalah ini khususnya dengan menyediakan sistem pengangkutan awam yang efisien sekali gus mengurangkan kebergantungan penduduk negeri ini terhadap kenderaan persendirian.
- Sebagai langkah proaktif, Kerajaan Negeri telah menubuhkan sebuah jawatankuasa di peringkat pentadbiran yang bertujuan untuk mengenal pasti isu melibatkan hubungan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri termasuk seruan untuk pengagihan sumber yang lebih saksama dan menyelesaikan isu-isu bertindih antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Laporan yang disediakan oleh jawatankuasa ini telah mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Kerajaan Persekutuan dan Negeri, Jawatankuasa Kerjasama Semua Negeri dan Jawatankuasa Penambahbaikan Persekutuan-Negeri di peringkat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Justeru, satu usul mengenai penubuhan jawatankuasa ini akan dicadangkan oleh saya pada Sidang DUN kali ini. Kerajaan Negeri berharap agar cadangan-cadangan yang diberikan oleh jawatankuasa tersebut kelak akan mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan untuk kepentingan negeri Pulau Pinang khasnya dan Malaysia amnya.
- Yang Berhormat Bukit Tambun juga memohon penerangan lanjut bagi tema keempat dalam ucapan bajet saya iaitu melabur dalam persekitaran fizikal bagi meningkatkan daya tahan. Sebagai makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui InvestPenang menawarkan perkhidmatan kepada para pelabur baharu yang berhasrat untuk beroperasi di Pulau Pinang yang mana bantuan sokongan dan fasilitasi akan diberikan sepenuhnya untuk memudahkan mereka menubuhkan syarikat perniagaan, mendapatkan lesen-lesen yang berkaitan, membina atau menyewa bangunan kilang baharu bagi memulakan operasi pengilangan. Persekitaran fizikal merujuk kepada segala inisiatif pelaburan yang diketengahkan oleh Kerajaan Negeri dalam aspek perhubungan (connectivity) dan infrastruktur di samping usaha pengadaptasian kepada perubahan iklim serta ketersediaan dalam menghadapi situasi bencana dan sebagainya. Pelaburan ini adalah amat penting bagi menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah ‘Negeri Pintar dan Hijau’ selaras dengan Visi Penang2030. Hasilnya, Kerajaan Negeri mampu bersaing dan mampan terhadap segala perubahan global demi memacu pertumbuhan ekonomi cemerlang dalam negara mahupun di persada antarabangsa.
PROJEK-PROJEK INFRASTRUKTUR YANG KRITIKAL YANG PERLU DILAKSANAKAN SEGERA
- Pembangunan rangkaian pengangkutan awam bersepadu dan lebuh raya amat diperlukan untuk meningkatkan aksesibiliti serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang.
- Projek pengangkutan awam seperti Light Rail Transit (LRT) dan pembinaan jaringan lebuh raya baharu seperti Pan Island Link 1 (PIL 1), kebiasaannya akan mendapat pembiayaan dana daripada Kerajaan Persekutuan. Bagi merealisasikan matlamat projek Bayan Lepas LRT (BLLRT) dan Lebuh Raya PIL 1, sehingga hari ini Kerajaan Negeri telah mengemukakan permohonan dana peruntukan pembiayaan kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak tiga (3) kali berturut-turut melalui Rancangan Malaysia Ke-12. Justeru, Kerajaan Negeri akan menyusuli semula kepada Kerajaan Persekutuan yang baharu bagi projek-projek infrastruktur yang kritikal ini bagi memastikan projek-projek ini dapat dilaksanakan segera dalam usaha mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang kian meruncing untuk meningkatkan tahap kesejahteraan rakyat di negeri Pulau Pinang.
- Kerajaan Negeri percaya pembinaan lebuh raya masih perlu dilaksanakan meskipun terdapat perancangan pelaksanaan LRT kerana peralihan daripada kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam sahaja tidak berupaya menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang. Malah perubahan ini tidak boleh dijangka akan berubah dalam tempoh masa yang pendek.
