MAJLIS PERASMIAN KEJOHANAN BOLA SEPAK BAWAH 12 TAHUN DI ANTARA SEKOLAH-SEKOLAH KEBANGSAAN TAMIL 2022
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB TUAN CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN KEJOHANAN BOLA SEPAK BAWAH 12 TAHUN DI ANTARA SEKOLAH-SEKOLAH KEBANGSAAN TAMIL 2022
26th November 2022
KOPA Arena, USM
Encik Mohd Azizudin bin Mohd Shariff
Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP)
Mr. K. Anpananthan
Presiden Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA)
Tuan K. Rajendran (ASP)
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA)
Datuk S.Pathy
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA)
Mr. S. Sri
Naib Presiden Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA)
Mr. Kamaleshwaren
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA)
Encik Premkumar
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak India Pulau Pinang (PIFA)
Para Pemain dan Pasukan
Para Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) kerana sudi menjemput saya hari ini untuk merasmikan Majlis Perasmian Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun Di Antara Sekolah-Sekolah Kebangsaan Tamil 2022.
Saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) dan Persatuan Bola Sepak India Pulau Pinang (PIFA) yang turut telah bekerjasama dan menyokong inisiatif yang cukup mengagumkan ini.
Sesungguhnya usaha ini akan memberikan rangsangan yang amat diperlukan kepada pembangunan sukan di negeri kita, di samping mendorong kalangan pelajar muda kita untuk mengamalkan gaya hidup yang aktif dan sihat, yang sememangnya akan memanfaatkan generasi masa depan kita.
Saya dimaklumkan bahawa sebanyak 32 pasukan akan mempamerkan kehebatan mereka masing-masing di mana perlawanan akhir dijangka akan berlangsung pada esok hari.
Saya berharap para pemain dapat menggunakan platform ini sebagai pentas untuk membina keyakinan diri dan mengasah bakat masing-masing.
Di Pulau Pinang, bagi memupuk satu habit kehidupan yang aktif dan sihat di masyarakat rakyat negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Pulau Pinang (MSNPP) telah mengambil langkah untuk mempromosikan tema "Sukan untuk Semua" atau “Sports for All” di mana ia akan turut membawa satu impak yang positif dan sihat kepada semua warga negeri Pulau Pinang.
Dengan usaha-usaha berterusan ini, saya berharap pembangunan sukan di negeri ini berada atas landasan yang tepat, selaras dengan hasrat dan matlamat Visi Pnenag 2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Kerajaan Negeri mengalu-alukan serta menggalakkan semua inisiatif dan usaha yang bertujuan untuk mempelbagaikan kemudahan rekreasi, sukan, seni dan budaya, seperti yang dipamerkan pada acara kejohanan hari ini.
Saya yakin dengan penganjuran kejohanan sebegini, ia dapat memberi impak yang besar kepada pembangunan sukan kepada komuniti dan industri sukan, dan saya ingin mengambil peluang ini untuk menggalakkan semua persatuan dan pemegang taruh kelab untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi mencapai lebih banyak kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Tidak dapat dinafikan bahawa tugas untuk memastikan matlamat pembangunan sukan dapat direalisasikan tepat pada masanya merupakan tanggungjawab bersama di kalangan semua komuniti, dan dengan itu keutamaan harus diberikan kepada pengajuran kejohanan sebegini yang berkonsepkan untuk memupuk semangat perpaduan komuniti dalam wadah sukan.
Akhir kata, sekali lagi saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) terutama kepada Encik Anpananthan dan Encik Sri serta semua yang terlibat dalam menganjurkan kejohanan yang julung kali diadakan ini, dan dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Perasmian Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun Di Antara Sekolah-Sekolah Kebangsaan Tamil 2022.
Sekian, terima kasih.