PAMERAN AMAL KIND ART LUKISAN DAKWAT
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,
YAB CHOW KON YEOW
SEMPENA PAMERAN AMAL KIND ART
LUKISAN DAKWAT
26 NOVEMBER 2022
C-MART, NIBONG TEBAL
YB Dato’ Law Choo Kiang
Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang
YB H’ng Mooi Lye
ADUN Jawi
YB Fadhlina binti Sidek
Ahli Parlimen Nibong Tebal
Encik Ng Hun Kim
Pengerusi Persatuan Kesenian Seberang Perai Selatan
Para Jemputan
Para Artis
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Sekalung tahniah saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat terutamanya ADUN Jawi, YB H’ng Mooi Lye dan Persatuan Kesenian Seberang Perai Selatan atas komitmen yang diberikan dalam merealisasikan pameran amal ini.
Menampilkan sekumpulan 71 pelukis dari seluruh negara melibatkan 135 lukisan, sudah tentunya pameran pada petang ini mempunyai keunikan yang tersendiri dalam usaha untuk meningkatkan apresiasi dan menghayati budaya tradisional terutamanya melibatkan lukisan dakwat yang kini semakin mendapat tempat dalam masyarakat setempat dan antarabangsa.
Saya amat gembira apabila mengetahui separuh daripada keuntungan yang akan diperoleh melalui jualan amal lukisan-lukisan ini akan disumbangkan kepada Persatuan Kebajikan Nibong Tebal Seberang Perai bagi tujuan pembinaan sebahagian bangunan baru persatuan ini kelak.
Usaha dan pendekatan serampang dua mata ini sangat bagus kerana selain membantu dalam mengumpul dana tambahan, tetapi ia juga dapat menjadi platform untuk para pencinta seni lukisan dakwat untuk berkongsi karya masing-masing.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Umum mengetahui karya lukisan seperti ini dapat menyuburkan sanubari dan menenangkan minda kita. Dalam situasi yang penuh dengan pelbagai cabaran, apresiasi lukisan dakwat juga dilihat sebagai satu wadah efektif dalam melepaskan tekanan dalam kerja mahupun pelajaran sekaligus meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Lantaran itu, saya menyeru kepada semua untuk mengambil peluang ini untuk hadir dan sama-sama menyokong pameran yang akan diadakan selama sembilan (9) hari bermula hari ini, 26 November sehingga 4 Disember 2022.
Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada ADUN Jawi, YB Jason H’ng Mooi Lye dan Persatuan Kesenian Seberang Perai Selatan atas usaha menjayakan pameran yang sangat bermakna ini.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memberikan sokongan dan bersama-sama dengan anda semua dalam usaha kolaboratif untuk memartabatkan dan memperkukuhkan industri kesenian yang cukup bernilai ini.
Sekian, terima kasih.