- Oleh itu, pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Island Link 1 (PIL1) sangat diperlukan pada masa hadapan bagi mengalihkan dan mengurangkan kesesakan trafik khususnya di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan Jalan Masjid Negeri.
- Selain BLLRT, Kerajaan Negeri juga akan mengusahakan pelaksanaan komponen-komponen lain di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang paling diperlukan pada masa ini iaitu Jajaran Rel George Town – Butterworth bagi mengurangkan kesesakan yang dialami di Jambatan Pulau Pinang setiap hari.
- Justeru, Kerajaan Negeri amat berharap agar Kerajaan Persekutuan yang baharu kelak dapat membantu dan memudahkan pelaksanaan projek-projek yang telah lama dirancang ini.
YB Dato’ Yang di-Pertua,
SIRI JELAJAH LOVEPENANG
- Pentadbiran Kerajaan Negeri sentiasa peka dan prihatin berkaitan keperluan rakyat negeri Pulau Pinang. Oleh yang demikian bagi menyemarakkan lagi kempen LovePENANG dalam kalangan rakyat negeri ini, Siri Jelajah LovePENANG telah diadakan yang membabitkan keseluruhan tiga belas (13) kawasan Parlimen di Pulau Pinang. Siri jelajah ini telah dimulakan dengan Parlimen Bukit Bendera pada 6 Jun 2022 dan berakhir dengan Parlimen Tanjong pada 10 Oktober 2022.
- Sepanjang siri jelajah ini berlangsung, saya telah menerima beberapa cadangan program dan projek yang merangkumi projek infrastruktur sukan, fasiliti, pembaikan masjid dan sebagainya. Kerajaan Negeri telah meneliti permohonan tersebut dan penelitian lanjut akan dilaksanakan pada 12 Disember 2022 untuk pertimbangan yang sewajarnya ke atas cadangan-cadangan tersebut dengan mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Negeri. Malahan, sebahagian cadangan yang melibatkan projek-projek kecil telahpun dilaksanakan. Saya berkeyakinan semua cadangan program dan projek ini dapat dilaksanakan demi kepentingan rakyat secara keseluruhannnya.
- Umumnya, siri jelajah yang turut memperoleh maklum balas positif daripada komuniti setempat berkenaan akan diteruskan dan diperluaskan membabitkan Kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) dalam tempoh terdekat.
PUSAT PENANG2030
- Saya ingin memetik ucapan perbahasan Yang Berhormat Bayan Lepas berkaitan terdapat permohonan untuk mengambil alih bangunan lama Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yang Cheng, Bayan Lepas sebagai Pusat Penang2030 dan Perpustakaan Digital untuk kemudahan masyarakat terutamanya untuk penduduk di sekitar Bayan Lepas bagi tujuan pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan, pembangunan sosial dan pemerkasaan komuniti.
- Untuk pengetahuan semua, bangunan lama SJKC Yang Cheng tersebut yang berada di atas Lot 505 (seluas 0.105 ekar) dan Lot 1193 (seluas 0.23 ekar), Mukim 9, Teluk Kumbar, Daerah Barat Daya, sebelum ini pernah dimohon oleh Lembaga Pengurusan Pusat Pendidikan Al-Itqan Pulau Pinang pada tahun 2018 untuk dijadikan sebagai pusat pengajian sementara sehingga bangunan sekolah baru siap dibina pada 2023. Namun, cadangan tersebut telah ditangguhkan.
- Meskipun begitu, Yang Berhormat Bayan Lepas adalah dialu-alukan untuk membuat permohonan untuk pengambilalihan ini dan Kerajaan Negeri akan meneliti dan mempertimbangkannya setelah lawatan tapak diadakan dengan mengambil kira status kekukuhan bangunan tersebut, implikasi kos dan faktor-faktor lain yang berkaitan.
MASA DEPAN PULAU PINANG ADALAH DI SEBERANG PERAI
- Pentadbiran Kerajaan Negeri sejak tahun 2018, memberikan fokus kepada pembangunan yang seimbang antara kawasan Pulau dan juga Seberang Perai. Kaedah yang digunakan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan pembangunan lestari yang seimbang di kedua-dua kawasan adalah melalui Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSNPP 2030) yang telah diwartakan pada 24 Oktober 2019. RSNPP 2030 ini diterjemahkan oleh Rancangan Tempatan (RT) dan Rancangan Kawasan Khas (RKK) di bawah peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dalam bentuk peta cadangan guna tanah dan pelan-pelan tindakan terperinci. Tata cara proses penyediaan RT dan RKK telah mengambil kira semua input yang melibatkan data penduduk terkini, keadaan fizikal dan aktiviti semasa guna tanah dan diunjurkan mengikut pola (trend) pembangunan semasa sehingga tahun 2030. Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Negeri Pulau Pinang (PDC) melaksanakan pembangunan negeri melalui kaedah-kaedah berikut:
- Pelan Strategik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang memfokuskan kepada pertumbuhan kawasan pembangunan baharu berorientasikan ‘Bandar Hijau dan Pintar’ dan peningkatan nilai aset serta penggerak bagi inisiatif Kerajaan Negeri yang seimbang;
- Pelan Induk Pembangunan Bandar Cassia yang melibatkan kombinasi pembangunan bercampur dan bersepadu melibatkan perumahan, komersial, pendidikan, perubatan dan perindustrian;
- Perancangan pembangunan di Bandar Cassia Technology Park (BCTP) dan Batu Kawan Industrial Park 3 (BKIP 3) bagi memastikan penawaran tanah perindustrian kepada pelabur mencukupi untuk “promoted industries” yang terdiri daripada ‘Electrical & Electronics (E&E), Electronics Manufacturing Services (EMS), Light Emitting Diodes (LED), Medical Devices, Aerospace, Semiconductor, Automotive’ dan aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan;
- Kajian pembangunan Penang Science Park South (PSPS) sebagai kawasan untuk industri am dan makanan (hab halal). Pembangunan hab logistik melibatkan sebahagian tanah BKIP 3 dan PSPS; dan
- Penekanan kepada konsep Environmental Social Governance (ESG) dan Sustanainable Development Goals (SDG) dalam peringkat perancangan guna tanah di kawasan pembangunan Kerajaan Negeri melalui PDC. Elemen “work, live, learn, and play” serta “green, safe, and smart” di kawasan pembangunan baharu bagi memastikan ekosistem, sosial, fasiliti dan peluang pekerjaan mengikut reformasi pasaran dan revolusi pembangunan hartanah seiring dengan konsep ESG dan SDG.
- Batu Kawan merupakan salah satu kawasan katalis pertumbuhan pesat Seberang Perai dan sememangnya banyak industri tertumpu di kawasan ini. Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sedang membangunkan kawasan ini sebagai kawasan perindustrian utama. PDC buat masa ini sedang giat membangunkan Taman Perindustrian Batu Kawan, Batu Kawan Timur dan Selatan Penang Science Park. Taman-taman perindustrian baharu ini akan menambah jumlah kawasan perindustrian seluas 1,800 ekar sekali gus menarik minat pelabur asing dan terutamanya pelabur tempatan seawal pengoperasiannya pada suku pertama tahun 2023.
ISU BERKAITAN TANAH
- Bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan Yang Berhormat Bukit Tambun berkaitan Cadangan Penukaran Status Hak Milik daripada pajakan (leasehold) kepada pegangan kekal (freehold) bagi Perumahan Kos Rendah dan Sederhana Rendah di bawah Kerajaan Negeri yang melibatkan Hak Milik Strata, untuk melaksanakan sebarang pembangunan semula atau penukaran leasehold kepada freehold bagi perumahan skim hak milik strata, skim hak milik strata yang berkenaan perlu ditamatkan terlebih dahulu dengan mematuhi peruntukan Seksyen 57(1) Akta Hakmilik Strata 1985.
- Proses ini mesti melibatkan persetujuan semua pemilik petak, pemaju/tuan tanah dan persetujuan pemegang gadaian dan perbadanan pengurusan. Jika sekiranya terdapat salah seorang pemilik petak yang tidak bersetuju, maka permohonan ini tidak boleh diteruskan. Selain itu, kos-kos yang terlibat di dalam proses ini seperti kos pindah milik, kos juruukur, kos pemegang gadaian dan kos-kos lain yang terlibat juga adalah tinggi. Perkara ini memerlukan kajian dan pindaan kepada Seksyen 57(1) Akta Hakmilik Strata 1985 sebelum dapat dilaksanakan. Justeru, buat masa ini, Kerajaan Negeri akan melaksanakan penukaran hak milik pajakan kepada pegangan kekal bagi rumah Kos Rendah (Low Cost) dan Kos Sederhana Rendah (Low Medium Cost) tidak berstrata terlebih dahulu.
- Bagi status sistem Perkhidmatan Tanah Setempat Dalam Talian Pulau Pinang (PgLAND), pembangunan sistem tersebut telah bermula pada 1 September 2022 dan kini berada pada fasa terakhir. Pelaksanaan sistem PgLAND dijangka dilaksanakan secara berfasa bermula pada Januari 2023 dan serahan melalui kiosk mulai Februari 2023.
EKONOMI DIGITAL
- Ekonomi digital adalah salah satu aspek penting yang perlu diberi penekanan untuk menjadikan negeri Pulau Pinang sebagai sebuah negeri pintar. Kerajaan Negeri melalu Penang Institute (PI) telah melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif seperti berikut:
- PI merupakan initiator bagi Digital Penang yang mana PI memainkan peranan untuk merangka fungsi dan objektif serta turut terlibat dalam penubuhan Digital Penang sebagai agensi Kerajaan Negeri baharu yang memberi penekanan kepada projek-projek digital serta ekonomi digital dalam negeri;
- Di bawah Visi Penang2030, PI bersama Think City dan Digital Penang telah membantu membentuk Inisiatif Creative Digital District (atau dikenali sebagai CD²) untuk memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi digital di kawasan tersebut dengan kolaborasi dari pusat-pusat pengajian tinggi di Pulau Pinang. Di bawah inisiatif ini juga, terdapat beberapa projek tumpuan lain yang sedang dirangka termasuk pembentukan hab digital bagi industri kesihatan di Batu Kawan. Di samping itu, terdapat juga inisiatif pembangunan komuniti yang memberi tumpuan kepada peningkatan digital literacy dalam kalangan penduduk negeri Pulau Pinang. Libat sama (engagement) industri untuk pendigitalan operasi industri pembuatan sedang dilakukan melalui Digital Penang;
- PI turut mengusahakan satu portal dalam talian iaitu Vocational Penang (https://vocational.penanginstitute.org) untuk digunakan oleh orang ramai terutamanya pelajar dan belia sebagai one-stop portal bagi segala info berkaitan dengan pendidikan vokasional yang terdapat di Pulau Pinang secara fisikal mahupun atas talian. Antara kursus jangka pendek yang dikenal pasti termasuk kursus kemahiran digital;
- PI sedang merancang satu siri bengkel pendidikan berfokus kepada impak ekonomi digital dan aplikasi teknologi digital untuk golongan pemimpin dari pelbagai sektor termasuk sektor pendidikan, politik, dan sebagainya yang bakal bermula pada tahun 2023;
- PI bersama Multimedia University (MMU) mencadangkan satu Street Food Hawker Sustainability Framework yang merangkumi Apprenticeship, Penjaja sebagai Food Heritage, Custodian dan kemahiran digital. Di samping latihan yang dijalankan oleh Digital Penang, platform digital yang mudah diguna pakai seperti rakaman kisah kejayaan juga telah dicadangkan untuk menggalakkan penjaja lain untuk pendigitalan perniagaan mereka; dan
- Kajian PI juga mencadangkan supaya kerajaan mengundang multinational software houses untuk beroperasi di Pulau Pinang bagi membantu dan merangsang pembangunan bakat digital tempatan berkualiti serta pembangunan software houses Sebagai tambahan, operasi regional atau head office yang bertempat di Pulau Pinang turut dapat menarik bakat digital ke Pulau Pinang.
PEMBANGUNAN DEPOH BENCANA
- Bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Penaga, dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah meluluskan penubuhan Pusat Logistik Kemanusiaan Bencana (Disaster Humanitarian Logistic Centre). Pusat ini merupakan sebuah pusat logistik untuk menempatkan atau menyimpan segala barang/aset bagi tujuan pengurusan bencana di negeri Pulau Pinang.
- Anggaran kos bagi penubuhan pusat ini adalah sebanyak RM6.5 juta yang meliputi komponen bangunan setingkat berkeluasan 14,000 kaki persegi, dataran parkir bagi kelengkapan lori dan jentera lain ketika bencana dan juga satu (1) ruang helipad. Projek pembinaan pusat ini akan dilaksanakan di atas tanah milik kerajaan di dalam Daerah Seberang Perai Tengah iaitu di Jalan Chan Ewe Pin Mukim 14.
PEMBANGUNAN CLAN JETTIES
- Perbahasan Yang Berhormat Pengkalan Kota berkenaan dengan perancangan jangka panjang bagi kawasan Clan Jetties memandangkan kawasan tersebut menjadi tarikan utama kepada pelancong dengan lokasi yang agak strategik berhampiran terminal. Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan cadangan YB Pengkalan Kota untuk Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) mengambil alih pengurusan premis/bangunan perumahan di sekitar kawasan Clan Jetty. Model pengurusan di Pengkalan Weld akan digunakan bagi kawasan Clan Jetty, yang mana tanah yang berkaitan akan diberi milik kepada CMI dan bangunan komersial di atas tanah tersebut akan disewakan kepada penghuni asal untuk tempoh tertentu melalui satu dokumen perjanjian secara sewaan atau pajakan. Dengan kaedah ini, Kerajaan Negeri akan memastikan bangunan-bangunan di kawasan Clan Jetty diselenggara dengan baik.
PENUTUP
- Belanjawan Tahun 2023 merupakan pembentangan kali kelima sejak saya menerajui tampuk pentadbiran negeri Pulau Pinang sebagai Ketua Menteri. Sememangnya cabaran yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri adalah berbeza setiap tahun. Namun, dengan hasil komitmen yang tidak berbelah bagi daripada barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang membentuk jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak, membolehkan Kerajaan Negeri menjalankan amanah untuk membangunkan negeri dan rakyat Pulau Pinang.
- Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada barisan EXCO Kerajaan Negeri dan seluruh anggota perkhidmatan awam negeri Pulau Pinang yang selama ini telah memberikan komitmen yang amat tinggi dalam merealisasikan misi mencapai sasaran di bawah empat (4) Tema dan enam belas (16) Inisiatif Strategik - Visi Penang2030. Sesungguhnya, visi ini akan dijadikan sebagai pegangan dan hala tuju Kerajaan Negeri untuk mentadbir negeri ini pada masa kini dan masa hadapan.
- Semoga Belanjawan Tahun 2023 ini akan menjadi titik kebangkitan kita untuk bersama-sama memulihkan ekonomi dan memacu Negeri Pulau Pinang ke peringkat yang lebih tinggi selaras dengan moto “Negeri Hijau dan Pintar Berteraskan Keluarga, Inspirasi Negara”.
Kemajuan negeri ke puncak jaya,
Rakyatnya gigih memajukan negeri,
Pesat membangun transformasi berjaya,
Mencipta nama memenuhi visi.
Sekian, terima kasih